Seorang ibu ditindas kerana susu badan dikatakan tak halal!
Seorang ibu telah mengadu di Facebook tentang pengalamannya dengan sebuah hotel di Melaka yang enggan membekukan susu badannya atas alasan susu badan ibu tersebut ‘tidak halal’.
Chua – wanita malang terbabit, telah menjelaskan pada kakitangan lelaki di kaunter hotel itu yang menolak permintaannya walaupun dia sudahpun menjelaskan susu itu adalah susu ibu.
Semuanya bermula begini… ibu terbabit meminta freezer dari pihak hotel bagi membekukan susu badan yang telah dipam olehnya.
Namun, pihak hotel tiada freezer di bilik biasa, dan enggan membenarkan Chua menyimpan susu tersebut dalam peti ais biasa kerana khuatir ia tak halal!
Susu ibu bukan soal halal atau tidak
“Saya beritahu mereka yang susu ibu atau susu badan berasal dari tubuh manusia dan bukan dari haiwan tak halal. Ia tiada kaitan dan hubungan langsung dengan halal atau tidak,” jelas Chua pada China Press.
Tapi salah seorang dari kakitangan itu masih menegaskan yang barang-barang yang tak halal tidak boleh dimasukkan ke dalam peti sejuk dalam bilik hotel.
Dia mengatakan bahawa susu ibu itu boleh disimpan di bilik VIP, tapi bilik itu sedang digunakan pada waktu itu.
Pihak hotel meminta maaf atas kecelaruan soal susu ibu
Menurut China Press lagi, pengurus hotel telah menghubungi Chua selepas dia memaklumkan kejadian itu ke forum kumpulan ibu-ibu menyusu dalam talian.
Pengurus hotel tersebut telah berjanji untuk menegur anggota staf yang berkaitan. Tetapi Chua mengatakan adalah lebih baik untuk mendidik daripada mendisiplinkan mereka.
Hotel itu telah menampung permintaannya pada hari berikutnya, ketika bilik VIP yang diminta telah dikosongkan.
Tip pam susu badan semasa travel atau dalam perjalanan
Anda mungkin akan mengalami masalah seperti ini jika anda melancong atau keluar travel dengan tugas perlu mengepam susu badan untuk si manja.
Walaupun kebanyakan hotel akan menampung permintaan si ibu, ini tak bermaksud setiap hotel ada ruang untuk menyimpan susu.
Jadi lebih baik untuk anda membuat panggilan kepada hotel tersebut terlebih dahulu.
Kadang-kadang bilik hotel akan menyediakan peti sejuk kecil, tapi ia hanya mampu menyejuk dan menyimpan susu ibu dalam masa yang singkat sahaja.
Jadi, apa yang perlu anda buat? Ikut 3 tip penting ini:
1. Rancang perjalanan anda
Tulis jadual perjalanan anda dari masa ke semasa: pukul berapa anda akan keluar rumah, masa perjalanan, mod pengangkutan, dan tempat penginapan.
Ini akan memberi idea bagaimana anda boleh menyimpan EBM anda.
2. Persediaan yang teliti
Apa yang anda perlukan?
Ini bergantung kepada bilangan hari, mod pengangkutan, tempat penginapan dan ruang penyimpanan yang ada sepanjang percutian anda.
Anda boleh memutuskan sama ada untuk ‘pam dan buang‘ atau masih boleh bekukan susu badan untuk di bawa balik.
Anda juga perlu membuat anggaran kasar jumlah EBM untuk dibawa balik bagi perancangan selanjutnya.
Hubungi hotel, syarikat penerbangan atau kawasan mesyuarat untuk mengetahui di mana anda boleh mengepam susu badan.
3. Peralatan untuk memudahkan kerja
- Pam payudara – Kalau boleh bawa kedua-dua pam tangan dan elektrik sekali. Pam tangan baik untuk tempat-tempat yang tidak mempunyai saluran elektrik atau apabila anda perlu mengepam di mana sahaja. Walaupun pam elektrik sangat berguna, ia mungkin lebih berat dan susah untuk dibawa bersama.
- Beg simpan susu ibu, bekas – jika bawa bekas botol pastikan anda sterilnya terlebih dahulu
- Beg sejuk dan/atau kotak sejuk yang berkualiti – bawa kotak sejuk kecil untuk kegunaan harian dan kotak sejuk yang lebih besar (bergantung kepada kuantiti EBM yang akan anda bawa balik) untuk penyimpanan di bilik pembekukan hotel.
- Pek ais yang banyak
- Tuala tebal atau surat khabar
- Lain-lain – gelang getah, pen penanda untuk labelkan tarikh dan masa.
Sama-sama kita memudahkan kerja ibu menyusu badan dan si manja yang akan meragam jika tak dapat susu badan, ya?
Sumber: Malaysian Kini dan Rilek1 Corner
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Hati-hati Ibu, Jika Salah Bersihkan Pam Payudara, Boleh Jadi Punca Penyakit Cronobacter!