Ibu Hamil Buat 5 Perkara Ini Supaya Persediaan Bersalin Lebih Tenang

Anda sudah melengkapkan 7 persediaan bersalin sebelum menyambut kelahiran bayi baru lahir ini? Kalau takut tertinggal apa-apa, mari semak ia balik, ya!

Menyediakan keperluan bayi amat best dan terkadang menyebabkan pasangan ibu bapa membeli secara berlebihan segala persediaan bersalin dan sebelum menyambut bayi.

Elakkan masalah terlebih membuat persiapan bersalin dengan mengikuti senarai cadangan keperluan asas yang kami sertakan di bawah ini.

Sekiranya nanti anda rasakan masih ada kekurangan, lengkapkannya apabila si comel telah berada di dalam dakapan! 

Persediaan Bersalin WAJIB Untuk Ibu Bapa Buat Kali Pertama

persediaan bersalin, persiapan bersalin, persediaan sebelum bersalin, barang keperluan bersalin, checklist barang baby

#1. Pakaian bayi

Sediakan barang keperluan bersalin. Untuk pakaian, pastikan ianya 100% kain kapas. Bayi cepat membesar, justeru mulakan dengan hanya beberapa helai dan tambah lagi seiring dengan pembesaran mereka.

Antara checklist barang baby serta cadangan bilangan adalah: 3 baju lengan panjang dan pendek, 3 seluar panjang dan pendek, 2 helai bib bayi, 2 pasang stokin dan sarung tangan, 2 helai penutup kepala atau topi bayi, barut dan kain bendung.

Baju one-piece juga pilihan yang memudahkan untuk bayi dan anda. Ha… dah buat persediaan bersalin yang satu ini?

#2. Keperluan menyusu anak

Jika anda memilih untuk susu badan, sediakan keperluan berikut: baju dalam khas menyusu, pengepam susu, bekas simpanan susu, botol serta puting susu, bekas rendaman stim, berus botol, penghangat botol, pad dan krim payudara.

Jika anda bekerja, sediakan juga beg pendingin bagi menyimpan susu yang dipam di pejabat. Bagi pilihan susu formula, sediakan juga: susu formula, termos air panas, bekas susu dan bekas air masak.

#3. Kelengkapan mandi bayi

Kelengkapan asas mandi termasuklah: tuala, minyak urut bayi seperti minyak angin, krim ruam bayi, kapas muka dan putik kapas.

Carilah tuala yang lembut dan jika berhud, ia memudahkan untuk membendung bayi selepas mandi. Lengkapkan dengan set bantuan seperti pengetip kuku, penyedut hidung, termometer dan sikat.

Besen mandi bayi memang memudahkan, tetapi anda boleh memanfaatkan sinki di rumah jika ia cukup selesa. Kulit bayi sangat bersih dan tidak perlu kepada sebarang mandian khas. Namun jika anda masih tidak yakin, carilah mandian tanpa sabun yang mempunyai kadar pH 5.5.

Persediaan bersalin ini amat penting agar anda tidak kelam-kabut kelak!

#4. Keperluan menyalin lampin

Anda perlu menukar lampin sekerap 10-12 kali dalam sehari. Untuk meja khas, pastikan ketinggian yang selesa. Jika tidak, katil anda sudah mencukupi.

Anda boleh memilih lampin pakai buang atau kain. Untuk lampin pakai buang, hanya satu pek bersaiz S atau new born diperlukan. Selebihnya belilah selepas bayi dilahirkan untuk saiz yang lebih sesuai.

Pilihan lampin kain bukan sahaja menjimatkan kerana boleh diulang pakai tetapi juga lebih mesra alam sekitar. Sediakan juga: lapik khas kalis air yang mudah dilap, tisu basah dan krim ruam.

#5. Keperluan tidur bayi

Katil ibu boleh menjadi katil bayi terutama bagi ibu yang menyusukan. Jika anda memilih untuk menyediakan katil khas, pilihlah cot bayi yang boleh ditukar menjadi katil.

Sediakan juga: tilam khas bayi, bantal dan sarung bantal, 2 lapik tilam kalis air, selimut khas bayi yang lembut serta ringan dan kelambu bayi jika dirasakan perlu.

Bayi sebenarnya tidak memerlukan bantal. Anda boleh jadikan kain muslin atau tuala bayi sebagai alas. Kain muslin atau kain kapas yang lembut dan ringan boleh berfungsi sebagai selimut dan kain bendung bayi. Anda mungkin perlukan gajet pengawasan bayi bagi memudahkan anda melakukan kerja-kerja lain dalam rumah.

