21 Pantang Larang Semasa Mengandung Ikut Tradisi Melayu, Suami Isteri Kena Jaga-Jaga

undefined

Pantang larang semasa mengandung adalah untuk memastikan keselamatan ibu dan janin dalam kandungan daripada sebarang bahaya

Apabila mendapat tahu diri anda kini berbadan dua, ibu hendaklah menjaga diri dengan sebaiknya. Dalam masyarakat Melayu khususnya, ada beberapa pantang larang semasa mengandung yang perlu anda ikuti.

Pantang Larang Semasa Mengandung

Pantang larang semasa mengandung dalam tradisi orang Melayu memang penuh dengan nasihat dan petua turun-temurun. Walaupun ada yang berasaskan logik, sebahagiannya lebih kepada kepercayaan lama.

Antara pantang larang semasa mengandung mengikut kepercayaan orang Melayu adalah:

  1. Jangan lilit tuala di sekeliling leher kerana ia dikhuatiri tali pusat melilit leher bayi

  2. Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat

  3. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana haiwan, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan

  4. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir bibir terbelah atau mengalami kecacatan

  5. Jangan bergaduh dengan ibu mentua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak

  6. Dilarang makan sotong, dikhuatiri menghadapi masalah ketika bersalin. Anak mungkin tercerut tali pusatnya

  7. Dilarang mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil, dikhuatiri akan kenan

  8. Dilarang minum air tebu atau kelapa di awal kehamilan, dikhuatiri anak akan gugur

  9. Dilarang melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling

  10. Jangan melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak tertutup seperti kucing yang sedang tidur

  11. Dilarang menyusup di bawah penyidai, nanti anak akan terencat

  12. Dilarang makan makanan yang berakar seperti pegaga, nanti terlekat uri

  13. Jangan tidur waktu tengah hari, nanti kepala anak akan menjadi besar

  14. Dilarang potong haiwan nanti anak lahir tak cukup anggota

  15. Dilarang bunuh haiwan nanti anak bakal meninggal macam keadaan haiwan itu mati

  16. Dilarang keluar rumah waktu senja/malam nanti kena usik hantu

  17. Dilarang mandi waktu malam nanti bersalin tumpah darah

  18. Dilarang duduk di tangga nanti bersalin susah

  19. Pantang larang orang mengandung: Elakkan siang ikan nanti anak sumbing

  20. Dilarang tanam pokok pisang nanti anak lahir berkepala besar

  21. Jangan travel jauh-jauh ketika awal 3 bulan kandungan – takut rahim lemah dan tak dapat menahan dari keguguran

Walaupun tak semua pantang larang ketika hamil ini berasaskan fakta saintifik, sebahagiannya memang ada kebaikan untuk menjaga kesihatan ibu dan bayi.

Pantang Larang Ketika Hamil Yang Lain

Semasa hamil, anda perlu mempertimbangkan kesihatan diri dan mengambil kira jika anda mempunyai sebarang komplikasi. Ini kerana sesetengah kerja rumah boleh membahayakan diri dan anak yang sedang berkembang di dalam kandungan.

Jadi, ibu-ibu hamil digalakkan untuk tidak buat 7 pantang larang semasa mengandung ini:

1. Elak Guna Produk Pencuci Dengan Bau Kuat

Pantang larang orang mengandung seterusnya adalah elakkan guna produk pencuci yang memiliki bau kuat.

Produk-produk seperti penyembur ubat nyamuk, sabun pembersih ketuhar dan peluntur semuanya diperbuat dari bahan kimia yang senang mengewap.

Jika ingin menangani masalah banyak nyamuk, ketuhar dan tandas yang kotor semasa hamil, cari produk alternatif.

Kapur semut dan pelekat lalat lebih selamat. Anda juga boleh menggunakan larutan cuka atau jus lemon dengan serbuk penaik baking soda untuk dijadikan pengganti produk-produk mencuci buatan kimia.

2. Elak Angkat Barang Berat 

Pantang larang orang mengandung yang seterusnya adalah elakkan dari mengangkat barang-barang berat.

Apabila perut semakin besar, ini akan memberi tekanan tambahan kepada tulang belakang. Dapatkan bantuan orang lain sekiranya perlu bagi mengelakkan masalah sakit pinggang dan menjejaskan keselamatan bayi dalam kandungan.

3. Jauhkan Dari Haiwan Peliharaan

Pantang larang orang mengandung yang lain adalah elakkan bela haiwan peliharaan.

Menukar dan mencuci bekas najis dan kencing kucing atau haiwan kesayangan boleh mendedahkan anda kepada pelbagai parasit dan kuman.

Risiko paling besar kepada janin ialah toksoplasmosis, iaitu sejenis jangkitan yang boleh didapati dalam najis kucing.

