Perniagaan kejam: Pil gugurkan janin!

Tergamak seorang yang sepatutnya bergelar ibu dan pelindung kepada bayi-bayi tersebut membuat perbuatan terlarang itu

Atas alasan ekonomi yang kian merundum, ramai yang ‘terdesak’ membuat pelbagai perniagaan yang tidak munasabah. Siang tadi, di media sosial popular, Facebook, telah ‘viral’ tentang pil menggugurkan janin atau bayi. Gambar-gambar yang telah di kongsikan oleh Jat Jaa itu sangat menyayat hati.

 

Tergamak seorang yang sepatutnya bergelar ibu dan pelindung kepada bayi-bayi tersebut membuat perbuatan terlarang itu. Hal ini mengundang kemarahan ramai netizen yang melihat perkongsian itu. Iyalah, ramai pasangan berkahwin yang berusaha pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat, namun mereka-mereka ini sanggup membunuh nyawa yang sedang menumpang di dalam rahim mereka. Hal ini patut dipandang serius dan diberentas secepat mungkin.

Tidak dinafikan, ini mungkin berpunca daripada masalah gejala sosial yang semakin tenat dikalangan generasi baru. Kehidupan zaman remaja seolah-olah memberikan kebebasan yang sepenuhnya untuk melakukan pelbagai perkara tanpa berfikir panjang terlebih dahulu.

Oleh sebab itu, tidak mustahil seseorang remaja boleh terjebak ke lembah gejala sosial yang tidak sihat ini. Perkongsian kali ini, adalah dengan harapan, agar dapat membantu generasi baru agar lebih berfikiran jauh dan dapat berfikir sebelum membuat tindakan terburu-buru dan mengikut nafsu.

1. Didikan agama

Asas agama ialah menekankan nilai-nilai murni yang baik. Termasuk jugalah akan menitik beratkan tentang batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Jika ibu bapa tidak menerapkan ajaran agama dalam diri remaja, sedikit sebanyak remaja tersebut kurang panduan dalam menghadapi cabaran sosial yang serba mencabar ini. Pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri remaja sejak kecil lagi. Didikan agama akan membantu anak-anak untuk menjadi lebih berdisiplin.

2. Perhatian ibu bapa

Salah satu punca remaja lebih cenderung terikut dengan budaya berpasangan di usia muda ialah apabila ibu bapa mereka terlampau sibuk dan kurang memberi perhatian kepada mereka. Jadi mereka beralih untuk mendapatkan perhatian dari pasangan dan rakan sebaya mereka. Terdapat kajian menunjukan yang anak-anak yang mendapat perhatian yang secukupnya jarang mempunyai masalah sosial.

3. Internet tanpa sempadan

Penggunaan internet memang banyak membantu remaja sekarang menimba ilmu. Namun dunia internet yang tanpa sempadan juga mengundang pengaruh yang buruk. Salah satunya iklan-iklan yang berunsur porno juga boleh mengundang kepada gejala sosial. Jadi, penggunaan internet sepatutnya dihadkan dan sentiasa di bawah perhatian ibu bapa. Kawal penggunaan telefon bimbit anak anda dengan tips dipautan ini.

4. Pendidikan awal seks

Pendidikan awal tentang seks juga dapat membantu golongan remaja untuk lebih terbuka dengan apa yang mereka bakal lalui. Darah muda memang penuh dengan sifat ingin tahu dan ingin mencuba.

Jadi, ibu bapa harus lebih terbuka untuk memberi pendidikan seks kepada mereka supaya mereka lebih bersedia dan selesa bertanya dengan anda. Lebih baik mereka bertanya dengan ibu bapa dari mencari info secara tersembunyi di belakang anda.

Apa-apa pun, semuanya berpunca dari rumah. Apa yang kita sebagai ibu bapa tunjukan kepada anak-anak, itu yang mereka akan ikut. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, mulakan dari usia muda supaya mereka lebih mudah menerima teguran dari kita.

Mendidik bukanlah perkara yang mudah, namun anak-anak adalah amanah kita, jadi kita harus berusaha sehabis baik untuk mereka. Semoga tiada dari kita yang terlibat dengan perniagaan terkutuk ini. Bukan sahaja salah dari segi undang-undang, malah terkutuk di sisi agama. Kepada yang terlibat, bertaubatlah sebelum tertutupnya langit kemaafan.

Penulis

Aqma