Kehadiran cahaya mata sememangnya satu perkara yang menggembirakan, namun tanggungjawab yang semakin bertambah menyebabkan ada ketikanya pasangan bertengkar. Ada kalanya pertengkaran berlaku kerana salah faham yang timbul kerana isu kecil.
Pertengkaran dalam perkahwinan adalah perkara biasa tetapi jika terlalu kerap dan hal yang digaduhkan pula remeh ia situasi tidak sihat untuk hubungan suami isteri. Lama-kelamaan ia memberi kesan buruk dalam keluarga sekiranya punca sebenar pasangan bertengkar tidak diketahui.
Kenapa Pasangan Bertengkar Lebih Kerap Selepas Mempunyai Anak? Ini 5 Sebabnya…
#1 Perbezaan Idea Membesarkan Anak
Kedua-dua ibu bapa dibesarkan dari keluarga yang berlainan, jadi normal sekiranya mereka mahu anak dibesarkan mengikut cara masing-masing. Seorang ibu mungkin lebih berhati-hati berkaitan perlakuan anaknya, si bapa pula lebih kepada asalkan anak itu tidak menangis, maksudnya anak itu okay!
Pertengkaran mungkin berlaku selepas pasangan tidak dapat memenuhi cara pasangannya. Perkara ini berlanjutan bagi semua perkara seperti mandikan anak, cara tidurkan anak, teguran untuk anak dan sebagainya.
Cara terbaik untuk berhadapan dengan masalah ini ada berbincang antara satu sama lain, dan menerima perbezaan pendapat.
#2 Agihan Tanggungjawab Yang Tidak Sama Rata
“Itu tanggungjawab ibu, bukannya bapa!”
Kita biasa dengar ungkapan ini, kan? Seolah-olah kerja menjaga bayi seperti memandikan bayi, tidurkan bayi dan menukar lampin bayi adalah tugas si ibu. Masalah timbul apabila kerja si ibu bertambah.
Manakala si bapa pula masih dengan rutin pergi dan balik kerja, malah bila tiba di rumah minta tidak diganggu pula waktu tidurnya. Bapa akan bermain dengan bayi apabila bayi sudah siap mandi dan makan.
Persepsi sebegini sebenarnya masih lagi berlaku dalam segelintir masyarakat kita. Anggapan ‘si ayah perlu bekerja mencari rezeki’ sahaja tidak boleh digunapakai sekiranya tiada penglibatan si bapa dalam menjaga anak.
Suami isteri harus bersama-sama dalam melayari kehidupan sebagai ibu bapa. Tanggungjawab bersama dapat membuatkan kita lebih memahami pasangan sekaligus mengurangkan pertengkaran. Malah bonding family juga lebih kuat!
#3 Kurang Masa Bersama
Apabila anak lahir, si isteri perlukan masa untuk pulih. Malah, ibu bapa juga lebih banyak meluangkan masa untuk melayan anak sehingga pasangan merasa tersisih.
Hal ini termasuklah perkara-perkara kecil seperti berpegangan tangan semasa berjalan kerana perlu mendukung anak.
Perubahan aktiviti ini sedikit sebanyak mempengaruhi pergaulan suami dan isteri, dan menyebabkan pasangan bertengkar! Harus diingat ini merupakan satu fasa dan akan berakhir suatu hari nanti.
Ada cara lain untuk pasangan bermesra, bukan berada di atas katil sahaja. Menikmati makan malam bersama, berpelukan semasa menonton tv semasa bayi tidur dan ciuman sebelum tidur juga boleh mengekalkan kasih sayang anda.
#4 Tidak Cukup Tidur
Apabila bayi lahir, rutin harian anda akan berubah. Bayi kerap terjaga kerana perlu disusukan dan ditukarkan lampin.
Ini terutamanya berlaku pada minggu-minggu terawal bersalin. Sudah tentu si ibu akan kurang tidur, dan penat apabila perlu menidurkan anak setiap 2-3 jam hanya untuk kembali dikejutkan semula!
