Usah Cemburu Lihat Orang Lain Sibuk Beribadah, Ada PAHALA Yang Lain Buat Para Ibu!
Pengorbanan ibu dalam melayan karenah anak kecil sehingga tidak berkesempatan untuk beribadah. Sentiasa bersangka baik kerana ada pahala lain di sebaliknya!
Setiap kali bulan Ramadhan tiba, seluruh masyarakat akan berlumba-lumba untuk melakukan ibadah mengikut sunnah Rasulullah. Namun tidak semua ‘berkesempatan’ kerana perlu menguruskan keluarga di rumah. Ikuti luahan seorang isteri dan ibu ini.
Kehadiran bulan Ramadhan adalah yang paling dinanti-nantikan kerana menjanjikan pahala berlipat kali ganda dan membawa pelbagai keberkatan.
Pengorbanan ibu ketika bulan Ramadhan
Menurut perkongsian oleh seorang pengguna Facebook, Annie Sukery, cemburu melihat sahabat ada yang boleh menunaikan solat tarawih dengan tenang, lengkap sehingga 20 rakaat semalaman. Mereka juga boleh bertadarus dan berzikir tanpa gangguan.
Tambah lagi mereka kata boleh khatam beberapa kali dalam Ramadhan. buat kerja amal sana, sini sedangkan saya masih begini.
Sahkan mendirikan solat sunat, solat wajib pun kena curi-curi. Terkadang nak solat di awal waktu pun tidak mampu. Baru selesai wudhuk, si anak minta disusukan. Dah disusukan, merengek mahu tidur pula. Sudahnya, setengah jam pertama solat awal waktu hilang begitu sahaja.
Jikalau orang mampu membaca juzuk al-quran sehari, saya terkadang bergelut dengan karenah anak yang pelbagai. Baru pegang al-quran, diminta dukung. Baru baca satu ayat, ditariknya helaian al-quran hampir terkoyak Qalam suci ini.
Allah, aku hanya ingin membaca ayatMu. Namun amanahMu ini terus menguji, maka yang mampu hanya sehelai sahaja.
Bertahajud apatah lagi, saya bangun dan anak pun bangun. Main tidur bangun, sedar-sedar sudah hampir Subuh. Maka hanya mampu berzikir tanda pengabdian kepada Yang Khalid.
Pengorbanan ibu ketika ingin melakukan ibadah
Bangun sahur mencabar, sama juga memasak untuk berbuka. Sambil menggoreng, sambil dukung anak. Sambil masak nasi layankan karenah si kecil dulu. Banyak simpan resepi, sudahnya lauk tunjuk-tunjuk atau sekadar yang ringkas sahaja.
Terdetik di hati, kenapa Ramadhan ku terasa tersisa begitu sahaja? Adakah aku tidak layak turut sama merebut pahala ibadah kepadaMu? Betapa hebat ujian ibadah buat seorang ibu?
Namun perasaan itu aku buang jauh-jauh. Kerana adilnya Allah tak sama dengan adilnya kita. Belum tentu orang yang lapang solat sunat sama pahalanya dengan orang yang cuba mencuri masa solat wajib gara-gara anak kecil perlukan perhatian.
Belum tentu sama orang lapang yang bertahajud pahalanya seperti ibu tidak tidur malam melenakan anaknya yang disusukan.
Belum tentu sama orang yang mampu khatam berkali-kali pahalanya dengan seorang ibu yang sehabis daya mencari ruang membaca al-quran walaupun hanya sekadar satu muka surat.
Allah itu Maha Melihat. Allah itu Maha Pengasih. Berbahagialah menjadi ibu yang disibukkan dengan urusan rumah tangga dan anak-anak.
Ganjaran terhadap setiap pengorbanan ibu dan isteri
Lebih baik kita sentiasa merasa tidak cukup amalan berbanding merasakan kitalah beramal paling hebat dan banyak. Sungguh, ujian kita tidak sama.
”Apabila seorang wanita itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan mentaati perintah suami, maka dijemput akhirat supaya masuk mengikut pintu mana yang disukainya.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibn Hibban dan Thabrani)
Dulu waktu membaca hadis ini, saya hairan kenapa Allah letak syarat yang mudah sangat untuk wanita masuk syurga. Rupanya apabila sudah berumah tangga dan ada anak kecil, baru saya faham ujiannya bagaimana.
Nak solat terkejar-kejar, nak puasa, diuji dengan cabaran mengandung dan menyusu selama bertahun-tahun. Kena jaga aurat dengan ipar duai atau ke mana sahaja dan paling mencabar adalah patuh kepada suami. Realitinya bukan mudah.
Betapa Allah Maha Mengetahui batas dan kudrat hambaNya. Betapa Allah sayang kita yang bergelar wanita hiasan dunia.
Apapun ibadah kita, sikit atau banyak bukan penentu kita meraih banyak pahala. Hanya Allah sahaja sebaik-baik penilai.
Teruskan memohon doa.
Ya Allah, kudrat aku ini banyak habiskan untuk menjaga anak-anak, suamiku, rumah tanggaku, maka aku mohon dengan cara ini, ia menyelamatkan aku dari nerakaMu. Meraih syurga dan rehat yang tiada penghujung di akhirat kelak.
Sumber: Annie Sukery
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman
Baca juga: Suri Rumah Kena Banyak Bersabar, Sindrom ‘Sunyi’ Yang Dirasai Tidak Ramai Mengerti