Tanda-tanda penyakit yang hampir sama boleh membuatkan seorang doktor boleh tersalah mendiagnosis pesakit. Malang bagi pasangan Veronica dan Scott Rafferty, kes sebegini berlaku apabila anak perempuan mereka, Amber terkena penyakit meningitis…
Penyakit Meningitis Pada Bayi Disangka Sembelit
Kisah tragik ini bermula apabila Veronica memutuskan untuk ke Royal Hospital for Sick Children di Edinburgh setelah risaukan kesihatan anaknya.
Namun, Veronica lega dan pulang ke rumah apabila doktor berkata bayinya itu hanya mengalami sembelit biasa. Tapi keesokkan harinya, Amber meninggal dunia akibat penyakit meningitis, pada usia hanya 2 bulan!
Pasangan suami isteri tersebut mahukan penjelasan dan minta siasatan dijalankan dengan segera.
Sebaik sampai di bahagian kecemasan, pihak hospital berjaya menyedarkan Amber dan memberikan si kecil itu sejumlah antibiotik dengan dos tinggi.
Malang sekali, jantung Amber terlalu lemah untuk bertahan hidup walaupun doktor telah berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkannya.
Perjuangan Amber, Bayi Pramatang Sebelum Terjadinya Meningitis
Amber Rafferty lahir pada 16 Februari ketika berusia 28 minggu, dengan berat tidak lebih dari 1.3kg.
“Dia sangat kecil ketika dilahirkan tetapi dia boleh bernafas sendiri tanpa bantuan oksigen. Amber adalah anak pertama kami. Sepanjang kehamilan, saya hanya mengalami kencing manis tetapi saya berasa sihat. Cuma semasa kehamilan saya pada 27 minggu, saya mengalami beberapa kontraksi.”
Veronica seterusnya dirawat di hospital untuk dipantau dan 6 hari kemudian, si kecil Amber lahir. Bayi itu dilahirkan sempurna malah berat badannya meningkat dari hari ke hari. Tetapi 9 hari kemudian, Amber sering mengalami sembelit.
“Saya menjelaskan kepada doktor yang anak tidak sihat dan tidak membuang air besar. Ketika itu, doktor ada nampak satu titik di dada Amber. Bila doktor tanya, saya sendiri tak pernah melihat titik itu.
Kemudian doktor membuat kesimpulan yang anak saya okay. Saya percaya cakap doktor sebab Amber nampak tenang, dan denyutan jantung yang laju tadi cuma kegelisahan. Saya bukan doktor tetapi kalau mereka beritahu saya lebih awal yang kemungkinan ada jangkitan, saya pasti akan ingin Amber menjalani ujian dan pemeriksaan lanjut. Tetapi semuanya sudah terlambat!”
Faktor Penyebab Jangkitan Meningitis
Penyebab penyakit meningitis boleh dilihat mengikut kumpulan umur. Bayi baru lahir biasanya disebabkan oleh bakteria Streptococcus grup B, Escherichia coli, Listeria monocytogenes.
Manakala bayi dan anak kecil yang lebih tua pula disebabkan oleh Streptococcus pneumoniae, Neisseria meningitidis, Haemophilus Influenza B. Bayi lebih mudah mendapat jangkitan berbanding kanak-kanak usia lain.
Tanda-Tanda Penyakit Meningitis Pada Bayi dan Kanak-Kanak
- Demam
- Sakit kepala, dan leher kaku
- Bayi atau kanak-kanak kelihatan lemah
- Mudah menangis
- Muntah
- Tiada nafsu makan.
- Bayi mempunyai lekuk kepala (soft spot) yang abnormal, atau refleks yang abnormal.
Jika ibu bapa mengenalpasti tanda-tanda meningitis pada anak anda, segera bawa berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel ini asalnya ditulis oleh Adisty Titania dan mendapat keizinan theAsianparent Indonesia untuk diterjemah.