Jadi suami haruslah faham dan membantu bila ada waktu terluang, atau mungkin mengambil alih tugas ibu pada hujung minggu. Ini kerana apabila si ibu terlalu penat, dia akan stress dan pergaduhan boleh berlaku.
#5 Menyesuaikan Diri Dengan Tanggungjawab Baru
“Saya tak biasa dengan semua ini, saya perlukan bantuan!”
Menjadi ibu bapa juga bermaksud membiasakan diri hidup berkeluarga. Banyak perkara yang akan berubah secara mendadak termasuklah penambahan tanggungjawab.
Ibu bapa terutama si ibu merasa teruja dan berdebar untuk melalui pengalaman baru seperti menjaga anak kecil, yang sebelum ini tidak pernah dilakukannya. Dalam hal ini, si suami perlu sedar dan memberi sokongan moral kepada isteri. Jika tidak, isteri akan banyak memendam!
Walaupun sesetengah perkara di atas tidak boleh dielakkan, namun harus diingat inilah cabaran apabila mempunyai anak. Anggaplah anak itu sebagai penyeri yang akan mengikat hubungan anda berdua dengan lebih kuat.
Bertolak ansur dan berbincang sedikit sebanyak boleh membantu anda mengurangkan tekanan dan mengelakkan pertengkaran. Jadilah pasangan yang berjaya mendidik anak dengan tenang dan mempunyai hubungan yang sihat. Selamat berjaya!
Apa Perlu Buat Untuk Kembalikan Keharmonian Rumahtangga?
Sekiranya anda rasa tertekan dan tegang dalam perhubungan perkahwinan anda, anda tidak keseorangan dan anda tidak melakukan apa yang salah. Terdapat banyak cara yang boleh anda lakukan untuk mengembalikan keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga anda semula.
Menangani stress yang sedang anda berdua hadapi boleh membantu mengekalkan hubungan perkahwinan anda dan dapat mengelakkan anda dan pasangan bertengkar. Bina perasaan positif dan pengalaman yang berharga daripadanya.
Walaupun situasi ini agak sukar dilakukan, terutamanya apabila anda sedang memikul beban tanggungjawab yang besar, tetapi ianya berbaloi. Berikut merupakan tips yang boleh anda ikuti untuk mengatasi masalah ini.
1. Mencari Sokongan Sosial
Pasangan anda bukanlah satu-satunya orang yang boleh membantu anda meningkatkan kebahagiaan hidup. Ahli keluarga, rakan atau orang yang anda upah mampu meringankan tekanan tanggungjawab keibubapaan yang sedang anda hadapi dan membolehkan anda meluangkan masa yang lebih bersama pasangan. Berikut adalah idea yang boleh anda lakukan untuk mengekalkan kebahagiaan anda bersama pasangan:
– Luangkan masa bersama pasangan tanpa kehadiran anak-anak.
– Dapatkan sokongan daripada orang terdekat seperti rakan, ibu bapa, ahli keluarga atau jiran tetangga.
– Bina sistem sokongan emosi yang mana anda boleh bercakap, meluah atau bertukar fikiran mengenai kesukaran yang anda hadapi daripada aspek keibubapaan atau perkahwinan.
2. Amalkan Menjaga Diri Sendiri
Menjadi ibu dan ayah kita selalunya fokus untuk menjaga keperluan diri anak-anak sahaja. Menjaga diri sendiri juga sangat penting kerana ia akan mempengaruhi kesihatan tubuh badan dan juga mental. Selain itu, jika tubuh badan kita berada pada keadaan yang baik ia juga akan membuatkan kita mempunyai stamina yang tinggi dan akan berasa segar dalam menjalani kehidupan seharian. Anda boleh melakukan perkara berikut untuk kekal sihat:
– Pastikan anda mendapat tidur atau rehat yang cukup, walaupun anda memerlukan bantuan pasangan untuk mengawasi anak sewaktu anda tidur atau rehat. Tidur yang cukup mampu mengurangkan tekanan yang anda hadapi dan dapat mengelakkan anda dan pasangan bertengkar.
