Selepas bersalin, ibu harus menjaga pantang larang dengan sebaiknya selama 44 dan 100 hari supaya tubuh kembali pulih seperti dahulu.
Apatah lagi, berpantang selepas beranak ini cukup sinonim dengan masyarakat Melayu sejak zaman nenek moyang kita lagi.
Lebih menarik lagi, kaum lain seperti Cina dan India juga turut menyukai amalan berpantang ini kerana menganggap ia sesuatu yang penting dan perlu dijaga dengan baik supaya badan kembali bertenaga.
Meskipun pada hari ini perubatan moden banyak menafikan kebaikan amalan berpantang ini tapi masih terdapat ibu yang baru bersalin mengamalkannya namun semuanya terpulang kepada diri masing-masing asalkan tiada perkara buruk yang berlaku.
Pantang larang selepas bersalin
Dalam masa yang sama, ramai masyarakat melontarkan pendapat bahawa nasihat orang-orang tua ini tidak boleh dipertikai terutama yang berkait rapat dengan ilmu berpantang ini.
Perkongsian ini dikongsikan oleh Zeeda Aziz iaitu salah seorang ibu yang mengalami sakit badan selepas melanggar pantang larang semasa bersalin anak nombor dua dan tiga.
Selepas kejadian yang berlaku itu, Zeeda berasa sangat menyesal tapi baginya terpulang kepada seseorang individu itu sama ada mahu mempercayai amalan berpantang ini atau tidak.
Berikut ini daripada perkongsian Zeeda:
” Kalau bercakap berkaitan pantang larang semasa bersalin ini, boleh dikatakan ramai doktor pakar yang mengecam tradisi ini terutama bila ibu perlu mengelak dari mengambil makanan tertentu. Jadi, dahulu saya juga berfikir hal yang sama. Malah berada di bidang sains ini, automatik kepala juga berkiblatkan perubatan moden dan kajian saintifik ini.
” Kalau kajian kata berpantang makan itu mengarut maka saya juga berpegang pada nasihat itu.
” Boleh dikatakan, pesanan orang lama yang ‘sekolah’ tak tinggi ini saya tepis atas bahu sahaja. Ilmu mereka tak tepat kononnya. Tapi saya terlupa, ilmu itu seluas lautan dan setiap manusia hanya dapat setitik sahaja.
” Kisahnya begini, semasa berpantang anak kedua, saya sangat dahaga air berais. Bangun pagi sebelum bidan datang untuk mengurut senyap-senyap saya buka peti ais dan ambil air sejuk untuk minum seteguk. Buat lega teka orang kata.
“Tapi tak sampai setengah jam, badan mula rasa nyeri bagai racun bisa merayap dalam badan. Masa itu takut nak cakap kat sesiapa terutama mak. Kalau mak dapat tahu ini, mesti kena leter teruk!
” Kemudian bidan pun sampai. Selepas mengurut, dia siapkan air mandian herba (pandan + halia + lengkuas + serai). Pendek kata siapa pun tak tahu saya dah langgar pantang! Zip mulut rapat-rapat.
Dalam bilik air, air panas itu dah rasa macam air ais sejuknya. Gigi mula mengetap. Ketap yang macam bunyi ketuk pintu. Aduh macam mana nak keluar dari bilik air ini. Tentu kena marah!
Punya nak tahan mulut dari berbunyi, keluar saja dari bilik air terus bidan sergah. Dia tanya macam ini
“Kamu makan apa tadi?
“Er..mium ais tapi sikit je seteguk. (Sambil gigi berlaga sebab sejuk)
Seperti yang telah dijangka, telinga kena tadah dengar bebalan dan kemarahan.
Boleh dikatakan, bisa ais tadi sudah menjalar ke seluruh badan dan sakitnya lebih perit dari azab nak beranak! Bayangkan belakang badan bagai dipukul dengan cemati.
Makan ikan patin semasa berpantang
Tapi, saya ulang lagi kedegilan yang sama semasa berpantang anak ketiga dengan cuba makan ikan patin masak tempoyak. Sedanya sampai menjilat jari.
Tapi selepas selang beberapa jam, badan mula rasa bisa yang menjalar satu badan. Kali ini sakitnya lebih sakit dari minum ais dulu. Tiga hari badan mengerekot macam tenggiling dan nak menyusu juga rasa seksanya.
Kemudian terus saya beli sekotak herba mandian jenama TYT untuk dicuba. Selepas mengguakannya barulah hilang perit di badan ini. Alhamdulillah.
Kesimpulannya, adalah lebih baik kita menghormati ilmu orang lama kerana mereka menuntut ilmu bukan konvensional seperti kita dengan pergi sekolah dan masuk universiti.
Cara mereka belajar dari pemantauan, pengalaman dan nasihat daripada orang yang lebih tua.
Pendek kata, tips yang perlu diingat adalah bersederhana dengan cara mengambil sedikit nasihat daripada doktor dan sedikit nasihat daripada orang tua. Selagi ia tidak memudaratkan badan.
Apapun, tidak salah untuk berpantang cara melayu ini kerana ia sungguh unik dan diperturunkan sejak dahulu lagi.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Minuman Berais Boleh Menjadi Punca Rahim Kembang Selepas Bersalin? Ini Penjelasan Doktor