Ibu bapa ini telah berkongsi mengenai pengalaman ngeri anaknya yang lemas di sebuah kolam renang sebuah hotel.
Mereka juga berharap agar cerita mengenai anak mereka menjadi tular agar dapat membuat ibu bapa yang lain lebih berhati-hati. Mari lihat perkongsian mereka.
Surat terbuka tentang insiden di kolam renang
“Kami berharap agar perkongsian ini dapat menyelamatkan nyawa seseorang!! Tolong, kami memohon kawan-kawan dan keluarga untuk mengongsikan pos ini dan meminta kawan anda untuk melakukan hal yang sama.
Semasa percutian Easter, kami sekeluarga telah pergi bercuti di H10 Rubicon Palace di Playa Blanca, Lanzarote. Tiga hari sebelum terbang pulang, tragedi yang sangat menakutkan terjadi kepada anak perempuan kami yang berusia enam tahun, Darcey, di kolam renang hotel.
Darcey sedang berenang di dalam air semasa rambutkan tersekat di dalam penapis air yang menjalankan air terjun buatan di kolam renang tersebut.
Dia tidak dapat naik ke permukaan air akibat rambutnya tersekat dan dia berada di dalam air selama lebih dua minit. Beberapa orang yang berani telah menyelamatkan anak perempuan kami.
Rambutnya telah ditarik-tarik sebelum diputuskan dari kepalanya. Darcey sudah tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan di sebelah kolam renang.
Dia kemudiannya telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Arecife di mana dia telah dipantau rapi.
Tahap oksigen di dalam badanya sungguh rendah dan air memenuhi paru-paru kanannya.
Kami bernasib baik Darcey dibenarkan keluar keesokan harinya. Tetapi, ini telah mengubah pengakhiran percutian kami.
Itu merupakan hari yang paling teruk di dalam hidup kami. Kami masih takut dengan apa yang terjadi. Tetapi kami sangat bernasib baik anak perempuan kami selamat.
Pihak hotel tidak mahu bertanggungjawab
Pihak hotel tidak menunjukan rasa hormat terhadap kami semasa mengendalikan hal ini.
Pada mulanya mereka mengatakan Darcey tergelincir, terhantuk kepalanya hingga tidak sedarkan diri sebelum jatuh ke dalam kolam renang.
Kuantiti rambut Darcey yang banyak telah dikeluarkan dari penapis kolam renang itu namun wakil pihak pengurusan hotel cuba menyembunyikan rambut tersebut di dalam poketnya.
Mereka langsung tidak menutup kolam renang, menutup air terjun buatan ataupun menyiasat hal tersebut.
Dua hari sebelum kejadian ini, alat penapis yang sama telah menarik seluar seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun semasa berenang melintasi penapis tersebut.
Hal tersebut telah diadukan kepada pegawai keselamatan sebanyak empat kali oleh pelawat yang berlainan sebelum kejadian yang menimpa Darcey, namun tiada tindakan di ambil.
Empat gumpalan rambut Darcey telah hilang namun dia bernasib baik kerana ia tumbuh semula.
Kami telah diberitahu oleh seorang pekerja hotel yang penjaga kolam renang adalah tidak terlatih dan berada di situ sekadar untuk menunjukkan kehadirannya.
Mengejutkan!
Kami menempah percutian ini melalui First Choice yang telah memberitahu kami bahawa mereka telah menerbangkan wakil pengurusan mereka ke hotel tersebut bersama kumpulan keselamatan dan kesihatan untuk menyiasat dan memastikan air terjun dan penapis air itu selamat.
Tanpa diketahui mereka, kami masih mempunyai kawan di sana yang telah memberitahu bahawa tiada sesiapa pun di hotel tersebut untuk menjalankan siasatan.
Ini telah membuktikan kepada kami bahawa pihak First Choice lebih mementingkan keselamatan kontrak mereka bersama pihak hotel berbanding keselamatan pelanggan mereka.
Kami mahu orang ramai untuk sedar akan bahaya di kolam renang
First Choice tidak menjalankan sebarang siasatan berkaitan hal ini, jadi ia meninggalkan kami tiada pilihan melainkan mewar-warkan kepada keluarga yang ingin bercuti nanti.
Saya telah membaca berita tentang seorang kanak-kanak warga British yang berada di dalam keadaan kritikal selepas terjadi satu insiden di H10 hotel di Costa Teguise, Lanzarote.
Berita tersebut tidak memasukkan butiran kejadian, jadi itu membuatkan saya mahu menulis perkongsian ini lebih lagi.
Saya dan Gareth tidak mahu ibu bapa lain melalui apa yang kami lalui.
Kami tidak akan dapat melupakan hal ini dan kami berharap perkongsian ini dapat membuatkan lebih ramai berhati-hati.
Kami akan memperjuangkan hal ini. Jadi sebarang cadangan bagaimana untuk menanganinya adalah sangat dihargai.
Terima kasih semua. X”
Sungguh menakutkan apa yang terjadi kepada Darcey dan dia sangat bernasib baik ada yang membantu menyelamatkannya.
Percutian memang menyeronokkan namun aspek keselamatan tidak boleh diabaikan.
Sebagai ibu bapa, amat penting untuk kita bertindak sebagai pelindung bagi memastikan keselamatan anak-anak.
Tips keselamatan di kolam renang
Berikut adalah antara tips keselamatan yang boleh diambil kira jika anda bercadang untuk membawa anak-anak bermain di kolam renang;
- Pastikan anak-anak sentiasa berada di dalam pemerhatian anda. Jangan sesekali membiarkan mereka hilang dari pandangan anda. Mestipun mereka berada di kolam kanak-kanak yang cetek.
- Jika anak masih kecil, pastikan mereka sentiasa berada di dalam jarak yang anda boleh capai.
- Jangan menenggelamkan kepala anak-anak yang berusia di bawah tiga tahun. Mereka boleh tertelan banyak air dan membahayakan nyawa mereka.
- Ajarkan anak yang lebih besar tentang asas keselamatan berada di kolam renang seperti tidak bermain di tempat yang terlalu dalam, tidak berlari di kawasan kolam renang dan tidak menolak orang ke dalam kolam renang.
- Pastikan terdapat penjaga yang bertugas dan jangan menggunakan kolam renang jika ia belum dibuka kepada orang ramai.
- Belajar CPR untuk kanak-kanak supaya anda tahu apa yang patut dilakukan sekiranya terjadi kejadian mencemaskan seperti lemas (baca cara CPR untuk bayi & kanak-kanak di sini).
Sumber: parent