– Makan makanan yang seimbang.
– Cari masa untuk diri anda sendiri. Luangkan masa untuk melakukan apa yang anda selesa atau sukai seperti tidur, berehat, bersenam atau merawat diri.
– Luangkan masa untuk melakukan hobi selama beberapa minit atau jam sehari seperti membaca buku atau mengait.
3. Seimbangan Perkara Dalam Kehidupan Anda
Keseimbangan dalam kehidupan sangatpenting dalam menguruskan tekanan yang anda hadapi. Ini termasuklah keseimbangan antara masa kerja dengan masa bermain, keseimbangan dalam keperluan diri dengan keperluan anak dan pasangan, keseimbngan antara masa dengan keluarga dan rakan-rakan dan sebagainya. Ini adalah sebahagian contoh keseimbangan yang perlu anda fokuskan:
– Cipta keseimbangan aktiviti bersama anak, pasangan, diri sendiri, waktu rehat dan waktu tidur.
– Lakukan aktiviti yang menyeronokkan dan cipta memori bersama anak dan pasangan, tetapi jangan terlalu banyak dalam satu-satu masa yang membuatkan anda berasa letih dan overhelmed.
– Berlaku jujur dengan apa yang anda mahu atau pendirian anda, dengan apa yang pasangan anda mahu dan harapkan dalam perkahwinan anda berdua.
4. Fokus Kepada Perkara Yang Positif
Cara anda melihat sesuatu perkara sangat mempengaruhi hubungan dan kebahagiaan anda secara keseluruhannya. Terdapat beberapa cara yang boleh anda fokuskan untuk mengekalkan pemikiran yang positif ini dan akan meningkatkan kebahagiaan dalam kehidupan anda.
– Ingat kesukaran adalah sementara dan akan berlalu seiring waktu.
– Menghargai perkara dan pengalaman yang positif.
– Sentiasa rasa bersyukur.
– Fokus kepada apa yang anda belajar daripada anak-anak dan bagaimana mereka menceriakan hidup anda.
– Ketahui penurunan kepuasan dalam perkahwinan itu adalah normal, ia bukannya kesalahan anda atau pasangan. Tetapi terdapat banyak cara yang boleh anda berdua lakukan untuk meningkatkan semula kebahagiaan.
– Cari kebahagiaan dalam cabaran.
– Bersabar dengan diri sendiri, pasangan dan anak-anak.
-Bergembira sebagai satu keluarga.
– Kekalkan hubungan dengan keluarga atau tinggal berdekatan dengan ahli keluarga ( sekiranya hubungan dengan ahli keluarga sihat/positif).
Bila Perlu Kaunseling/Jumpa Terapi?
Adalah normal sekiranya terdapat perselisihan atau perbalahan di dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Anda berdua adalah individu yang mempunyai persepsi atau cara berfikir yang berbeza tetapi ini tidak membuatkan anda atau pasangan salah atau buruk.
Tetapi sesetengah pertikaian perkahwinan memerlukan khidmat nasihat pakar terapi atau kaunselor perkahwinan. Menjalani terapi perkahwinan mampu membantu anda berdua untuk mengatasi masalah yang ada dalam perkahwinan anda. Jika masalah ini sering diabaikan dan tidak diatasi ia berkemungkinan boleh memusnahkan ikatan perkahwinan anda. Berikut merupakan petanda yang menunjukkan anda mungkin memerlukan terapi perkahwinan:
1. Anda atau Pasangan Menjadi Acuh Tidak Acuh
Ramai orang fikir antonim kepada cinta ialah benci. Walaupun benci tetapi tetap menunjukkan rasa ghairah, rasa prihatin kepada pasangan. Oleh itu, sifat berlawanan kepada rasa cinta bukannya benci tetapi lebih kepada sikap acuh tidak acuh kepada pasangan.
