Pengalaman Bersalin Yang Ngeri: "Saya Hampir Mati Semasa Beranak Kerana Uri!"

Pengalaman beranak yang dialami ibu ini sungguh ngeri dan memberi kesedaran gara-gara kedudukan uri di bawah. Ikuti perjuangan seorang ibu demi anaknya ini.

Pengalaman bersalin yang takkan dilupa

Saya merupakan ibu kepada 2 anak yang sempurna. Tapi saya dan suami mahukan anak lagi. Satu hari, kami dikejutkan dengan berita saya hamil anak ke-3 dan menanti kehadirannya dengan gembira. Tapi pengalaman bersalin yang saya lalui untuk anak ini sungguh mendebarkan….

Tidak kami sangka dugaan yang menanti.

Semuanya bermula dengan imbasan ultrasound pada minggu ke-20. Semasa pemeriksaan, doktor beritahu yang saya ada placenta previa, atau uri di bawah akibat pembedahan caesarean sebelum ini.

Jadi saya perlu berhati-hati untuk tidak mengangkat barang berat atau berdiri terlalu lama.

Tapi secara logiknya, bagaimana saya nak buat untuk tak banyak bergerak jika ada 2 anak di rumah?

Saya cuba mengurangkan kerja, suami dan saya berharap agar placenta akan naik secara perlahan-lahan. Tapi tak. Tanpa kami duga, ia semakin ke bawah dan menutup keseluruhan serviks saya!

Ini bermakna saya pasti akan melalui caesarean lagi. Kami tidak terlalu kisah dan telah menetapkan 26 November sebagai tarikh pembedahan, 10 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin.

Doktor juga telah menasihatkan jika saya berdarah, saya harus ke hospital untuk pemantauan kerana ia bahaya.

Dan saya mula berdarah pada minggu ke-31. Saya dimasukkan ke hospital satu malam dan bila pendarahan itu terhenti, saya dibenarkan pulang dengan arahan perlu berehat.

Di rumah, sangat sukar untuk saya kekal 24 jam di atas katil. Saya terpaksa gosok gigi dan makan di katil. 2 minggu kemudian, pendarahan berhenti sepenuhnya.

Saya dapat berjalan sedikit demi sedikit.

Satu malam pada minggu ke-33, saya mula rasa kontraksi di bahagian perut.

Awalnya saya menyangka ia adalah Braxton Hicks tapi bila saya mula merekod masa kontraksi dan jarak masa antara kontraksi, ia semakin berkurang.

Saya segera menelefon doktor dan dia meminta saya untuk segera ke hospital.

“Saya takkan lupa pengalaman bersalin ini!”

Di hospital, kontraksi semakin teruk hingga doktor terpaksa beri ubat untuk menghentikan rasa sakit saya.

Ketika itu saya sedang mengalami kontraksi yang kuat selang 1 minit. Dan saya rasa seperti akan beranak bila-bila masa saja.

Nasib baik, ubat itu membantu menghentikan kontraksi. Kemudian saya mula rasa berdebar-debar dengan teruk dan pening, hingga mereka terpaksa menghentikan ubat tadi.

Kontraksi bermula semula selepas ubat dihentikan.

Kali ini doktor memesan untuk kami bersedia jika bayi keluar awal. Kami telah mencuba pelbagai cara untuk memastikan bayi kekal lebih lama dalam perut.

Tapi kontraksi tetap semakin kuat setiap minit. Selepas 24 jam bertahan, pendarahan bermula.

Doktor menyatakan yang kami tidak boleh tunggu lagi. Mereka harus membedah untuk mengeluarkan bayi.

Kami telah berbincang panjang tentang komplikasi yang mungkin hadir akibat keadaan placenta saya.

Keadaan paling teruk, saya mungkin mengalami placenta accreta- situasi di mana placenta melekat dalam rahim dan tidak boleh dikeluarkan.

Ini akan menyebabkan pendarahan yang banyak dan doktor terpaksa membuang rahim saya. Mereka mendapatkan darah dari bank darah kalau-kalau saya memerlukannya.

Kami berdoa agar pembedahan berjalan lancar. Doktor menyakinkan suami yang sekiranya pendarahan terjadi, mereka akan menggunakan apa saja cara untuk menghentikannya supaya dapat menyelamatkan rahim saya.

Membuangnya adalah jalan terakhir.

Dengan penuh harapan dan kepercayaan pada Tuhan, saya masuk ke dewan bedah dengan keberanian.

Saya diberi bius separa badan pada awalnya jadi saya sedar ketika pembedahan bermula. Saya dapat rasa perut ditolak ditarik semasa pembedahan. 

Ini pengalaman bersalin yang buat saya lebih sedar

Saya sungguh teruja menanti untuk mendengar dan melihat bayi saya. Salah seorang jururawat bertanya bagaimana keadaan saya, dan saya beritahu apa yang saya rasa.

Dia memberitahu yang keadaan akan menjadi lebih baik.

Apa yang saya tahu kemudian ialah saya terbaring di atas katil di ICU. Pembedahan sudah berakhir!

Suami saya di sebelah memberitahu apa yang telah terjadi.

Semasa pembedahan, saya telah kehilangan terlalu banyak darah dan mengalami placenta accreta dan doktor terus memberikan bius sepenuh badan.

Saya kehilangan 5 liter darah! (Ia seperti 5 botol besar air Coke!)

Doktor telah memberitahu suami tentang situasi tersebut dan mendapat persetujuan verbal untuk membuang rahim saya.

Jika tidak, saya boleh mati. 

Dan mereka harus bertindak pantas kerana saya kehilangan banyak darah dengan cepat, saya hanya dapat membayangkan betapa risaunya suami saya ketika itu!

Tapi, dengan kasih sayang  dan perlindungan Tuhan, saya dan bayi selamat. Bayi saya terpaksa tinggal di hospital selama 2 minggu dan walaupun dia lebih kecil dari bayi lain sebaya dengannya, dia ceria dan mencapai perkembangan dengan baik.

Dia baru mencapai umur 1 tahun dan bakal berjalan tidak lama lagi. Saya rasa pengalaman ini telah menjadikan saya lebih menghargai setiap hari.

Anda ada pengalaman bersalin yang sungguh tidak akan dilupakan? Kongsikan ia dengan kami.

Sumber: theAsianParent Singapore

Kredit gambar: Kidspot

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.comproses-bersalin-trauma/

 

Penulis

Aqma