Tanda rahim jatuh, setiap wanita wajib ambil tahu

- Kencing tak lawas
- Rasa berat di bahagian ari-ari
- Tak boleh nak kawal kencing terutama ketika batuk dan bersin
- Sakit ketika bersama suami
- Rasa senak dan tidak selesa di bahagian perut
- Sakit tumit
- Sakit pinggang yang berpanjangan
- Paha dan betis rasa kebas
- Rasa badan seperti demam terutama selepas Asar
Punca yang boleh menyebabkan rahim jatuh
Rahim seseorang wanita boleh menjadi jatuh disebabkan oleh kelemahan otot-otot pelvik atau juga dikenali sebagai 'otot lantai pelvik'. Biasanya otot ini berfungsi sebagai penyokong kepada organ rahim dan struktur sekelilingnya daripada jatuh.
Terdapat beberapa penyebab yang boleh mendorong berlakunya struktur otot-otot menjadi lemah iaitu:
#1. Pernah menjalani pembedahan pelvis
Bagi mereka yang melakukan pembedahan sekitar pelvis seperti pembedahan pembuangan fibroid atau ketumbuhan akan diberikan amaran bahawa salah satu risiko akibat rawatan ini adalah peranakan jatuh.
Pembedahan ruangan pelvis boleh menyebabkan trauma ataupun kecederaan pada otot ataupun tisu penghubung lantai pelvis yang seterusnya boleh menyebabkan kondisi prolaps berlaku.
#2. Faktor keturunan
Penyebab ini adalah jarang berlaku, terdapat kondisi yang boleh menyebabkan tisu lembut menjadi lemah seperti yang dilihat pada sindrom Ehlers-Danlos.
#3. Kehamilan
Ini adalah faktor yang sering terjadi kepada kelemahan otot-otot sokongan pelvis. Fenomena prolaps rahim ini sangat jarang dijumpai dalam kalangan wanita yang tidak mengandung.
Fisiologi kehamilan yang menyebabkan pembesaran saiz rahim boleh menyebabkan otot-otot ini lebih ditarik dan longgar.
#4. Faktor penuaan dan menopaus
Apabila seseorang wanita mengalami peningkatan usia, maka proses menopaus tidak dapat dielakkan.
Hasil daripada menopaus akan mengakibatkan hormon estrogen di dalam tubuh menjadi berkurang. Keadaan ini tidak dapat menyokong penghasilan kolagen dalam tisu pengubung dan otot-otot pelvis.
#5. Berlaku peningkatan tekanan dalaman abdomen
Ruang pelvis dan abdomen yang menempatkan organ seperti usus duduk saling bersebelahan. Sebarang peningkatan tekanan dalam ruangan abdomen secara kronik, berpanjangan mengakibatkan tekanan kepada rahim juga.
Antara yang boleh menyebabkan peningkatan tekanan intra-abdomen adalah seperti sembelit, obesiti, batuk berpanjangan, kerap mengangkat barangan berat ataupun ketumbuhan dalam usus.
Sesetengah wanita mengandung yang mempunyai saiz bayi terlebih besar atau berat memerlukan campur tangan alat khusus sewaktu proses kelahiran kompleks.
Intervensi berserta dengan saiz anak yang besar melalui ruang vagina sempit boleh menambahkan risiko kepada kecederaan dan kelonggaran otot pelvis.