Sekiranya anda atau pasangan telah sampai kepada titik tidak lagi mengambil berat tentang perbalahan atau pertengkaran, terapi perkahwinan mungkin anda berdua perlukan. Ini termasuklah:
– Tidak lagi ambil kisah sekiranya pasangan sedih.
– Tidak mahu lagi menghabiskan masa bersama.
– Tidak peduli jika bergelut dengan kehidupan seks bersama pasangan.
– Asyik berbalah dengan isu yang sama tetapi tidak mencari jalan penyelesaian.
– Membawa haluan masing-masing dan tidak lagi berhubung.
– Tidak tahu keberadaan pasangan dan tidak kisah mengenainya.
-Tidak berkepentingan di dalam hidup pasangan.
2. Hampir Semua Komunikasi Negatif dan Membawa Kepada Pergaduhan
Seperti yang dinyatakan diatas, sikap acuh tidak acuh antara petanda anda memerlukan terapi perkahwinan. Walaubagaimanapun, jika terlalu ghairah ia juga boleh membawa kepada perkara negatif. Seperti api, keghairahan diluar kawalan boleh menyebabkan kemusnahan.
Contohnya jika anda dan pasangan bergelut untuk bersama kerana setiap komunikasi akan berakhir dengan pertengkaran atau perbalahan, ini menunjukkan anda berdua mempunyai gangguan komunikasi yang teruk. Ia akan menyebabkan satu atau kedua-duanya menjadi terlalu sensitif, bersikap terlalu defensif atau terluka.
Apabila komunikasi antara pasangan ini gagal dan sering menyebabkan perbalahan, berjumpa dengan pakar terapi yang cekap mampu memulihkan ketegangan ini. Ahli terapi akan mengajar anda dan pasangan bagaimana untuk elak daripada berbalah dan bagaimana untuk berkomunikasi dengan lebih produktif.
3. Apabila Anda atau Pasangan Menipu/ Berahsia Antara Satu Sama Lain
Khidmat kaunseling atau terapi perkahwinan mungkin diperlukan apabila seseorang mula berahsia daripada pasangannya. Walaupun kejujuran sepatutnya menjadi matlamat sesebuah perkahwinan, tetapi terdapat sesetengah kebohongan yang boleh diterima dalam situasi ini. Contohnya seorang isteri boleh mengatakan rambut suaminya yang menipis susah untuk dilihat dan masih lebat, manakala sang suami boleh memberitahu isterinya bahawa dia tetap muda walaupun setelah 10 tahun berlalu.
Walaubagaimanapun, apabila pasangan mula menipu atau berahsia mengenai perkara yang penting, ia boleh menyebabkan masalah yang lebih besar di dalam perhubungan. Ini bermakna anda sudah mula tidak percaya dengan pasangan mengenai sesuatu maklumat atau perasaan. Anda mula melakukan perkara yang tidak sepatutnya atau anda sudah tidak peduli untuk berkongsi maklumat dengannya lagi. Masalah menipu dalam perhubungan merupakan antara punca paling banyak menyumbang kepada masalah kenapa pasangan sering bergaduh.
4. Kurang Keintiman Dalam Perhubungan
Selepas beberapa tahun perkahwinan, kebanyakkan pasangan bergelut dengan masalah untuk mengekalkan tahap keintiman yang sama seperti awal perkahwinan. Perkara ini adalah normal. Tetapi sekiranya anda mengalami masalah sukar untuk berhubungan mesra dengan pasangan, tidak selesa bersama pasangan atau sukar menjadi intim ini menandakan anda mungkin perlukan khidmat kaunselor atau terapi perkahwinan. Khidmat kaunseling mungkin mampu menyemarakkan semula hubungan intim anda bersama pasangan.
5. Apabila Anda Melihat Pasangan sebagai Antagonis
Satu lagi petunjuk yang menunjukkan anda memerlukan terapi perkahwinan apabila anda melihat pasangan seperti ‘lelaki jahat’ atau antagonis. Secara amnya, manusia cenderung untuk mengamalkan mentaliti ‘mereka adalah lawan kita’ dan sentiasa membezakan diri kita daripada mereka.
