Bukan mudah untuk mengawal anak-anak yang sedang membesar. Ada sahaja karenah dan gelagat mereka yang buat ibu ayah haru-biru, lebih-lebih lagi bila bawa mereka keluar berjalan. Seperti yang dilalui oleh seorang wanita, dia berkongsi pengalaman tertinggal anak di kawasan hotel.
Apa yang boleh anda baca dalam artikel ini?
- Pengalaman anak tertinggal, ibu kongsi detik mencemaskan
- Pengalaman anak tertinggal kereta, nasib baik jumpa dengan selamat
- Netizen bersuara, tuduh ibu bersikap cuai
Pastinya ia merupakan detik yang cukup merisaukan. Bayangkan selepas beberapa minit baru tersedar anak tidak cukup ‘korum’, dan rupa-rupanya dia telah tertinggal kereta.
Pengalaman anak tertinggal, ibu kongsi detik mencemaskan
Menurut wanita berkenaan, Subariah Mohd Rasidi, 35, dia dan sekeluarga menyedari kehilangan itu selepas 10 minit kereta bergerak. Mereka pada ketika sudah pun mendaftar keluar salah sebuah hotel di Kuantan, Pahang.
Dia dan suaminya menyedari bahawa anak lelaki mereka berusia lima tahun tidak ada dalam kenderaan yang dinaiki pada 2 April lalu.
”Kami sekeluarga dari Kelantan dan pergi bercuti di Kuantan. Saya dan suami membawa lima orang anak berserta ibu yang berusia 80 tahun. Kami telah menginap di hotel untuk bercuti sebelum tibanya bulan Ramadhan.”
”Sewaktu proses check out, saya dah letakkan anak-anak ke dalam kereta. Sementara itu, suami sedang jaga anak bongsu kami. Manakala anak sulung saya pula sedang bantu neneknya yang sudah uzur. Lagi tiga orang anak juga sudah masuk dalam kereta.” ceritanya.
Tambahnya lagi sebaik sahaja selesai check out dari penginapan tersebut, dia terus masuk ke dalam kereta dan mereka sekeluarga bergerak pulang menuju Kelantan.
”Lebih kurang 10 minit perjalanan, tiba-tiba saya rasa seperti sunyi dan seolah-olah tertinggal sesuatu. Apabila saya memanggil, salah seorang anak langsung tidak menyahut.”
”Kemudian barulah kami semua perasan yang anak nombor empat saya tiada dalam kereta kami,” jelasnya.
Pengalaman anak tertinggal kereta, nasib baik jumpa dengan selamat
Menurutnya, anak keempat itu bernama Muhammad Noah Haziq Hafiss diberi gelaran Emat dijumpai selamat. Dia sedang berada di tepi jalan berhampiran dengan hotel berkenaan.
Sebagai ibu, dia meluahkan rasa bersyukur kepada Allah dan lega apabila anaknya dijumpai dalam keadaan yang selamat.
”Memang saya dah rasa takut. Kalau boleh terus nak buat laporan polis. Tapi suami minta saya untuk bertenang dahulu. Kami terus patah balik dan menuju ke arah hotel.”
”Bila kami sampai di sana, memang nampak dia kat tepi jalan. Nampak muka Emat penat. Rupa-rupanya dia kejar kereta kami dekat belakang. Bila letih dan makin jauh ditinggalkan, dia patah balik berjalan ke hotel.” jelasnya.
Dia turut mengatakan bahawa tidak tahu untuk mengungkapkan perasaan lega apabila menemui semula anak dalam keadaan yang selamat.
”Saya sangat bersyukur dia selamat. Rupa-rupanya sebelum kejadian itu, dia telah turun dari kereta dan tengok akuarium dekat hotel. Saya pula ketika itu sedang check out, bila dah selesai semua terus naik kereta sebab ingatkan semua ada dah ada dalam tu,” kongsinya.
Netizen bersuara, tuduh ibu bersikap cuai
Video berkenaan telah meraih perhatian ramai di aplikasi TikTok. Meskipun kebanyakan netizen menuduh dia sebagai seorang ibu yang cuai, namun dia enggan mengambil pusing dengan komen tersebut.
”Mereka tidak tahu kejadian yang sebenar. Saya memang dah letak anak elok-elok dalam kereta kesemuanya. Tapi bila dia turun dengan tiba-tiba, tiada seorang pun yang perasan.”
”Yang cakap saya cuai, saya harap kejadian ini tidak berlaku pada orang lain. Kita rasa kita dah jaga, tapi tetap terlepas pandang.” jelasnya.
Apa sahaja perkara boleh berlaku dalam sekelip mata. Meskipun sudah berjaga-jaga, namun jika Allah berkehendakkan ia terjadi, maka akan terjadi juga.
Sebagai ibu ayah, ambil pengajaran daripada kisah yang terjadi ini. Kesilapan sekelip mata boleh membahayakan keselamatan anak-anak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anak Tertinggal Kereta Ketika Ibu Ayah Tukar Giliran Memandu, Tak Sedar Anak Tiada
Baca juga: Niat Nak Hantar Ke Sekolah, Sampai Tengah Jalan Baru Perasan Tertinggal Anak!
Baca juga: Anak 3 Tahun Dijangkiti Covid Buat Kali Ketiga, Ibu Menyesal Tak Sudah Bawa Pergi Bercuti