Seorang kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) telah mengalami masalah demam sejak Jumaat yang lalu disyaki Influenza A.
Influenza adalah jangkitan hidung, tekak dan paru-paru yang disebabkan oleh virus influenza.
Virus ini mudah berjangkit kepada kanak-kanak, wanita hamil, warga emas dan mereka yang mengalami penyakit kronik boleh mendapat jangkitan teruk.
Masalah ini mula menghantui masyarakat Malaysia sejak tahun lalu sehingga baru-baru ini ia merebak ke sekitar Cyberjaya dan kes terbaharu dicatatkan di Subang Jaya.
Ajal orang kelainan upaya selepas demam
Menurut ibunya, Nek Mudzlifah, 48 pada awalnya menyangka anak lelakinya, Faiz Fauzan Pauzul Kamil, 12, hanya demam biasa kerana tidak menunjukkan simptom yang serius.
”Saya telah membawanya ke klinik untuk rujukan lanjut pada malam hari Jumaat dan doktor sendiri memaklumkan dia hanya demam biasa dan suhu badannya hanya mencatatkan 38 darjah Celsius sahaja,” kongsinya.
Namun, nasib keluarga ini tidak begitu baik kerana Faiz telah mengalami sawan pada belah malam keesokan harinya.
”Kami terus bergegas mendapatkan rawatan ke hospital swasta dan selepas pemeriksaan dibuat, ketika itu barulah doktor mengesahkan dia telah menghidap Influenza A.” ujar Nek Mudzlifah.
Luluh hati ibu apabila berhadapan dengan situasi getir melihat anaknya bukan mengalami demam biasa.
Dia mengakui bahawa dia bersama suami sudah mendapatkan rawatan lebih awal, namun perlu menerima dugaan ini atas ketentuan takdir buat keluarga mereka.
Menurutnya lagi, dia tidak pasti penyebab dan bagaimana anak lelakinya terkena jangkitan virus ini.
”Sebelum ini suami juga mengalami demam. Namun, dia kembali sihat selepas mendapatkan beberapa ubat dari klinik.”
Jangkitan yang diperoleh oleh kanak-kanak malang ini mungkin juga disebabkan oleh jangkitan luar dari persekitarannya.
Nek Mudzlifah juga berpesan kepada ibu ayah agar sentiasa prihatin dan cepat bertindak sekiranya anak-anak mengalami gejala demam.
” Usah menunggu keadaan menjadi teruk dahulu barulah ibu ayah bertindak untuk membawa anak mendapatkan rawatan lanjut.” ujarnya.
Langkah awal yang diambil oleh ibu ayah membolehkan pihak perubatan mengambil inisiatif dan mengesyorkan kepada pesakit untuk ujian darah agar wabak ini dapat dicegah dengan lebih awal.
Bekalan ubat influenza mencukupi
Dakwaan segelintir masyarakat yang heboh mengatakan bahawa stok ubat-ubatan bagi merawat jangkitan influenza telah kehabisan stok adalah tidak benar.
Hal ini disangkal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana kemudahan untuk membasmi virus ini mencukupi mengikut permintaan pesakit.
Bukan itu sahaja, jangkitan influenza yang kian merebak dalam negara telah menyebabkan pihak kementerian mengambil inisiatif terhadap bekalan ubat tambahan dari pembekal bagi memastikan kesemua pesakit memperoleh ubat mereka.
Pada ketika ini, bekalan ubat Oseltamivir 75 mg Capsule dan Oseltamivir 60mg/5mg Oral Suspension dapat menampung keseluruhan rawatan influenza di seluruh klinik kerajaan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa jangkitan influenza yang menyebabkan masalah radang paru-paru melanda wilayah Wuhan, China kini masih lagi berada dalam siasatan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa China mengesahkan jangkitan ini bukanlah infeksi influenza, avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERS-CoV) ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS).
Dalam pada itu, Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memantau secara rapi. Buat masa ini, pihak WHO tidak mengumumkan sebarang larangan lawatan dan perdagangan dengan negara China.
Setakat tarikh 5 Januari 2020, sebanyak 59 kes dikenal pasti di China mempunyai kaitan dengan kejadian.
7 kes yang dilaporkan adalah mangsa dalam keadaan teruk, manakala pesakit yang lain berada dalam keadaan stabil dan tidak ada kes kematian dicatatkan.
Sebagai langkah mengawal penularan wabak jangkitan Influenza ini, pihak berkuasa telah diarahkan untuk meningkatkan lagi kawalan infeksi di semua peringkat termasuklah Pintu Masuk Antarabangsa Negara.
Ia mampu memperkukuh aktiviti saringan demam sedia ada dalam kalangan pengembara oleh anggota yang bertugas di Pintu Masuk Antarabangsa Negara.
Bukan itu sahaja, setiap proses saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital turut dipertingkatkan lagi agar dapat memastikan mangsa yang mengalami simptom penyakit ini akan dirujuk dan dikendalikan dengan lebih berkesan.
Antaranya setiap kakitangan hospital juga dikerah untuk mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi.
Sekiranya doktor perubatan mendapati terdapat kes yang disyaki influenza, individu berkenaan akan dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.cominfluenza-a-malaysia