Di saat negara masih berjaga-jaga dalam berhadapan wabak Covid-19, rakyat dikejutkan lagi dengan berita kematian seorang kanak-kanak akibat penyakit rabies.
Kehadiran kes ini sangat membimbangkan kerana ia berpotensi merebak ke tempat lain sekiranya tidak dikawal dengan sempurna. Jika seseorang memiliki simptom rabies, peratus kematiannya agak tinggi.
Bahaya penyakit rabies
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun telah menjadi mangsa terbaharu penyakit rabies di Sarawak. Dia telah meninggal dunia di Hospital Sibu, pada Khamis yang lalu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kanak-kanak berkenaan tinggal di Bandar Sibu adalah mangsa penyakit rabies ke-23 yang direkodkan sejak pengisytiharan wabak ini pada 31 Julai 2017.
Ia adalah kes pertama yang dicatatkan berlaku pada tahun ini. Difahamkan, kanak-kanak malang berkenaan pernah diserang dan digigit oleh anjing liar pada 8 Mac lalu di bahagian muka, mulut dan kelopak mata.
Walau bagaimanapun, luka yang dialaminya tidak dicuci menggunakan air bersih dan sabun selepas kejadian dan sebelum mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari sama.
“Mangsa kemudiannya diberikan suntikan vaksin anti-tetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) serta dua dos suntikan vaksin anti-rabies semasa dirawat di Hospital Sibu. Memandangkan keadaannya semakin sihat, dia dibenarkan keluar wad pada 13 Mac sementara dos ketiga vaksin anti-rabies juga sudah diambil pada 16 Mac,” kata Dr. Noor Hisham.
Tambahnya lagi, pada Selasa lalu, mangsa mengalami masalah demam yang agak teruk telah dibawa ke sebuah Klinik Komuniti di Bandar Sibu. Dua hari kemudian, dia sekali lagi dimasukkan ke wad di Hospital Sibu kerana sakit tekak, sukar menelan air dan kerap berhalusinasi.
Katanya, keadaan mangsa bagaimanapun bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia selepas sehari di wad dengan sampel kanak-kanak berkenaan disahkan positif rabies encephalitis oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 29 Mac 2020.
“Anjing liar yang mengigit mangsa juga dilaporkan mati pada 10 Mac 2020, namun tiada sampel yang diambil.” ujarnya.
Nasihat kementerian kesihatan
Penyakit rabies adalah sejenis penyakit disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus dari haiwan seperti anjing yang telah dijangkiti rabies.
Ia berjangkit melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan kepada manusia.
Rabies adalah salah satu penyakit yang menyebabkan kematian 100% jika tanda-tanda penyakit telah timbul pada diri mangsa.
“Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi lain bagi memastikan langkah pencegahan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh,” kata Dr. Noor Hisham.
Beliau berkata, orang awam diminta mengambil langkah pencegahan penyakit rabies dengan mencuci bahagian tubuh digigit anjing atau haiwan lain dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.
Kemudian, barulah segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Selain itu, katanya pemilik haiwan perlu memastikan anjing peliharaan mendapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat.
Anda juga perlu mengelakkan binatang belaan bercampur dengan anjing atau haiwan liar yang lain.
“Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk bersikap agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran,”
“Laporkan juga kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar berkeliaran di kawasan tempat tinggal anda. Bukan itu sahaja, anda dinasihatkan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan, ” katanya.
Simptom penyakit anjing gila
Simptom spesifik menunjukkan pesakit berkemungkinan mempunyai jangkitan rabies adalah kebas, sakit ataupun kegatalan teruk pada tempat gigitan sebelum ini. Fasa ini akan berlaku selama 2 hingga ke 10 hari sebelum ke fasa yang seterusnya.
Simptom yang lain adalah:
- Kerap berasa letih
- Tidak mempunyai selera makan
- Sakit kepala
- Demam
- Kesejukan
- Dilanda keresahan
- Tidak boleh tidur
- Rasa tertekan
Sumber: Berita Harian, The Diagnosa
Kredit foto: Berita Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comtubuh-badan