Kebanyakan kisah cinta dan dijodohkan dengan lelaki yang lebih tua dari wanita adalah cerita biasa. Namun, kisah cinta yang berakhir antara pasangan muda dari usia wanita jarang berlaku dan boleh dianggap sebagai ‘rare’.
Apabila sudah ditakdirkan jodoh seseorang itu dengan pasangan yang lebih muda, siapalah anda untuk mengelaknya.
Usia hanyalah sebuah angka dan ia tidak menjadi penghalang utama untuk anda dan pasangan mengecapi kebahagiaan asalkan hati dan perasaan saling ikhlas.
Jodoh dengan pasangan muda
Bukan mudah untuk jatuh cinta, apatah lagi berjaya untuk mendirikan rumah tangga bagi meniti kehidupan bersama.
Perkara yang paling penting adalah aspek persefahaman, rasa cinta dan saling mempercayai kebolehan masing-masing untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami isteri.
Apabila seorang lelaki yang lebih selesa memilih wanita lebih berusia sebagai pasangan hidup ia memang luar biasa. Pastinya anda memiliki keistimewaan dan kelebihan tersendiri sehingga dia nekad memilih sebagai teman hidupnya.
Beberapa panduan ini boleh membantu menguatkan lagi kasih sayang dan kemesraan dengan suami yang lebih muda. Antaranya:
#1. Menekankan nilai menghormati suami
Seperti lelaki lain, pastinya suami juga memiliki ego yang tersendiri. Biarpun usianya lebih muda, jangan sesekali memperlekehkan kemampuannya sebagai suami sehingga anda tidak menerima nasihat yang diberikan.
Setelah akad dilafazkan, segalanya tanggungjawab akan berada atas bahu suami. Dia juga mahu membimbing isteri dan menjadi ketua keluarga yang baik.
Dalam hal ini, bagi menunjukkan tanda hormat, anda digalakkan untuk memanggil nama gelaran ‘’abang’’. Hal ini mampu membuatkannya merasakan bahawa sentiasa dihormati.
#2. Sentiasa titipkan doa
Sebagai isteri yang baik, anda perlu menjaga hubungan dengan Allah dengan sentiasa meminta pertolongan dan berdoa agar rumah tangga kekal dan hormat suami walaupun usia suami jauh lebih muda.
Sekiranya anda mendapati pada awal pernikahan sukar untuk memperoleh keserasian, jangan malu untuk meminta pertolongan dari Allah terlebih dahulu.
#3. Bersangka baik dengan takdir
Ingatlah jika pasangan sudah memilih anda yang lebih tua daripadanya ia bermakna dia sangat mencintai anda kerana dalam ramai gadis-gadis muda sebayanya, dia telah membuat keputusan untuk memperisterikan anda.
Usah menjadikan perbezaan usia sebagai satu masalah yang besar. Jika telah ditetapkan jodoh dengan lelaki muda, hargailah pasangan kerana dialah lelaki yang membuka hatinya untuk menerima anda seadanya.
#4. Sentiasa bermanja dengan suami
Lelaki manakah tidak suka akan belaian manja? Majoriti lelaki amat menyukai sifat isteri yang penyayang dan pandai memenuhi keinginannya.
Bukan itu sahaja, mereka lazimnya akan sentiasa jatuh cinta dengan anda dengan sifat keibuan yang anda tonjolkan bagi memenuhi permintaan suami tanpa perlu diungkapkan dengan kata-kata.
Dari aspek layanan pula, sentiasa berikan perhatian dan menjaga tutur kata yang lembut agar suami dapat merasai kasih sayang yang tidak terbelah bagi dari anda.
#5. Menjaga penampilan diri
Jangan anggap setelah bernikah, anda tidakperlu dan malas berdandan untuk suami biarpun berada di rumah. Sentiasa tarik perhatiannya dengan penampilan yang kemas dan memakai pakaian yang bersih.
Bukan itu sahaja, anda juga perlu memastikan tubuh badan sentiasa wangi. Barulah dia merasakan tidak tersalah pilih isteri, bahkan andalah satu-satunya bidadari dunia dalam hidupnya!
#6. Bersabar ketika diuji
Tidak dinafikan memperoleh suami yang umurnya lebih muda mempunyai lebih banyak cabaran. Ia meliputi keserasian, perbezaan cara berfikir dan sering berlaku pertembungan ketika membuat keputusan.
Sebagai isteri, anda perlu sentiasa menitipkan kesabaran dalam apa jua keadaan. Sekiranya suami melakukan kesilapan, sentiasa bersedia untuk memaafkannya secara baik.
Berikan nasihat kepada suami dengan penuh hormat dan kata-kata yang lemah lembut agar dia dapat menerima teguran yang diberikan dengan baik.
#7. Tidak menghalang minat suami
Setiap orang akan memiliki minat masing-masing dan pastinya ia berbeza dari anda. Dalam melayari alam rumah tangga, elakkan merungut dan mempertikaikan hobi suami kerana mana-mana lelaki tidak gemar dengan kritikan.
Terutamanya kritikan yang diperoleh berkenaan datangnya dari orang yang dia cintai. Adalah lebih baik anda membiarkan sahaja dia layan hobinya berkenaan.
#8. Elakkan cemburu tidak bertempat
Memiliki seorang suami yang muda kebiasaannya mereka akan ‘enjoy’ dalam apa pun situasi. Sekiranya anda mendapati suami masih memperoleh perhatian wanita lain, elakkan cemburu yang tidak bertempat.
Hal ini kerana selagi suami tidak melayan mereka, maka suami tidak melakukan sebarang kesalahan. Sebenarnya sikap cemburu yang melampau hanya mengeruhkan keharmonian rumah tangga.
#9. Usah mempertikaikan kelemahan
Dalam menghadapi perjalanan sebagai suami isteri, anda dan pasangan pastinya tidak terlepas akan kekurangan diri. Jadi, berusahalah memberikan yang terbaik untuk suami. Tonjolkan kasih sayang yang ikhlas terhadapnya.
Jika suami belum berjaya menjadi suami yang baik, berikannya sedikit masa untuk berubah secara perlahan. Insyaallah lama-kelamaan dia menjadi suami yang sempurna buat anda sekeluarga.
Sumber: Pesona Pengantin
Kredit gambar : faridism & cst production
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comkunci-rumah-tangga-bahagia-2