Jika ingin mencuci dan menguruskan haiwan peliharaan anda, jangan lupa untuk pakaikan sarung tangan dan membasuh tangan dengan bersih selepas itu.

4. Elakkan Mencuci Kipas Siling Atau Tukar Langsir 

Pantang larang orang mengandung yang lain adalah jangan melakukan kerja-kerja di mana anda perlu memanjat atau naik atas kerusi mahupun tangga.

Dengan perut yang besar, wanita hamil mungkin rasa kekok dan senang terjatuh. Jangan berdiri di atas meja, bangku mahupun tangga yang rendah, ia boleh membahayakan diri anda dan bayi dalam kandungan.

Pantang Larang Ibu Hamil Dalam Islam

Ada beberapa pantang larang ibu hamil dalam Islam iaitu:

1) Tidak Tunjukkan Baby Bump Pada Umum 

Pantang larang ibu mengandung dalam Islam yang ramai wanita ambil mudah adalah bahagian perut. 

Mereka seolah-olah ‘seronok’ dapat berkongsi berita kehamilan dengan kerap memuat naik gambar baby bump di akaun media sosial masing-masing.

Menurut Mufti Wilayah, baby bump atau bahagian perut yang memboyot pada wanita mengandung adalah aurat. Oleh itu, para wanita mestilah menjaga aurat di kawasan berkenaan dengan mengenakan pakaian yang labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.

Hukum menayangkan gambar perut memboyot di media sosial adalah tidak selari dengan etika ajaran Islam kerana ia boleh mengundang fitnah dalam kalangan lelaki ajnabi khususnya dan membawa kepada masalah moral dan akhlak.

2) Meninggalkan Solat

Ketika hamil biasanya tubuh akan terasa sakit dan tidak selesa. Pembawakan anak menyebabkan anda berasa kerap pening, tubuh lesu serta tekak terasa mual.

Walau bagaimanapun, ibu tetap memiliki kewajiban untuk melaksanakan sholat fardhu seperti biasa. Anda boleh meninggalkan puasa ramadhan (dengan syarat nanti diganti di hari lain). Namun untuk solat fardhu, hukumnya tetap wajib dilakukan.

Jika memang tidak mampu solat secara berdiri, maka solat dengan duduk. Apabila duduk juga tidak boleh, maka solatlah dalam keadaan berbaring.

3) Elakkan Keluar Malam Ketika Hamil

Pantang larang orang tua semasa seseorang sedang hamil adalah elakkan keluar lewat malam.

Dari sudut perubatan islam, ibu mengandung dan bayi dalam kandungan sangat menarik perhatian makhluk halus. Semestinya anda tidak mahu gangguan dari mahluk halus yang berniat jahat.

4) Bersolek Berlebihan

Pantang larang dalam Islam ketika ibu mengandung yang seterusnya adalah elakkan bersolek secara berlebihan. 

Ibu hamil yang ingin keluar rumah hendaklah bersederhana dalam solekan dan menjaga penampilan menutup aurat. Hal ini kerana bagi mengelakkan pandangan lelaki dan fitnah.

“Wanita itu aurat, maka bila ia keluar rumah, syaitan terus memandangnya (untuk menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehingga terjadilah fitnah)” (HR. At-Tirmidzi).

Pantang Larang Percakapan Ketika Hamil

Pantang larang percakapan semasa mengandung adalah untuk menjaga keperibadian anak agar menjadi seorang yang baik dan sihat.

Dalam Islam, ibu hamil tidak boleh berkata sesuatu yang buruk seperti menganjing, menghina atau memburuk-burukkan orang lain. Hal ini bagi mengelakkan apa  yang dikatakan menimpa pada anaknya sendiri.

Selain itu, perbuatan memburuk-burukkan atau menghina orang lain juga dilarang agama.

“Tahukah kalian apa itu ghibah (menggunjing)? Para sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang paling tahu. Kemudian Baginda bersabda : Ghibah adalah engkau membicarakan tentang saudaramu sesuatu yang dia benci. Ada yang bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana kalau yang kami katakan itu betul-betul ada pada dirinya?

Baginda menjawab: Jika yang kalian katakan itu betul, berarti kalian telah berbuat ghibah. Dan jika kalian katakan tidak betul, berarti kalian telah memfitnah (mengucapkan kebohongan)” (HR Muslim)

Semoga bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Para Isteri Jangan Terlalu Lasak & Angkat Berat, Ini 9 Tanda Peranakan Anda Telah Jatuh

Baca juga: Kenapa Tiada Alahan Semasa Mengandung, Adakah Ia Normal & Bayi Akan Baik-Baik Sahaja?

Baca juga: Sudah Ikat Peranakan (BTL) Tapi Masih ‘Lekat’, Ibu Terkejut Dapat Tahu Mengandung 6 Bulan

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!