Pelat memang perkara biasa berlaku dalam kalangan anak kecil. Tetapi ada ketikanya pelat ini petanda tidak baik jika ia tidak sesuai dengan perkembangan usia anak.
Pelat adalah keadaan bila seseorang individu itu menyebut sesuatu perkataan dengan bunyi yang berbeza daripada ejaan asalnya. Ia adalah hasil daripada pergerakan bibir, mulut dan lidah yang mempunyai kaitan dengan saraf neurologikal.
Perkataan-perkataan seperti makan yang akan berbunyi sebagai ‘akan’, minum sebagai ‘inum’ dan sayang sebagai ‘ayang’ sering berlaku dalam kalangan bayi berusia setahun sehingga kanak-kanak seawal usia tujuh tahun. Ada kes juga yang berlarutan sehingga meningkat dewasa.
Pelat boleh dirawat tetapi perlu intervensi yang betul
Menurut terapis cara kerja, Aishah Kassim, masalah pelat dengan masalah lambat bercakap adalah dua masalah berbeza. Pelat ini ada yang kes normal dan ada juga kes tidak normal yang mana ia ditentukan berdasarkan umur anak.
Katanya, perlu diketahui pelat adalah lebih kepada kesalahan menyebut bunyi yang menjadi sebutan lain. Biasanya kanak-kanak yang sedang belajar bercakap memang akan pelat dan jika kena dengan umurnya ia masih dikira normal.
Jika anak itu lambat bercakap, dia bukan pelat itu bermakna anak ada masalah bahasa, iaitu vocab masih belum banyak dan masih tidak boleh buat ayat, masih tiada first word dan sebagainya.
Tetapi jika anak sudah bercakap, tetapi sebutan tidak tepat, itu adalah pelat.
Bagaimana keperluan sesuatu intervensi itu ditentukan? Ada beberapa jenis pelat yang perlu anda tahu ia termasuklah:
#1. Tukar bunyi
Contohnya, sebutan betul adalah ‘kakak’ tetapi anak sebut ‘tatak’. Atau jika ‘pokok’ jadi ‘potok’ dan jika susu jadi ‘cucu’. Ada banyak lagi contoh lain yang mana anak tukar bunyinya.
#2. Buang bunyi
Contohnya, ‘bola’ dibuang bunyi ‘b’ menjadi ‘ola’. Atau ‘bola’ menjadi ‘boa’.
#3. Buang suku kata
Contohnya, ‘makan’ jadi ‘kan’. Nasi menjadi ‘sik’. Yang mana anak akan cakap yang hujung-hujung saja biasanya.
Pelat jadi tak normal jika ia tidak seiring umur
#1. Anak 3 tahun ke bawah
Kebanyakan jenis pelat yang anak buat masih dikira normal sekiranya anak masih berada dalam lingkungan umur ini. Sebarang bentuk kesalahan sebutan atau kesalahan adalah masih dalam peringkat normal.
Ia berikutan, organ pertuturan masih belum matang dan anak masih perlu praktis gerakan lidah, bibir, mulut dan gigi dengan betul supaya ada syncrhonization yang betul.
Bercakap adalah pergerakan motor halus yang mana ia sememangnya lebih sukar berganda berbanding pergerakan motor kasar seperti pergerakan tangan.
Cara untuk betulkan anak pada usia ini adalah ajar saja perkataan penuh padanya.
#2. Tiga tahun ke atas
Sepatutnya sudah buat bunyi huruf b,h,m,w,p.
#3. Empat tahun
Sepatutnya sudah buat bunyi huruf k,g, c, y, t
#4. Bawah 5 tahun
Normal jika anak masih tidak boleh sebut huruf r dan L dengan betul kerana untuk menyebut perkataan ini dengan betul ada kemungkinan boleh cecah umur anak hingga 6 tahun.
Makan ubat tak boleh betulkan pelat
Terapis ini turut menegaskan, makan ubat untuk betulkan pelat langsung tidak membantu justeru jangan mudah terpedaya dan berikan ubat yang kononnya boleh sembuhkan pelat anak.
Berbeza rawatan untuk anak speech delay
Jika anak ada sejarah speech delay, kita tidka boleh ukur perkembangan mereka dengan merujuk kepada carta normal. Perlu ambil kira penguasaan bahasanya pada umur bila.
Bila anak mula bercakap. Jika first word dia muncul pada umur tiga tahun, dia seolah-olah berada pada tahap perkembangan umur setahun.
Jangan langkau. Apa yang penting ada lihat dan pantau umur pertuturannya atau speech age.
Syarat rawatan pelat untuk berjaya
Untuk rawatan pelat, anak itu mestilah sudah boleh faham arahan dan dia sudah boleh buat ayat dengan beberapa perkataan. Tahap penguasaan bahasa anak perlulah sudah berada pada tahap boleh buat ayat.
Ini kerana jika anak masih pada single word memang susah untuk dia berjaya terapi pelat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Kredit foto: majalahpama
Baca juga: 2 Doa Untuk Anak Cepat Bercakap, Amalkan Ia Selalu Setiap Hari
Baca juga: 5 Topik Mudah Untuk Anda Bercakap Dengan Bayi, Boleh Rangsang Otaknya Jadi BIJAK!
Baca juga: Tingkatkan kosa kata anak anda dengan 7 tip mudah ini