Menjelang perkembangan anak usia 30 bulan, ibu bapa merupakan insan paling gembira. Malah mereka juga bertanggungjawab menerapkan nilai-nilai murni supaya si kecil membesar dalam didikan baik.
Antara bahagian perkembangan anak usia 30 bulan paling menarik adalah fasa memulakan latihan ‘tandas’ pada anak.
Ia peralihan dari pampers ke tandas. Pendek kata, cara-cara betul ajar anak buang air kecil dan besar dalam tandas. Dalam artikel kali ini kami akan menceritakan lebih lanjut berkaitan perkembangan anak usia 30 bulan.
Namun, ingatlah, setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza-beza. Ada yang sedikit terlewat dan ada yang mencapai segalanya dengan pantas.
Adakah anda sudah bersedia untuk tahu? Jom kita teliti perkembangan anak usia 30 bulan ini. Ayuh!
Perkembangan anak usia 30 bulan
#1 Kemahiran harian
Selepas beberapa bulan, anda akan mendapati si kecil itu sudah pandai berdikari. Wah, biar betul ini, rasa macam mimpi!
Si kecil sudah pandai buat semua benda dengan sendiri seperti tahu pakai baju sendiri dan sudah pandai memberus gigi (semestinya dengan bantuan anda). Bahkan, mereka juga pandai basuh tangan.
Ini juga masa yang sesuai untuk potty training.
Tips:
- Ajar anak jaga kebersihan diri seperti cara gosok gigi, basuh tangan hingga bersih dan basuh kaki jika kotor.
- Sediakan makanan ringan seperti buah-buahan dan kurangkan gula dalam diet mereka.
- Sabar ketika mengajar anak berpakaian sendiri dan biar mereka pilih baju yang hendak dipakai.
- Biarkan si kecil melakukan tugas-tugas mudah seperti mengemas kembali mainan selepas diguna.
- Antara pemeriksaan kesihatan yang dilakukan ketika dalam perkembangan anak usia 30 bulan seperti ketinggian, berat badan, ujian fizikal (mata, telinga, jantung, paru-paru), suntikan imunisasi dan tumbesaran yang lain.
#2 Kemahiran Sosial
Inilah masa ibu boleh bersenang lenang sedikit! Kenapa? Sebab dalam perkembangan anak usia 30 bulan, si kecil sudah pandai bermain dengan anak-anak yang lain atau anak jiran sebelah rumah sekalipun.
Namun, bukanlah anda boleh biarkan saja mereka bermain. Pastikan anda tetap mengawal tingkah laku mereka. Pastikan si kecil berkongsi permainannya dengan anak lain.
Tips:
- Berikan bantuan sekiranya anak meminta pertolongan.
- Bermain dalam kumpulan rakan yang sama supaya si kecil selesa dengan wajah yang dikenali.
- Libatkan diri dengan aktiviti anak. Tunjukkan anda berminat dengan apa yang dilakukannya itu.
- Galakkan permainan yang lucu supaya si kecil lebih seronok.
#3. Kemahiran Emosi
Dalam fasa perkembangan anak usia 30 bulan, akan ada sedikit cabaran ketika anak meluahkan emosi. Namun jangan bimbang jika si kecil marah jika anda tak faham keinginanannya.
Sebagai ibu bapa, terapkan nilai positif pada anak. Terangkan pada si kecil itu apa yang betul dan salah. Ini supaya dia tidak menunjukkan emosi yang keterlaluan.
Tips:
- Memuji mereka apabila berkelakuan baik
- Mendengar apabila dia ingin mengatakan sesuatu kepada anda
- Berlemah lembut ketika menegur anak.
#4 Kemahiran motor kasar
Kemahiran motor kasar anak dapat dilihat apabila si kecil itu dapat melompat ke atas dan ke bawah dengan kedua-dua kaki. Malah dia juga tahu turun tangga berganti kaki.
Bahkan dia tahu seimbangkan diri ketika berlari sambil mengelak halangan. Apatah lagi kaki dan tangannya berkembang seiring dengan kecekapan yang tangkas dan pantas.
Tips:
- Pastikan ciri-ciri keselamatan yang betul ketika di rumah
- Sediakan tempat khusus untuk memanjat dan mendaki supaya dia boleh habiskan tenaga aktifnya itu.
- Taman permainan merupakan tempat yang bagus untuk mereka meneroka segala macam aktiviti di sana.
- Sentiasa ingatkan anak supaya sentiasa berhati-hati.
#5 Kemahiran motor halus
Mereka tahu membuat potongan kertas lipatan dan tahu namakan beberapa warna seperti merah, biru dan kuning.
Mereka juga sudah tahu membuka butang baju sendiri dan pandai membuka penutup botol. Ia bukan masalah besar buat mereka ketika dalam fasa ini.
Mainan teka teki dan blok antara yang mereka sukakan. Lantas membuatkan si kecil itu mudah terhibur!
Tips:
- Berikan cat kecil atau krayon warna merah. Biarkan dia bereksperimen dengan warna tersebut.
- Ajarkan anak membersih selepas bermain cat tersebut.
- Membina permainan blok bersama-sama. Ia membantu meningkatkan lagi kemahiran motor halus anak.
#6. Kemahiran Bahasa
Pada ketika ini, anak kecil sudah dapat membezakan perkataan sejuk dan panas. Malah dia juga sudah tahu ‘menjawab’ setiap soalan yang diajukan dalam frasa pendek dan semakin baik dari hari ke hari.
Tips:
- Ungkapkan setiap perkataan dengan jelas dan minta si kecil melihat mulut anda ketika menyebut sesuatu perkataan.
- Baca dengan nada dan intonasi berbeza-beza.
- Buku dengan banyak kata ganti merupakan cara terbaik untuk ajar anak bagaimana berkomunikasi dengan betul.
- Flashcard membantu perbendaharaan kata anak supaya lebih interaktif dan menyeronokkan.
- Teruskan berkomunikasi dengan anak pada masa ini.
- Bersabar ketika mereka sering bertanya soalan kerana sifat ingin tahu menebal dalam diri.
#7. Kemahiran kognitif
Otak anak kecil semakin pesat dalam perkembangan anak usia 30 bulan ini. Sekarang adalah masa yang tepat untuk gabungkan aktiviti dan penyelesaian masalah.
Selain memperbanyakkan aktiviti percubaan dan kesilapan seperti menyusun objek ke dalam set berbentuk mengikut saiz dan warna.
Tips
- Mainan blok dan teka teki berbentuk warna warni bagus untuk tingkatkan kemahiran kognitif anak.
- Mengulangi lagu dan puisi kanak-kanak membantu tingkatkan kemahiran ingatan anak.
- Mengajar anak kecil tentang perbezaan antara bahagian atas, bawah dan dalam. Ia akan menjadi pencapaian yang hebat jika mereka tahu kedudukan ini.
Justeru, mungkin fasa peringkat umur ini sedikit mencabar terutama jika si kecil itu sudah berkelakuan seperti kanak-kanak dewasa.
Namun sebagai ibu bapa, anda harus terus bersabar dan melatih diri mengajar anak kecil dengan sebaik mungkin kerana didikan yang terbaik adalah bermula dari rumah.
Nikmati keseronakan membesarkan anak-anak dengan tumbesaran yang sihat dan menyediakan aktiviti asas mengikut tahap umur mereka.
Diharap perkongsian ini membantu anda semua dan kongsikan artikel ini di laman socmed anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Penulis asal Rosanna Chio. Artikel ini mendapat keizinan dari theAsianparent Singapore untuk diterjemahkan.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comperkembangan-anak-berusia-2-tahun/