Mempunyai anak kecil sememangnya sangat menghiburkan.
Tapi, sejujurnya, mereka juga kadang-kala membuatkan kita rasa rimas. Sehinggakan timbul rasa cemburu apabila melihat ibu bapa yang sudah ada anak remaja yang pandai berdikari.
Walaubagaimanapun, percayalah… nanti ada 5 perkara yang akan anda rindu apabila anak-anak itu sudah membesar.
Jika anda merupakan antara ibu bapa yang sering cemburu dengan mereka yang ada anak yang sudah meningkat remaja, artikel ini khas untuk anda.
1. Soalan yang tiada penghujung
Terutamanya bagi mereka yang sudah pandai berkomunikasi, situasi anda ‘ditembak’ bertalu-talu dengan soalan berangkai adalah normal.
Sehinggakan anda terasa diri seperti ensiklopedia bergerak.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila mereka bertanya soalan yang tidak mampu anda jawab.
Contohnya seperti: “mama, kenapa manusia takde sayap?“, “adakah awan manis seperti gula-gula kapas?“.
Anda pasti ingin memberikan jawapan yang terbaik tapi sesetengah soalan itu membuatkan anda berfikir hendak melarikan diri!
Tapi bayangkan satu hari nanti mereka lebih memilih untuk senyap dan mencari jawapan sendiri berbanding bertanya kepada anda.
Jadi, cuba lihat perangai ini dari sudut yang positif. Jadikan detik pertanyaan itu sesuatu yang menghiburkan.
2. Fasa melekat saja dengan kita!
Selalu bukan kita rasa seperti tak dapat bergerak ke mana-mana dalam rumah, bukan saja untuk membuat kerja rumah, malah untuk ke tandas pun, pasti akan ada si kecil yang mengekori dan melekat pada anda seperti velkro!
Walaupun anda cuba senyap-senyap untuk pergi, mereka seperti ada pengesan dan akan mengesan pergerakan anda.
Sebenarnya dalam fikiran mereka, mereka bukan nak mengganggu anda.
Tetapi mereka ingin menunjukan yang mereka sangat sayangkan anda hingga tidak mahu anda hilang dari pandangan mereka.
Nanti, apabila mereka sudah besar, tentu anda akan merindui perangai ini!
3. Pelukan dan ciuman yang tiada henti
Pelukan dan ciuman memang sangat menyenangkan, tapi kadang-kala ia terlalu banyak!
Hingga muka anda penuh dengan air liur dan tengkuk berlebam akibat terlalu banyak pelukan.
Tapi nanti bila tiba masa fasa ini berakhir, anda pasti akan merindui semua ciuman dan pelukan ini.
4. Mahu kongsi katil
Berkongsi katil memang sangat bermanfaat terutamanya bagi ibu-ibu yang menyusukan susu badan.
Namun, walaupun mereka sudah tidak menyusu, anda seolah-olah menjadi ‘selimut manusia’ untuk mereka. Berhimpit ramai-ramai dalam satu katil!
Sampai satu ketika, mereka sendiri akan meminta untuk tidak lagi tidur bersama anda. Dan pada saat itu, anda pasti akan merindui rasa berhimpit bersama mereka…
5. Mereka sangat bergantung pada anda
Memang sifat dan tugas ibu yang akan menguruskan semua perihal anak.
Bukan hanya kerana mereka masih kecil, tapi memang naluri seorang ibu, kita ingin menyediakan segalanya untuk mereka.
Dan walaupun ia perkara yang sangat remeh seperti ingin membasuh tangan, mereka masih bergantung pada anda!
Terasa seperti semuanya sungguh meletihkan.
Tapi, sampai masa mereka akan mahu melakukan segalanya sendiri tanpa bantuan anda nanti. Ketika itu, anda akan sangat merindui saat mereka memerlukan anda.
Jadi ibu-ibu dengan anak yang masih kecil, jangan biarkan masa anda dengan mereka berlalu begitu sahaja.
Hargai setiap detik. Kerana detik ini akan berlalu dan anda akan merinduinya…
Sumber: theAsianParent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
5 tips dan idea seronok merancang playdate untuk kanak-kanak
4 Cara Untuk Kawal Stress Apabila Ada Anak Yang Sangat Hiper