Masalah pembuangan bayi di Malaysia yang terjadi bagaikan sebuah tragedi dan menunjukkan masalah sosial serius dalam negara kita. Lebih menyedihkan bayi tidak berdosa ini dibuang di kawasan semak, longkang, tong sampah dan sungai.
Antara penyebab masalah ini berlaku adaah kerana kehamilan yang tidak dirancang, remaja yang melakukan hubungan seks sebelum nikah, pergaulan bebas dan lebih menyedihkan, kes rogol yang tidak dilaporkan.
Kes pembuangan bayi di Malaysia
Menurut laporan oleh Harian Metro, mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat telah ditemui dalam tong sampah di Bandar Tun Razak, Cheras dua hari yang lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pekerja pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tempat letak kereta bertingkat di salah sebuah flat sekitar jam 5.50 petang.
‘’Dia mengatakan semasa mengambil tong sampah di bawah flat, dia ternampak mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat dan memaklumkan kepada penyelia,’’ katanya.
Pihak polis telah menerima laporan untuk ke lokasi. Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat bayi berkenaan.
Beliau berkata, mayat bayi malang tersebut dihantar ke Bahagian Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, untuk proses bedah siasat.
Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi. Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan.
Justeru beliau meminta orang ramai yang memiliki maklumat berhubung kes menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165881 atau hotline Polis KL di talian 03-21460584 atau menghadirkan diri di mana-mana balai polis yang berhampiran.
Remaja yang terlanjur diminta elak pembuangan bayi
Golongan remaja yang terlanjur dan hamil sebelum nikah diminta supaya tidak melakukan tindakan terburu-buru yang boleh membahayakan nyawa diri dan bayi. Sebaliknya anda boleh mendapatkan nasihat dan khidmat bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Hanyan Ramlan menjelaskan bahawa bayi luar nikah tidak seharusnya dibuang. Malah mereka perlu diselamatkan dan diberikan perlindungan yang sewajarnya.
‘’Mana-mana remaja yang menghadapi masalah sebegini elakkan dari terlibat dengan pembuangan bayi. Dapatkan bantuan daripada mana-mana sokongan yang sedia untuk membantu anda bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.’’ katanya.
Terdahulu, Hanyan sempat membuat kunjungan keluarga remaja perempuan berusia 18 tahun yang terlibat dengan kes pembuangan bayi di Geliga. Pihaknya terpanggil untuk memberikan nasihat dan sokongan moral kepada keluarga berkenaan yang juga merupakan golongan susah.
‘’Remaja perempuan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama lima hari bagi membantu proses siasatan. Bayi perempuannya dalam keadaan yang baik dan ketika itu masih berada di Hospital Kemaman.’’ jelasnya
Kemudahan pusat perlindungan bayi (baby hatch)
Kebelakangan ini, kes pembuangan bayi di Malaysia semakin menjadi-jadi sehingga mendatangkan kebimbangan orang ramai akibat perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini.
Bagi mengelakkan kejadian sama terjadi berterusan, peti pelindung bayi atau baby hatch ditubuhkan bertujuan untuk menyelamatkan bayi yang terabai.
Antara salah satunya adalah Yayasan OrphanCare. Pusat itu menjadi transit kepada bayi yang ditinggalkan sebelum diambil sebagai anak angkat, sekali gus memberikan peluang untuk mereka membesar dalam institusi kekeluargaan yang sempurna.
Menurut Pegawai Operasi Yayasan Orphancare, Yuzila Yusof berkata pihaknya berusaha untuk menyelamatkan nyawa bayi yang ditinggalkan tanpa perikemanusiaan, disembunyikan kelahiran atau dibuang merata-rata.
Katanya keselamatan bayi semasa dalam baby hatch diberikan jaminan. Seeloknya bayi yang ingin ditinggalkan hendaklah mempunyai beberapa dokumen dan informasi membuktikan kelahiran berlaku dalam negara bagi mengelakkan berlakunya pertikaian status kewarganegaraan sehingga menyukarkan proses seterusnya setelah kanak-kanak itu meningkat dewasa.
Yayasan OrphanCare juga menyediakan bantuan sokongan, latihan keibubapaan, membantu proses pengambilan anak angkat dan memberi khidmat kaunseling untuk ibu mengandung anak luar nikah agar mendapat perlindungan bagi mengelakkan tekanan serta ancaman bayi yang bakal lahir.
Pusat perlindungan bayi juga ditempatkan di beberapa Hospital Pakar KPJ iaitu KPJ Damansara, KPJ Ipoh, KPJ Johor, KPJ Tawakal, KPJ Seremban, KPJ Perdana dan KPJ Kuantan.
Sumber: Harian Metro, Utusan Malaysia
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Apa Salah Saya Ibu? Mayat Bayi Perempuan Dijumpai Dalam Beg Yang Ditinggalkan Tepi Pagar