#6. Keperluan perjalanan

Bagi memastikan keselamatan bayi, sediakan tempat khas. Anda boleh memilih stroller yang boleh ditukar kepada tempat duduk khas kereta.

Jika memilih baby pram, pastikan ia boleh diubah kepada posisi berbaring penuh. Sediakan juga beg bayi untuk semua kelengkapan. Jika anda memilih tempat duduk khas terpakai, pastikan ciri keselamatan berfungsi sepenuhnya. Jika tidak, belilah yang baru.

#7. Keperluan ibu

Bagi ibu, beberapa keperluan asas untuk dibawa ke hospital termasuk: selipar jepun, stokin tebal, pad khas bersalin atau pad biasa, baju kain kapas yang longgar serta serap peluh.

Beberapa pesanan tambahan, perhatikan tanda ‘value buy’. Harga yang murah tidak semestinya kurang kualiti. Sediakan juga set bersalin yang mengandungi keperluan asas seperti minyak urut dan bengkung.

Pencuci khas untuk pakaian bayi perlu kerana kulit bayi amat sensitif. Khas bagi bayi lelaki, sediakan juga tungku untuk bayi. Satu tips yang baik, cipta satu wish list dan kongsikan bersama rakan-rakan dan ahli keluarga. Mereka tentu ingin menghadiahkan sesuatu. Ini juga dapat mengelak pembaziran.

5 Cara Positif Bersedia Bersalin

#1. Fahami diri sendiri

Setiap wanita adalah berbeza. Badan kita berbeza, bayi kita berbeza dan tiada 2 kelahiran yang sama. Itulah sebabnya penting untuk ibu mengetahui lebih lanjut tentang bersalin. Fahami pilihan anda dan kebaikan serta keburukan setiap satu. Ia boleh membantu anda berasa lebih yakin dalam membuat keputusan tentang cara anda ingin melahirkan bayi nanti.

Bincang dengan doktor jika ada perkara yang membimbangkan anda. Jangan risau, mereka boleh membantu menjawab sebarang persoalan dan kerisauan anda bagi memastikan anda dapat melahirkan bayi dengan selamat dalam setiap senario yang mungkin berlaku.

Anda juga boleh pergi ke kelas antenatal sebagai persediaan sebelum bersalin!

#2. Siapkan mental anda 

persediaan bersalin, persiapan bersalin, persediaan sebelum bersalin, barang keperluan bersalin, checklist barang baby

Elakkan mendengar sebarang cerita seram mengenai bersalin kerana ia hanya membuatkan anda lebih berasa risau dan tidak tenteram. Cari cerita atau pengalaman positif dari ibu-ibu di luar sana bagi menenangkan anda. 

Anda juga perlu kekal positif sebaik mungkin ya! Elakkan fikir sebarang kemungkinan yang belum berlaku, dan banyakkan berdoa agar semuanya dipermudahkan.

#3. Persiapkan badan anda

Proses bersalin memerlukan kekuatan dan stamina yang kuat, jadi penting untuk anda membuat persediaan awal. Buat senaman yang sesuai untuk wanita mengandung bagi menghilangkan tekanan. 

Anda juga boleh cuba sertai kelas senaman antenatal berhampiran anda. Sebagai contoh, kelas yoga kehamilan akan sangat membantu. Ia akan membantu anda meletakkan bayi dalam kedudukan yang baik untuk kelahiran, mengajar anda kedudukan untuk membantu anda melalui proses bersalin, dan menyediakan beberapa teknik relaksasi dan pernafasan untuk membantu anda kekal tenang.

Jangan risau, jika anda tidak mempunyai masa atau wang untuk menyertai kelas, berjalan-jalan di taman juga akan memberi manfaat.

#4. Berlatih teknik pernafasan

persediaan bersalin, persiapan bersalin, persediaan sebelum bersalin, barang keperluan bersalin, checklist barang baby

Teknik pernafasan yang betul boleh membantu menenangkan saraf anda (sebelum dan selepas bersalin) dan mengawal kesakitan. Anda boleh berlatih sepanjang kehamilan untuk memastikan anda selesa menggunakannya apabila bersalin.

#5. Fikirkan tentang rancangan kelahiran anda

Pelan kelahiran boleh menjadi cara yang berguna untuk menyampaikan semua hasrat, kebimbangan dan pilihan anda dengan cepat dan berkesan. Bincang sahaja dengan doktor anda jika terdapat masalah.

Namun ingat, apa yang anda rancang untuk bersalin mungkin tidak selalu sesuai dan mengikut pelan anda itu. Jadi anda mungkin perlu menjadi sedikit fleksibel dan sesuaikan diri mengikut keadaan. 