Perkahwinan yang sihat tidak sepatutnya seperti itu. Anda berdua sepatutnya menerima kekurangan dan perbezaan antara satu sama lain dan bukannya saling mencari salah dan bergaduh sesama sendiri. Anda berdua adalah satu pasukan dan bukannya lawan.
6. Apabila Sering Berbalah Isu Yang Sama Berulang Kali
Sesekali berbalah antara pasangan adalah normal dalam mana-mana perkahwinan. Tetapi sekiranya anda berdua sering bergaduh mengenai isu yang sama, hal ini mungkin akan menganggu keharmonian rumah tangga anda. Kadang kala masalah ini disebabkan oleh beban emosi yang wujud dari sebelum berkahwin lagi atau masalah yang terjadi selepas berkahwin.
Beberapa isu mungkin berkekalan. Pasangan akan bergaduh mengenainya sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Hormati antara satu sama lain, saling memahami dan berkasih sayang adalah kunci untuk pasangan terus kekal bahagia kerana ini adalah nilai teras sesebuah perkahwinan.
Sesetengah isu boleh diselesaikan dan memerlukan kemahiran bertolak ansur diantara satu sama lain. Ahli terapi akan membantu pasangan untuk membezakan antara isu yang boleh diselesaikan dan dielak dan untuk isu yang berpanjangan mereka akan membantu bagaimana cara untuk menangani isu berkenaan.
7. Mula Berahsia/Menipu Mengenai Hal Berkaitan Kewangan
Masalah berkaitan kewangan sering menjadi antara punca kenapa pasangan sering bergaduh. Berahsia, menyorok atau menipu mengenai status kewangan adalah tanda perhubungan anda dan pasangan bermasalah. Tidak jujur dalam cara anda membelanjakan wang atau membuat pinjaman secara sembunyi adalah masalah yang serius dalam perhubungan.
Pada awal perhubungan mempunyai akaun bank secara berasingan boleh diterima kerana setiap orang mempunyai keinginan untuk membeli apa yang mereka mahu. Tetapi sekiranya mereka mempunayi akaun bank bersama setiap pembelian harus disetujui kedua-dua pihak dan adalah tidak adil jika salah seorang membuat pembelian atau menggunakan wang di dalam akaun bersama secara sembunyi dari pasangan.
Hal berkaitan mengunakan kad kredit, membuka akaun, memohon pinjaman kewangan atau pembelian dengan nilai yang tinggi seharusnya dibincang terlebih dahulu dengan pasangan. Ini kerana beban kewangan yang terjadi boleh menyebabkan pasangan bertengkar dan menyebabkan masalah menjadi semakin rumit.
8. Apabila Anda atau Pasangan Tidak Setia
Kesetiaan merupakan satu perkara yang sangat penting dalam perhubungan. Sekiranya kesetiaan telah dikhianati, amatlah sukar untuk mendapatkan semula kepercayaan daripada pasangan. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat sebab atau punca kenapa pasangan tidak setia.
Ia seringkali terjadi punca daripada keretakkan hubungan perkahwinan sama ada dari segi emosi atau seksual. Contohnya apabila suami rasa tidak dihormati dan diabaikan mereka mungkin cenderung untuk berlaku curang. Begitu juga dengan wanita apabila tidak dihargai dan tidak disayangi oleh pasangan. Tetapi faktor utama yang menyebabkan berlakunya tidak setia adalah kesunyian.
Sumber:
https://www.verywellmind.com/coping-with-stress-that-children-add-to-marriage-4121318
https://kenosiscenter.com/marriage-therapy-8-signs-you-should-see-a-marriage-counselor/
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Wahai Isteri, Berhenti Sebut 9 Ayat Pedas Ini Pada Suami Setiap Hari, Boleh Tak?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!