Anak anda penuh bertenaga, tidak mahu duduk diam dan cepat marah ketika menonton wayang? Jangan risau. Sekarang, anda tak perlu susah hati untuk bawa si kecil ke panggung wayang lagi.
Syarikat pawagam Cinépolis yang berpangkalan di Mexico telah mencipta satu inovasi baru lagi bijak! — sebuah panggung wayang kanak-kanak dengan tempat duduk dan taman permainan.
Betul! Tak percaya, anda boleh lihat gambar yang saya sertakan di bawah.
Seperti yang dilaporkan Variety, panggung wayang kanak-kanak ini diberi nama Cinépolis Junior. Pembinaannya adalah sebahagian usaha untuk memberi sebuah pengalaman baru di panggung wayang untuk ibu bapa dan kanak-kanak.
Antara alat permainan yang melengkapi taman permainan dalam inovasi canggih ini adalah slaid bersaiz 55 kaki, permainan berstruktur, bean bags, kerusi lounge yang tinggi dan banyak lagi.
Kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun amat dialu-alukan di sini. Pengarah Eksekutif Cinépolis di Amerika Syarikat memberitahu The LA Times yang “inovasi ini dicipta untuk memberi rasa alu-aluan pada kanak-kanak dan buat mereka selesa.”
“Ideanya adalah untuk memudahkan ibu bapa membawa anak-anak mereka menonton filem, sambil membenarkan mereka (kanak-kanak) berseronok.” — Adrian.
Panggung wayang biasa akan cuba mengehadkan gangguan dan bunyi bising. Namun, panggung wayang ini disertakan dengan taman permainan? Tak mustahil ke?
Semestinya tak! Sebab itu panggung wayang ini dinamakan sebagai “panggung wayang kanak-kanak”. Ia dicipta khas untuk memberi pengalaman, membiasakan mereka dengan filem tanpa terlupa tentang elemen yang mereka suka.
Menurut pakar analisis filem box-office, Paul Dergarabedian — usahasama ini mungkin akan dianggap mustahil dan tidak “menghormati” filem. Tapi, ia adalah senario yang mungkin paling sesuai untuk kanak-kanak melalui pengalaman menonton.
“Kanak-kanak bukan kira filem itu bagus atau tidak. Mereka mudah bosan dan bertenaga. Kita harus tangkap perhatian mereka dengan cara tersendiri,” ulas beliau lagi.
Sebenarnya, pawagam kanak-kanak ini telah lama wujud di Mexico, Sepanyol, Costa Rica dan Guatemala. Akan tetapi, baru kini ia memasuki pasaran Amerika Syarikat.
Dua panggung wayang pertama yang akan memasuki pasaran Amerika adalah di Los Angeles dan San Diego. Kedua-dua panggung wayang tersebut membawa rekaan dalaman baru dan boleh menempatkan sehingga 133 tempat duduk.
Filem mesra kanak-kanak akan ditayangkan sebanyak 5 hari seminggu. Ibu bapa boleh membeli makanan ringan kegemaran anak-anak mereka termasuklah bertih jagung berperisa Cheetos, Cili, Karamel dan Zebra.
Seronoknya kalau inovasi canggih seperti ini datang ke Malaysia! Bolehlah ibu bapa membawa anak mereka ke panggung wayang tanpa rasa risau. Lagipun, ada 17 filem animasi yang keluar akan tahun ini!
Filem animasi sesuai untuk kanak-kanak
Antara 17 filem animasi terbaru tahun 2017 adalah:
- The Lego Batman Movie (Feb)
- Rock Dog (Feb)
- Leap! (Mac)
- The Boss Baby (Mac)
- Smurfs: The Lost Village (April)
- Spark (April)
- The Nut Job 2 (Mei)
- Captain Underpants (Jun)
- Cars 3 (Jun)
- Despicable Me 3 (Jun)
- Blazing Samurai (Ogos)
- The Emoji Movie (Ogos)
- The Lego Ninjago Movie (Sept)
- My Little Pony (Okt)
- The Star (Nov)
- Coco (Nov)
- Ferdinand (Dec)
Apa, masih tidak pernah membawa anak anda ke wayang kerana risau dengan reaksi mereka? Jangan risau. The Asianparent ada menyediakan 7 tip untuk bawa anak tengok wayang buat pertama kali. Baca dulu, okay?
Marilah berhibur sambil merapatkan hubungan dengan permata hati anda!
Sumber rujukan: Cinépolis, Variety, Los Angeles Times, Comscore, dan Hollywood Reporter