Dari saat bayi dilahirkan, naluri ibu bapa adalah untuk melindungi anak mereka. Tetapi mungkin akan tiba satu hari nanti di mana ibu bapa tidak dapat melindungi anak mereka. Oleh sebab itu, anda harus ajar mereka tentang keselamatan kanak kanak apabila mereka berada keadaan yang tidak selesa atau berada dengan orang yang tidak selamat.
Tidak salah untuk ajar anak dari usia yang muda. Mulakan dengan pengajaran yang mudah dan bersahaja namun praktik sebanyak mana yang mungkin bagi memastikan mereka faham apa yang diajari.
Di sini adalah 5 peraturan keselamatan penting yang perlu diajar oleh setiap ibu bapa, agar anak mereka tahu langkah-langkah yang betul untuk kekal selamat.
5 Peraturan Keselamatan Kanak Kanak Yang Perlu Diajar Oleh Ibu Bapa
#1 Jenis orang yang tidak dikenali
Anak perlu faham bahawa tidak semua orang yang tidak dikenali adalah orang yang jahat.
Orang yang biasa ditemui di kedai runcit, kawan-kawan ibu bapa dari sekolah serta ramai lagi orang di dunia ini mungkin tidak akan melakukan apa-apa yang akan memudaratan anak kita.
Tetapi sebagai ibu bapa, ia masih menjadi tanggung jawab kita untuk mengajar cara-cara mengenali tanda-tanda amaran, jenis keadaan yang tidak selamat, dan orang-orang licik.
#2 Jadi, dari siapa anak patut meminta bantuan?
Jika anak dalam keadaan di mana mereka memerlukan bantuan segera, dari siapa mereka patut minta bantuan? Misalnya situasi di mana anak terpisah dari ibu bapanya.
Ajar anak anda untuk meminta bantuan daripada seorang guru, pegawai polis, pengawal keselamatan atau seorang ibu atau ayah dengan stroller atau beg lampin.
Jangan ikut orang yang tidak dikenali masuk kereta walaupun mereka mengatakan mereka akan membantu.
#3 Sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat
Semua kanak-kanak di Malaysia diajar tentang sentuhan selamat dan tidak selamat dalam sukatan pelajaran Darjah 1.
Mereka diajar untuk mengatakan “JANGAN/TIDAK” dan untuk memahami perasaan diri apabila disentuh – perasaan selamat, tidak selesa atau tidak selamat.
Ajar anak untuk menggunakan nama sebenar bahagian-bahagian aurat supaya mereka tidak keliru dengan nama-nama samaran.
Mereka juga patut rasa selesa untuk menyebut nama bahagian badan mereka dan untuk bertanya serta memberitahu ibu bapa, terutamanya jika seseorang telah menyentuh atau membangkitkan perasaan tidak selesa.
Ajar cara untuk percaya dengan naluri diri, terutamanya apabila tubuh mereka memberi amaran.
Ibu bapa perlu belajar untuk bersikap terbuka dan tanpa reaksi keterlaluan agar tidak menjejaskan komunikasi yang jujur dan terbuka.
Baca tentang sexual grooming, pemangsa kanak-kanak dan tanda-tanda amaran sexual grooming. Sebenarnya penderaan seksual kanak-kanak adalah gejala yang sangat berleluasa di Malaysia.
#4 Keselamatan jalanraya dan kereta
Ini termasuk:
- melihat ke kiri, ke kanan dan ke kiri semula, sebelum menyeberangi jalan
- berjalan di laluan jalan kaki dan tidak atas jalan raya
- untuk sentiasa pegang tangan ibu bapa dan tidak berlari/berjalan sendiri di hadapan
- menyedari kereta yang menghampiri anda, kereta yang nak keluar dari tempat letak kereta dan juga apabila mengesyaki ada orang yang mungkin menghampiri anda.
Apabila berjalan berseorangan, ajar anak untuk berhenti dan teliti sekelilingnya sebelum masuk jalan rumah. Pastikan tiada kereta atau orang mencurigakan yang menghampiri.
Dalam situasi di mana anak ditinggalkan dan terperangkap dalam kereta yang panas dengan tingkap yang tertutup, ajar anak cara untuk membuka buckle carseat mereka dan membunyikan hon kereta.
Jangan berhenti membunyikan hon kereta sehingga ada orang datang untuk memberi bantuan.
#5 Ajar nama dan nombor telefon ibu bapa
Jika anak terpisah dari ibu bapa dan ada orang yang sedang membantu mencari mereka, nama “ibu” atau “abah” tidak akan membantu.
Ajar anak nama penuh kedua-dua ibu bapa – ia lebih baik dan penting daripada menjaga air muka.
Lebih baik lagi kalau anak anda pandai hafal nombor handphone salah satu dari ibu bapanya. Kalau anak masih terlalu kecil, pastikan nombor telefon anda ada pada anak. Sama ada simpan di beg galasnya atau simpan dalam poket seluar.
Keselamatan Kanak Kanak Dalam Talian
Hampir semua kanak-kanak sekarang mempunyai telefon pintar sendiri dan mampu akses Internet tanpa bantuan ibu bapa. Oleh itu, anda berdua harus pastikan keselamatan mereka dalam talian juga dijaga dengan teliti.
Sekiranya mereka bermain permainan dalam talian, anda harus pantau jenis permainan mereka. Ada sesetengah permainan yang memaparkan interaksi perbualan ‘live’ dan kadang kala bahasa mereka gunakan kasar. Jika mereka mula terikut dan menggunakan kata-kata kesat, ingatkan mereka bahawa ia salah dan tidak boleh digunakan.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai akses kepada media sosial, pastikan mereka tidak melihat pada video atau imej yang tidak sesuai dengan usia. Bahkan anda sendiri perlu ambil tahu trend terkini yang berlaku di media sosial agar anda faham dan sedar akan apa yang mereka sedang lakukan.
Jika perlu, cipta password pada aplikasi dalam telefon pintar mereka. Sekiranya mereka ingin menggunakan aplikasi tersebut, mereka perlu meminta pertolongan anda terlebih dahulu. Dengan ini, anda dapat pantau penggunaan mereka selain menetapkan peraturan seperti tidak boleh menggunakan telefon melebihi sejam dan sebagainya.
Kami berharap tip keselamatan yang kami kongsikan ini dapat membantu memastikan anak anda berada dalam keadaan selamat ketika berada di luar seorang diri!
Sumber: The Pragmatic Parent
Baca juga: 7 Tip Keselamatan Memandikan Bayi Yang Anda Tidak Boleh Abaikan