Setiap kanak-kanak dilahirkan sifat dan perangai yang berbeza, baik perangai anak sulung hinggalah yang bongsu. Inilah satu norma yang akan dilalui oleh sesiapa sahaja yang mempunyai keluarga besar. Perangai, sifat marah, bertolak ansur semuanya berlainan. Lagi-lagi kalau mereka tidak dapat apa yang mereka nak.
Dalam keluarga yang besar ini juga, pastinya anak-anak punya ragam tersendiri. Yang si kecil berumur 10 bulan begitu, perangai anak sulung pula lain peelnya. Si ibu bapa mula garu kepala. Macammana nak tegur bayi yang kecil sampailah yang dah meningkat kanak-kanak ini. Cara apakah yang paling sesuai untuk melatih anak-anak menjadi berdisiplin.
Kalau diikutkan hati mak bapak, mesti disebabkan perangai anak sulung yang kena, yang lain mula tunduk takut-takut jadi mangsa. Tapi, adakah berkesan kalau anda menggunakan taktik dan strategi yang sama untuk mendisiplinkan anak? Maklumlah anak-anak ini tak sama caranya. Tambahan pula, kalau mereka berbeza peringkat umur. Malah, terdapat pelbagai jenis displin kanak-kanak. Bagaimana anda nak tahu apa yang betul ataupun tidak? Itulah persoalannya.
Dua cara atau strategi disiplinkan perangai anak sulung & seterusnya
Ini antara cara yang anda mungkin ketahui. Yang mana satukah adalah anda?
- Guna cara atau strategi disiplin yang sama untuk semua anak: Sekiranya anda menggunakan cara yang sama, anda pasti tahu bahawa amat sukar untuk anda membuat peraturan yang sama untuk anak-anak anda. Yang kecil tak boleh menonton TV tetapi yang besar sikit dah boleh tengok. Cubaan untuk menyamaratakan perkara seperti ini adalah amat sukar sebenarnya. Apalagi kalau anak anda menyedari bahawa cara dan peraturan yang dikenakan adalah tidak sama dan nampak seperti tidak setimpal.
- Guna cara disiplin yang berbeza: Baik ibu atau bapa, keduanya mempunyai cara ibu bapa mendidik anak yang tersendiri. Lagilah pening anak anda kan? Cara mana nak ikut. Ibu ke bapa? Bukan anak sahaja yang pening. Ibu bapa pun sama juga. Terlalu banyak peraturan sampaikan tak tahu yang mana patut ibu bapa ikut.
Apa cara yang terbaik untuk mendidik anak anda?
Kalau dilihatkan bila guna cara sama dan berbeza keduanya ada baik dan buruknya yang tersendiri. Anda tak perlu sebenarnya besarkan anak anda dengan cara berbeza, anda hanya perlu didik anak mengikut sifat anak itu sendiri.
Daripada anda cuba untuk buat peraturan yang sama atau membeza-bezakan anak-anak anda. Lebih baik anda buat strategi yang khusus mengikut keperluan anak itu sendiri.
Apa yang anda perlu tahu tentang disiplin
#1. Disiplin bukan garang
Disiplin adalah peraturan yang diwujudkan dengan tujuan untuk melatih seseorang berkelakuan baik. Anda tidak perlu jadi garang untuk mendisiplinkan anak. Anda hanya perlu menggunakan cara yang betul.
#2. Disiplin bukan peraturan yang ketat
Bila anda terlalu mengenakan peraturan yang ketat, anda akan membuatkan anak anda berasa lemas dan sekaligus mengekang perkembangan pembelajaran anak anda. Lagi-lagi untuk anak anda yang masih kecil.
#3. Disiplin bukan bemakna menjadi terlalu tegas
Tegas itu perlu dalam melaksanakan peraturan disiplin tetapi mestilah kena pada tempatnya. Jangan terlalu tegas sampaikan hal-hal biasa pun boleh dilihat berat. Biarlah berpada-pada.
Apakah cara terbaik untuk disiplinkan anak yang mempunyai sifat dan perangai berbeza?
Baik, anda sudah mengetahui bahawa perangai anak anda berbeza-beza. Lagi-lagi si kecil anak. Mesti anak anda perlu strategi disiplin yang berbeza sikit daripada anak anda yang lain. Apa yang penting adalah anda perlu memiiih cara ataupun strategi yang paling sesuai mengikut keperluan serta sifat anak anda dan mengikut gaya keibubapaan anda. Antara cara-cara yang anda boleh lakukan ialah:
#1. Jangan terlalu mengikut perasaan anda
Memang mudah untuk berasa marah dan mengikut perasaan untuk menghukum anak anda atau memberikan tindakan disiplin yang berat. Tetapi, itu bukanlah caranya. Anda harus kekal tenang apabila berdepan dengan anak anda.
#2. Ketahuilah bahawa tingkahlaku anak anda mencerminkan perangainya pada masa itu
Anak akan belajar daripada kesilapan mereka. Mereka bukanlah selamanya akan membuat kesilapan yang teruk. Jadi, janganlah menghukum mereka seolah-olah seperti mereka telah melakukan kesilapan yang begitu besar.
#3. Fokus pada isu yang berlaku sekarang
Mudah bagi ibu bapa untuk terlalu terbawa-bawa dengan perasaan marah hingga cuba lari daripada masalah pada waktu sekarang. “Nanti buat lagilah perangai macam ni.” Cuba elakkan diri anda daripada fokus kepada perkara yang belum jadi.
#4. Disiplinkan anak ikut tahap kematangan mereka
Cara anda mendisiplinkan anak yang kecil sudah semestinya tidak akan sama dengan yang besar. Anda tidak perlu mengikut umur mereka. Sebaliknya lihat tahap kematangan mereka dan kebolehan mereka apabila anda memberikan anak anda tanggungjawab.
#5. Hukuman haruslah setimpal
Sekiranya anda ingin memberikan hukuman, ianya haruslah setimpal mengikut usia anak. Bagi anak yang masih kecil, anda boleh memberikan anak anda timeout. Beri anak masa untuk lihat semula kesalahan mereka dan beritahu anak anda apa sebenarnya kesan akibat tindakan mereka. Manakala untuk anak yang besar pula, hukumannya sedikit berbeza.
Sumber: healthychildren
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Perbezaan ketara antara cara ayah dan ibu mendisiplinkan anak