Menjelang tarikh jangkaan bersalin, rata-rata ibu pastinya akan membuat persediaan kelengkapan bersalin dan dokumen penting untuk ‘bermalam’ di hospital. Walau bagaimanapun, ada juga ibu berdepan pengalaman bersalin dalam kereta dengan mudah.
Meskipun ia bukanlah kali pertama dilaporkan berlaku, pengalaman inilah yang amat mendebarkan bagi pasangan suami isteri kerana perlu menyambut bayi dengan betul agar nyawa kedua-duanya selamat.
Pengalaman bersalin dalam kereta, suami bertukar jadi mak bidan
Kebelakangan ini telah tular sebuah video Tik Tok dengan tontonan 2.7 juta yang menunjukkan pasangan suami isteri dalam perjalanan menuju ke hospital. Difahamkan pada mulanya mereka berdua sengaja memasang kamera di dalam kereta bagi merakam vlog detik-detik bersalin dari awal hingga akhir.
Namun siapa sangka sebaik sahaja memulakan perjalanan dalam kira-kira 10 minit, bayi yang berada dalam kandungan sudah tidak sabar hendak melihat dunia.
Disebabkan oleh wanita berkenaan sudah tidak dapat menahan dan kepala bayi mula keluar, suaminya telah menghentikan kereta di tepi jalan serta segera menghubungi operator kesihatan di talian telefon.
Berbekalkan semangat dan apa yang diajar oleh petugas di talian, isterinya terus meneran dengan tenang sehingga bayi mereka selamat dilahirkan.
Pengalaman bersalin dalam kereta, risau anak tidak bersuara selepas dilahirkan
Walaupun sudah berjaya, pasangan ini menjadi takut apabila tangisan bayi langsung tidak kedengaran. Mujur selepas 20 saat anaknya mula merengek dan menangis.
Kata ibu ini, tempoh pendek itu sudah cukup membuatkan jantungnya luruh. Apatah lagi mereka risau dengan wabak pandemik Covid-19 yang masih menular sehingga kini.
Persediaan suami ketika isteri mula rasa sakit bersalin
Tidak hanya isteri, para suami juga perlu memainkan peranan dan melakukan persiapan untuk menyambut cahaya mata. Ini adalah untuk mengelakkan rasa panik sewaktu isteri mula merasakan sakit kontraksi.
Adalah normal sekiranya si ayah berasa takut dan gementar untuk berdepan setiap proses kelahiran, lebih-lebih lagi jika ia adalah anak yang pertama.
Justeru ada beberapa tips bagi membolehkan anda bersedia ketika ibu menghampiri tarikh bersalin. Antaranya ialah:
#1. Pastikan anda tahu jalan yang paling dekat dan kurang sesak untuk ke hospital. Sebagai suami, sentiasalah bersedia untuk memandu secara selamat ketika saat kelahiran tiba. Paling penting adalah anda tahu hospital mana yang ingin isteri bersalin nanti!
#2. Minyak kenderaan adalah mencukupi. Meskipun nampak mudah, namun kecuaian dalam memeriksa minyak kereta boleh mendatangkan masalah. Justeru pastikan tangki minyak adalah penuh, nanti tidaklah perlu anda kelam-kabut untuk berhenti di stesen minyak ketika dalam perjalanan ke hospital!
#3. Dapatkan nasihat dari ahli keluarga atau kawan-kawan yang pernah melalui pengalaman sama. Persediaan menyambut kelahiran mungkin berlaku di luar jangkaan anda. Luangkan sedikit masa untuk mendengar pengalaman dan nasihat daripada orang sekeliling.
#4. Sediakan satu beg untuk anda. Jangan lupa untuk membuat persediaan kelengkapan diri. Ketika menunggu di hospital, anda mungkin perlu menukar baju, sejadah untuk solat dan sedikit makanan ringan. Ketika ini takkan lah anda nak ulang-alik ke rumah atau kafe. Ingatlah bahawa isteri memerlukan anda untuk berada disampingnya.
#5. Jadi penyokong nombor 1 buat isteri. Sewaktu berdepan sakit kontraksi, emosi isteri ketika ini mungkin bercampur-baur. Dia berasa sakit teramat, sedih dan takut sehingga lupa untuk mengikuti setiap ilmu bersalin yang telah dipelajari awal.
Justeru sebagai suami, anda perlulah memainkan peranan untuk menenangkannya. Ingatkan isteri untuk bernafas dengan betul, membaca zikir dan lakukan sedikit urutan ringan bagi membolehkannya berasa selesa.
Kelahiran bayi boleh menjadi pengalaman yang menakutkan buat isteri. Dengan sokongan baik dari suami, ia amat membantu memudahkan segala proses bersalin.
Hanya yang melaluinya sahaja akan tahu betapa sakitnya melahirkan anak. Sebab itulah setiap suami perlu menghargai pengorbanan isteri kerana nyawa mereka menjadi taruhan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Persediaan Semasa Di Bilik Bersalin, 5 Perkara Ini Sering Berlaku Di Luar Jangkaan Ibu!