Gambar Comel Mengeratkan Hubungan Suami Isteri
Anda selalu kongsi gambar-gambar comel dengan pasangan? Tak kisahlah gambar kucing ke, arnab ke, bayi montel ke, kartun yang dia suka ke…
Saya selalu kongsi animasi Star Wars yang lucu dengan suami.
Kadang-kadang bila berjauhan (sebab kerja dan sebagainya), gambar tersebut macam “mengubat duka” kerana rindu. Dia juga sering kongsi gambar-gambar lucu dari 9gag.
Yang seronoknya, sebuah pasukan pakar psikologi dan saintis dari Florida State University (FSU) telah membuktikan yang gambar-gambar comel ini boleh mengeratkan hubungan antara suami isteri!
Betul! Tambah-tambah lagi buat pasangan yang sudah bercahaya mata.
Ini kerana gambar-gambar comel tersebut memberi aura positif yang mampu “merapatkan“ hubungan kalian.
Tapi, bagaimana nak terangkan kesan daripada perbuatan berkongsi gambar ini?
Evaluative Conditioning
Ia dapat dijelaskan menerusi teori evaluative conditioning.
Teori ini mengatakan manusia boleh mengubah persepsinya terhadap sesuatu, jika ia memberi kesan pada emosi.
Maksudnya, manusia boleh menyukai atau tidak menyukai sesuatu hingga ia boleh melahirkan rasa positif lalu mempengaruhi hubungan sedia ada.
Bagaimana pakar membuktikan teori ini?
Mereka menyediakan dua set gambar untuk diberi kepada subjek kajian. Set gambar tersebut terdiri daripada set gambar positif dan set gambar berunsur negatif.
Kemudian, mereka meminta pasangan yang telah berkahwin (subjek kajian) untuk melihat set gambar tersebut – dan melihat gambar pasangan masing-masing pula dalam jangka masa yang pendek.
Gambar-gambar itu harus dilihat setiap 3 hari selama 6 minggu.
Hasil kajian mendapati setelah melihat set gambar terbabit, pasangan yang melihat set gambar positif akan lebih positif terhadap pasangan mereka manakala set gambar negatif menghasilkan aura yang sebaliknya!
Fungsi Otak Yang Dirangsang
Semuanya kerana otak anda. Otak anda akan merangsang pembebasan kimia dopamine (bahan kimia yang mencetuskan kegembiraan) apabila anda melihat sesuatu yang anda suka.
Tambahan lagi, apabila anda diingatkan tentang mengapa anda jatuh cinta.
Contohnya anda terlihat gambar seekor kucing pemalas yang comel itu… dan terus teringat pasangan anda (sebab pasangan pun pemalas macam itu hehehe)!
Ha… itulah penangan gambar comel “memberi aura positif” kepada anda untuk lebih menyayangi pasangan!
Menurut kajian, pasangan yang telah lama berkahwin akan lebih gembira dan bersifat positif apabila mereka melihat sesuatu yang mengingatkan mereka kepada pasangan.
Jadi, ayuhlah eratkan lagi hubungan kalian. Mari kita kongsi sebarang gambar-gambar comel yang kita jumpa sebab benda tersebut mengingatkan kita pada pasangan.
Biar mereka rasa lebih dihargai. Pasangan bahagia, anda juga yang beruntung! Hehe.
Semoga perkongsian ini membantu anda merapatkan lagi hubungan yang telah kalian bina selama ini. Selamat mencuba!
Sumber rujukan: NBC News
Baca juga:
Rahsia Perkahwinan Bahagia Terletak Di Tangan Suami Yang Bijak!