Betapa terujanya ibu bapa semasa melihat anak buat pertama kali menyarungkan pakaian sekolah terutama yang baru menjejakkan kaki ke sekolah.
Bahkan, persediaan pakaian sekolah atau uniform anak ini telah disediakan lebih awal sebelum menjelangnya musim persekolahan.
Namun dalam kita seronok membeli pakaian dan kelengkapan anak, rupa-rupanya masih ada insan lain yang serba kekurangan hingga nak makan pun terpaksa dicatu malah pakaian seragam sekolah anak juga tak mampu dibeli.
Keluarga miskin tak mampu beli pakaian sekolah
Ini yang terjadi kepada seorang murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh di Gua Musang apabila dilihat hadir ke sekolah tanpa memakai uniform kerana dihimpit dengan kemiskinan keluarga.
Kanak-kanak tersebut bernama Intan Safira Mohd Shukri, 7 yang tinggal di Taman Agropolitan Rantau Manis, baru saja mendaftar ke sekolah itu pada Ahad lalu dan dia dilihat hanya memakai blaus labuh berwarna merah jambu dan
bertudung ketika sesi persekolahan.
Buat pengetahuan, Intan juga mempunyai adik beradik lain iaitu Nor Safira, 8 dan Nor Balkis, 10 dan abang mereka Mohamad Atiq, 12 yang turut bersekolah di situ.
Sementara itu, kakak mereka yang bernama Nor Awanis, 14 berada di tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Asap.
Empat adik beradik lain turut pakai uniform lusuh
Bukan saja Intan, malah adik beradiknya yang lain juga turut mengenakan uniform sekolah yang telah lusuh kerana ibu bapanya tidak mampu menyediakan pakaian baru untuk mereka.
Dipetik dari Sinar Harian, keluarga ini juga memiliki 12 adik beradik iaitu Mohamad Zikri Shah, 20; Nor Izzati, 19; Mohamad Haris, 17; Nor Hafiza, 15; Nor Awanis, 14; Mohamad Atiq, 12; Nor Balkis, 10; Nor Sofia, 8; Intan Safira, 7; Puteri Ramizan, 5, serta pasangan kembar, Amirul Azhar dan Amirul Hakim, 2.
Malah kemiskinan yang menghimpit mereka sekeluarga itu menyebabkan dua daripadanya iaitu Mohamad Haris dan Nor Hafiza tidak bersekolah dan lebih banyak menguruskan adik-adik mereka di rumah.
Menurut Nor Hafiza, dialah yang bertugas menjaga adik-adiknya semasa ketiadaan ibu dan ayah di rumah kerana keluar bekerja di Kuala Krai sebagai penjual buah-buahan.
Hafiza turut berkata, seawal jam 7 pagi ibu dan ayahnya telah keluar bekerja dan hasil upah itulah digunakan untuk menyara mereka sekeluarga.
Atas sebab itu, Hafiza tidak dapat ke sekolah kerana perlu menjaga adik- adiknya malah empat adik beradik yang bersekolah itu akan dibekalkan duit belanja sekitar RM2 seorang.
Tahun ini juga adik-adik yang sekolah hanya menggunakan pakaian mana yang ada sahaja kerana kekangan kewangan.
Sejarah uniform sekolah
Sejak awal penubuhan sekolah-sekolah di Tanah Melayu termasuklah negeri Sabah dan Sarawak tiada satu garis panduan yang khusus untuk seragamkan pakaian sekolah.
Jadi, sebagai satu langkah untuk mewujudkan keseragaman maka pada Februari 1969, Menteri Pelajaran semasa itu Encik Abdul Rahman Yaacob telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pakaian Seragam Sekolah-Sekolah.
Semasa memberi ucapan tentang penubuhan jawatankuasa ini beliau memberi penekanan terhadap faktor-faktor utama tentang keperluan keseragaman pakaian sekolah di kalangan para pelajar dengan tujuan berikut:
- Pakaian seragam sekolah yang sama akan mengalakkan integrasi sosial di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
- Ibu bapa yang bertukar tempat kerja tidak lagi risau mengenai pakaian anak-anak jika bertukar sekolah.
- Pakaian seragam yang sama lebih menarik semasa perbarisan.
Justeru, satu perpaduan telah diadakan bagi mendapatkan uniform sekolah ini yang dihadkan kepada pelajar sekolah sahaja.
Kemudian, pada 29 Jun 1969, Mentera Pelajaran telah mengumumkan pakaian sekolah berkuatkuasa pada 1970.
Bagi murid sekolah rendah mereka akan mengenakan pakaian baju putih dan seluar pendek biru tua.
Sementara itu, bagi pelajar perempuan sekolah menengah mereka akan memakai baju putih dan penafores berwarna biru laut.
Manakala murid lelaki pula memakai baju putih dan seluar pendek biru tua.
Bagi pelajar tingkatan enam, penuntut perempuan baju putih dan skirt warna biru laut. Lelaki pula baju putih dan seluar panjang putih.
Untuk pelajar Islam mereka dibenarkan memakai baju kurung yang sewarna dengan pakaian seragam itu.
Kemudiannya pada 1976, Menteri Pelajaran Dato’Seri Dr Mahathir atau sekarang ini Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Mohamad telah menukarkan seluar lelaki kepada warna hijau tua.
Semua usaha ini telah mendapat sokongan dari pihak ibu bapa dan para guru.
Sumber: Sinar Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
https://my.theasianparent.comrindu-rumah