Persediaan Mental & Fizikal Sebelum Bersalin

#1. Bersenam secara konsisten

Persediaan sebelum bersalin yang anda kena lakukan adalah bersenam. Bersenam penting untuk membina dan mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular dan otot yang kuat bagi membolehkan anda mempunyai kekuatan dan stamina semasa meneran. Senaman pranatal yang disyorkan termasuk Yoga, senaman Kegel, dan berjalan kaki.

#2. Kekalkan berat badan yang sihat

Mengekalkan berat yang sihat semasa hamil dan sebelum bersalin adalah penting kerana berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya koyakan vagina.

#3. Pembuangan bulu kemaluan sebelum bersalin

Kawasan ari-ari yang bersih akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses bersalin tanpa sebarang masalah tidak dijangka. 

Ini juga akan mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin.

Pada kebiasaannya, pihak hospital akan menasihatkan anda untuk mencukur terlebih dahulu sebelum diwadkan bagi tujuan keselamatan dan kebersihan.

#4. Dapatkan rehat yang cukup

Pastikan anda dapatkan rehat yang cukup sebelum melahirkan bayi. Makan juga makanan yang berkhasiat supaya perut anda terisi sebelum proses kelahiran bagi mengekalkan stamina semasa bersalin. Jika kurang berselera, jangan terlalu memaksa dan makanlah ikut kemampuan anda.

#5. Emosi perlu tenang dan gembira

Emosi memainkan peranan penting ketika mengandung kerana ia merupakan rangsangan kepada pembinaan otak seterusnya kelahiran bayi yang sihat, pintar dan cerdas. 

Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Kekal tenang dan banyakkan berdoa sebelum memasuki bilik bersalin. Minta juga doa daripada ahli keluarga terdekat agar semuanya dipermudahkan.

Persediaan Sebaik Ibu & Bayi Pulang Ke Rumah Selepas Bersalin

#1. Pasang carseat dalam kereta

Sebelum bayi anda dilahirkan, salah satu benda yang anda perlu miliki adalah kerusi keselamatan bayi dalam kereta atau lebih dikenali sebagai carseat. Untuk membawa bayi pulang menggunakan kenderaan, pastikan anda menyediakan catseat menghadap belakang yang dipasang dengan betul. 

#2. Bilik berpantang

Pastikan anda sudah mempersiapkan satu bilik khas yang selesa untuk anda berpantang. Sediakan kelengkapan berpantang yang lengkap seperti tungku, pakaian anda dan bayi yang bersesuaian dan lain-lain yang dirasakan penting semasa berpantang.

#3. Pelawat

Bayi yang baru lahir sangat mudah untuk jatuh sakit. Jadi sebaiknya, elakkan dahulu menerima kehadiran pelawat termasuklah orang yang mempunyai gejala selsema, batuk atau baru sembuh daripada demam. 

#4. Jangan makan berlebihan

Elak mengambil makanan yang mengandungi terlalu banyak garam. Sila pastikan juga anda tidak makan atau minum yang manis-manis. Jangan juga makan makanan berproses dan junk food selama tempoh berpantang.

#5. Jaga emosi anda

Selepas melahirkan bayi, fizikal dan emosi anda akan mengalami keletihan dengan perubahan yang berlaku. Anda tidak akan cukup tidur kerana perlu menyusukan bayi di tengah malam, bayi anda mungkin kuat merengek, badan anda mungkin akan mengalami kesakitan dan macam-macam lagi.

Persiapkan mental anda untuk melalui semua perkara ini terutama jika ia adalah pengalaman kali pertama anda. Dapatkan sokongan daripada suami dan ahli keluarga anda bagi membantu mengurangkan beban anda ya!

Selamat berbahagia dengan ahli keluarga baru!

  1. What to Expect (May 17, 2021). 12 Ways You Can Prepare for Labor. www.whattoexpect.com/pregnancy/labor-and-delivery/preparing.aspx
  2. Healthline (Feb 13, 2020). Trying to Prep for Labor? These Are the Tips You’ll Actually Use. www.healthline.com/health/pregnancy/how-much-do-you-really-need-to-prepare-for-labor#Make-a-basic,-flexible-birth-plan
  3. Tommy’s (July 3, 2019). 5 positive ways to prepare for labour. www.tommys.org/pregnancy-information/giving-birth/5-positive-ways-prepare-labour

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 10 Barang Bayi Yang Ibu Bapa Sering Lupa Beli

Baca juga: Masih Rasa Bayi Sedu Dalam Perut Walaupun Sudah Trimester 3? Ia Mungkin Tanda Bahaya

Baca juga: Ubat Tambah Darah Ibu Mengandung Bantu Kurangkan Anemia Wanita Hamil

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!