Melihat sahaja keadaan di dalam rumah teres tiga tingkat ini, pastinya anda sudah dapat meneka bahawa ia didiami oleh orang susah yang meneruskan hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Namun, apa yang menyentuh hati para netizen apabila rumah ini tidak didiami oleh sebuah keluarga, tetapi terdapat seorang lagi isteri muda kini sedang sarat mengandung.
Kehidupan orang susah bersama dua orang isteri
Sebuah kisah telah diceritakan oleh seorang pengguna Facebook, Natipah Abu yang mendapat perhatian warga maya apabila memuat naik beberapa keping gambar keadaan kediaman yang didiami oleh keluarga berkenaan.
Sedih dan kaku melihat anak-anak yang masih kecil, tidak tahu apa-apa terpaksa tingga di dalam rumah sangat kotor.
Apa lagi yang hendak kami rumuskan dari situasi ini melainkan benarlah kata orang bahawa cinta itu buta.
Menurut Natipah, kes keluarga orang susah ini telah sampai ke pengetahuan pihaknya untuk bantuan mendapatkan sebuah rumah baru yang terdiri tiga orang dewasa dan dua orang kanak-kanak.
Aduan tentang keluarga yang tinggal di sebuah rumah teres tiga tingkat terbiar dalam bandar ini dibuat oleh jiran tetangga untuk makluman pihak berwajib.
”Kali pertama menziarahi mereka, tidak terjangkau akal memikirkan bagaimana mereka boleh meneruskan hidup selama tiga tahun lamanya di tempat yang sangat kotor dan sempit,”
”Walaupun rumah ini sangat besar, tetapi ruang boleh dilalui hanya muat seorang sahaja kerana dipenuhi dengan sisa bahan buangan yang mereka pungut dari tong sampah,” luahnya.
Tambah Natipah lagi, ketua keluarga ini mencari pendapatan dengan menjual barang-barang lusuh.
Tingkat satu kediaman berkenaan telah dipenuhi dengan pelbagai barangan lusuh. Mereka tinggal pada tingkat kedua untuk makan dan tidur.
Naik sahaja ke tingkat tiga, jalan ke atas sudah dihalang dengan barang buangan. Justeru, Natipah tidak dapat melihat apa yang ada pada tingkat tersebut.
Isteri muda sarat mengandung
”Isteri muda sedang hamil tujuh bulan. Manakala dua orang kanak-kanak lagi ialah anak isteri pertama berusia 9 tahun dan seorang lagi 2 tahun iaitu anak isteri kedua,”
”Ruang tidur kedua-kedua isteri hanya dipisahkan oleh langsir sahaja. Melihat makanan yang terdedah, hati terasa hendak menangis mengenangkan bagaimana anak-anak kecil tersebut berselera makan,” luahnya.
Menurut Natipah, dia sendiri tiada jawapan bagaimana madu-madu ini boleh hidup bersama sehingga bertahun lamanya.
”Hasil semakan rekod, isteri muda ada tunggakan hutang PTPTN. Rupa-rupanya dia bukan calang-calang orang. Pernah belajar sehingga semester ketiga di sebuah politeknik,”
Mungkin sahaja cinta yang telah mengubah hidupnya sehingga terpaksa melalui situasi sebegini. Dia meninggalkan keindahan hidup zaman mudanya bersama rakan-rakan sekuliah setelah begitu mencintai seorang lelaki.
Bantuan untuk meneruskan kehidupan baru
Kini pihak JKM, JPAM, LZNK dan pemimpin masyarakat iaitu penghulu serta imam qariah telah turun padang untuk membantu proses pemindahan mereka ke rumah baharu.
”Rumah baharu tersebut merupakan jenis flat PPRT. Kami telah membayar sewa RM1 500 kepada pemilik sebelum ini untuk melepaskan haknya ke atas flat tersebut.”
”Nanti permohonan baharu menduduki flat ini akan dibuat atas nama isteri muda. Setelah menimbangkan beberapa faktor, semua pihak bersetuju dia lebih layak dan kami yakin dia mampu menguruskan rumah ini kelak,” ujarnya.
”Kita telah membelanjakan hampir RM2 500 untuk membeli keperluan rumah dan RM1 000 bagi pemasangan lampu, kipas dan membaiki pendawaian yang rosak,”
Jelasnya lagi, pihak JKM, Zakat dan kejiranan baharu juga telah memberikan kaunseling kepada mereka supaya berubah dan memulakan kehidupan baru demi anak-anak.
Begitulah kehidupan seorang wanita. Setelah sah bergelar isteri, meskipun berdepan kesempitan hidup dia setia bersama suami dan sanggup melalui perjalanan hidup sehingga ke penghujungnya.
Kami di theAsianparent mendoakan keluarga ini dimudahkan urusan dan dimurahkan rezeki untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik.
Sumber: Natipah Abu
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comkesusahan-hidup