Isu tentang broken home dan perceraian rumah tangga sebenarnya boleh menyebabkan seorang anak trauma untuk berkahwin apabila dia menjejak usia dewasa nanti. Hal ini kerana dia rasa takut jika apa yang terjadi pada keluarganya sebelum ini, akan berulang pada rumahtangganya sendiri.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Keruntuhan dan perceraian rumah tangga banyak meninggalkan kesan buruk
- Punca perceraian rumah tangga dalam kalangan suami isteri
- Cara untuk mengembalikan kemesraan dalam hubungan suami isteri
Oleh sebab itu, ibu dan bapa perlulah lebih bijak dalam menangani masalah rumahtangga walaupun anda dan pasangan sering kali bercanggah pendapat.
Keruntuhan dan perceraian rumah tangga banyak meninggalkan kesan buruk
Pertama sekali, sekiranya anda dan pasangan tidak dapat mencapai kata persetujuan, seboleh-bolehnya anda harus cuba elak bertengkar di hadapan anak-anak. Ini kerana emosi anak-anak lebih terdedah dan sekaligus mereka juga akan berasa sedih dan dipinggir.
Jangan sesekali angkat tangan dan memukul pasangan lagi-lagi di hadapan anak-anak. Setiap kelakuan anda akan menjadi teladan buat mereka.
Jika anak melihat anda memukul pasangan, mereka juga rasa ini adalah kelakuan normal dan akan mula memukul rakan-rakan mahupun adik-beradik sendiri tanpa mengetahui mengapa kelakuan ini terjadi.
Ibu bapa patut menunjukkan contoh yang baik dengan memberi kasih sayang dan meluangkan masa yang cukup kepada anak.
Jika alam rumahtangga anda dalam goyah, ambil peluang ini untuk bertenang terlebih dahulu. Jangan buat keputusan terburu-buru, sesal di masa hadapan muncul padahnya.
Anda dan pasangan harus berbincang antara satu sama lain bukannya bertindak secara terburu-buru dan membuat keputusan yang akan disesali.
Punca perceraian rumah tangga dalam kalangan suami isteri
Di Malaysia sebagai contoh, timbul banyak kes perceraian antara pasangan muda kerana sebab-sebab berbeza. Namun kes perceraian menjadi semakin bertambah akibat COVID-19.
Ada pasangan yang kehilangan kerja yang menyebabkan masalah kewangan. Situasi ini bertambah buruk apabila duit tidak cukup untuk membeli makanan, susu anak dan lain-lain lagi lantas mencetus kemelut rumahtangga.
Ketidaksefahaman dalam hubungan juga menyebabkan ramai pasangan memilih untuk berpisah dan bercerai. Sememangnya situasi sekarang mencipta tekanan tinggi buat semua orang lagi-lagi mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.
Cara untuk mengembalikan kemesraan dalam hubungan suami isteri
Antara perkara yang paling penting setiap pasangan harus cuba ialah perlu lebih bersabar. Sekiranya anda dapat mengawal perasaan marah dengan baik, situasi tegang di rumah pun dapat diselesaikan dengan cara baik.
Pasangan suami isteri juga perlu saling bertolak ansur dalam hubungan. Ada hari si dia akan murung dan sedih, ada pula hari dia akan gembira dan ceria.
Jangan pentingkan diri sendiri dan hanya berada di sisinya apabila dia gembira. Anda juga harus berada di sisinya apabila dia berduka.
Selain itu, tidak salah pun jika sekali sekala anda menanya khabar pasangan. Ya benar, lagi-lagi si isteri suka sangat pendam perasaan. Namun anda jugak harus bijak bertanya pada mereka apa yang menganggu fikiran mereka.
Malah, jika berkemampuan tidak salah untuk memberikan hadiah kepada pasangan. Biarlah mereka rasa dihargai.
Yang paling penting, kita perlu menjaga emosi apabila marah. Cuba bertenang dan elak daripada meluahkan kata-kata pedas yang boleh menyebabkan semua sakit hati dan akhirnya bercerai.
Perceraian rumahtangga ini boleh menyebabkan duka pada anak-anak juga.
Oleh sebab itu, amat penting untuk kita mula memulihkan diri sendiri terlebih dahulu dan cuba jangan terlalu memikirkan kisah lalu. Jika berterusan, nanti boleh menjadi depresi dan tekanan.
Sekiranya anda dan pasangan masih belum dapat capai kata seputus, dicadangkan untuk bertemu kaunseling. Jangan lupa juga untuk menjaga solat kerana dengan itu kita akan sentiasa rasa gembira.
Artikel ini ditulis oleh Florina Angela untuk theAsianparent Malaysia yang merupakan seorang suri rumah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Ini Ikhtiar Hamil Dengan Mendapatkan Rawatan Akupuntur, Adakah Ia Berkesan?
Baca juga: Ibu Ini Dihalau Dari Hospital Kerana Menyusu Badan, Dikatakan Terlalu Seksi Buat Orang Tak Selesa
Baca juga: Ingatkan Suami Sibuk Bekerja, Hancur Hati Isteri Dapat Tahu Suami Nikah Lagi Hanya Melalui IG!