Kebanyakan wanita bakal bergelar ibu mungkin berasa keliru mengenai penjagaan awal kehamilan, memandangkan ini adalah pengalaman kali pertama. Apa yang penting, anda usahlah terlalu berfikir banyak dan semak sahaja beberapa tips ini bagi membantu memudahkan urusan harian.
Setiap orang akan mengalami tanda-tanda awal kehamilan yang berbeza. Ada yang lewat datang bulan, ada yang berasa sakit bahagian bawah perut dan juga berasa mual ketika awal pagi.
Penjagaan awal kehamilan yang para ibu perlu tahu
#1. Pendarahan faraj
Pendarahan ringan atau spotting adalah serupa dengan haid, namun ia sedikitdan warna darah berbeza iaitu merah hingga ke coklat. Biasanya, perkara ini berlaku di awal minggu-minggu kehamilan yang disebabkan oleh hormon mengawal kitaran haid dan proses persenyawaan.
#2. Rasa kejang pada perut
Membawa bayi dalam kandungan akan menyebabkan tekanan ke atas otot-otot, sendi dan urat. Tisu-tisu kental dan fleksibel (ligamen) akan menyambungkan tulang meregang untuk menyokong pembesaran rahim. Apabila bergerak, anda mungkin berasa sakit pada sebelah atau kedua-dua belah badan.
#3. Kemurungan semasa hamil
Perkara ini disebabkan oleh anda berasa tidak gembira ketika mengetahui diri mengandung dan seterusnya menyebabkan kemurungan.
Sesetengah wanita tidak bersedia untuk menerima kehadiran zuriat sebaik beberapa minggu selepas berkahwin. Justeru, terimalah kurniaan rezeki ini dengan hati yang lapang. Sekiranya perlu, luahkan pada pasangan dan dapatkan bimbingan kaunseling.
#4. Seks dengan pasangan
Seks ketika hamil selamat untuk diteruskan seperti biasa. Kajian membuktikan ia tidak menyebabkan kelahiran pramatang jika kehamilan adalah sihat dan normal. Bukan itu sahaja, ibu mengandung yang bersetubuh dengan suami secara teratur dapat mengurangkan risiko kelahiran pramatang.
#5. Pemakanan ketika hamil
Setiap ibu hamil amat disarankan untuk menjaga diet yang sihat dan seimbang bagi membolehkan janin membesar dengan baik. Ia perlulah merangkumi buah-buahan, makanan berkanji, kaya protein dan produk tenusu.
Elakkan konsep ‘makan untuk dua orang’. Ini boleh menyebabkan anda makan dengan kuantiti lebih banyak. Cara terbaiknya adalah makanlah ketika berasa lapar.
#6. Pengambilan vitamin tambahan
Kebanyakan ibu mengandung cenderung berdepan masalah alahan atau mabuk hamil. Hakikatnya, penjagaan awal kehamilan dengan mengambil vitamin dan mineral tambahan antenatal adalah jaminan bagi memenuhi keperluan nutrisi harian anda.
Ibu disarankan mengambil 400mcg asid folik sehari bagi 12 minggu pertama kehamilan. Apabila kandungan semakin membesar, anda myngkin memerlukan vitamin D, zat besi dan kalsium.
#7. Masalah kerap terkencing
Ia dikenali sebagai stres inkontinens dan perkara biasa dialami ibu hamil. Ini terjadi kerana hormon berlainan menyebabkan tisu-tisu dan otot lantai pelvis meregang. Kesannya, otot yang mengawal pundi kencing dan air kencing menjadi lemah.’
#8. Mabuk hamil
Anda tidak keseorangan! 8 daripada 10 wanita cenderung mengalami mabuk atau muntah-muntah pada beberapa minggu pertama kehamilan.
Jika mengalaminya dengan teruk, ibu mungkin tidak dapat bekerja, menguruskan rumah atau memasak untuk suami. Bagi mengatasi masalah ini, ia memerlukan perubahan pemakanan, bantuan kendiri dan perubatan semula jadi seperti halia atau acupressure.
#9. Emosi yang sering berubah-ubah
Peningkatan hormon estrogen dan progesteron dalam badan akan membuatkan anda berasa sedih dan lebih sensitif. Anda mungkin rasa gembira bakal menimang cahaya mata, beberapa minit kemudian berasa risau cara untuk berdepan proses bersalin kelak.
Bagi mengatasi masalah ini, banyakkanlah untuk berehat pada waktu siang atau ambil sedikit masa bagi melupakan sebentar kesan sampingan kehamilan seperti berjumpa kawan-kawan atau menonton filem menarik di rumah.
#10. Berat badan berlebihan
Diet bagi mengurangkan berat badan ketika mengandung adalah tidak digalakkan, tapi anda disarankan mengamalkan diet sihat dan seimbang. Jika berat anda berlebihan, penting untuk mengelakkan diri dari pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan gula serta lemak.
#11. Pemeriksaan pratanal yang pertama
Jika tinggal di luar bandar, anda boleh berjumpa bidan di klinik kesihatan kerajaan atau klinik kesihatan ibu dan anak. Biasanya, pemeriksaan fizikal akan dilakukan seperti mengambil tekanan darah, mengukur berat dan ketinggian.
Air kencing juga akan diperiksa bagi memastikan kehadiran protein. Anda juga mungkin diminta memberikan sampel darah dan melalui imbasan ultrasound bagi memastikan usia kehamilan serta menetapkan tarikh jangkaan bersalin.
Sebelum pulang, tarikh temu janji seterusnya akan dicatat dalam kad pranatal atau dipanggil sebagai buku pink.
Kementerian kesihatan memberikan panduan berapa kerap anda membuat pemeriksaan pranatal iaitu:
- bawah 28 minggu: sekali sebulan
- 28 hingga 35 minggu: setiap 2 minggu
- 36 minggu ke atas: setiap minggu
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kerap Gastrik Ketika Hamil Adalah Normal, Ia Petanda Bayi Anda Semakin Membesar!