Ibu zaman sekarang pasti hendak membesarkan anak yang bergaya, mudah-mudahan dapat menjadi duta produk bayi atau model pakaian kanak-kanak, tapi mereka juga perlulah tahu memilih jenis baju bayi newborn yang betul.
Dengan wujudnya aplikasi seperti Instagram dan Pinterest yang menjadi pelantar untuk individu meunjukkan aspek-aspek kehidupan mereka; baik dari resepi memasak, nasihat dan terutamanya, fesyen.
Apabila kita sendiri melayari pelantar sosial media seperti Instagram, pasti kita akan dapat melihat influencer yang bergaya, walaupun mereka adalah seorang ibu. Dan apabila si ibu pun pandai bergaya, tentulah mereka juga hendak membesarkan anak yang juga tahu bergaya. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, kan?
Walaupun begitu, para ibu perlu ingat bahawa kanak-kanak, lagi-lagi bayi yang baru lahir tidak perlulah terlalu bergaya. Yang penting mereka selesa di dalam baju dan seluar yang mereka pakai. Ya lah, jika kita beli pakaian yang terlalu bergaya pun, nanti mereka akan membesar dengan cepat dan tidak lagi muat dalam pakaian tersebut.
Oleh itu, ini adalah senarai keperluan pemakaian si manja serta cara pemakaian bayi baru lahir yang ibu boleh amalkan untuk mengekalkan keselesaan si manja.
Apakah jenis baju bayi newborn yang diperlukan?
Foto: iNews.Co.Id
Dengan bayi baru lahir, ibu tidak perlu membeli terlalu banyak baju kerana mereka akan membesar dengan cepat. Sekiranya ibu risau jika terbeli terlalu banyak baju atau terlalu sikit, hapuskan perasaan risau tersebut kerana kami sedia berkongsi dengan anda!
Apakah pakaian bayi anda yang baru lahir perlukan?
- Enam baju lengan pendek
- Enam romper atau jumpsuit untuk pakaian siang
- Dua romper/jumpsuit untuk waktu tidur
- Tiga baju
- Sekurang-kurangnya tiga ke enam kain bedung
- Beberapa set sarung tangan (mittens) dan sarung kaki (booties)
Nah! Itu sahaja yang anda perlukan untuk memastikan si manja sentiasa selesa dan tidak terlalu sejuk. Tapi, kami pasti, bayi anda pasti akan mendapat banyak hadiah pakaian baru dari kaum keluarga dan kenalan rapat. Kadang-kadang, sampai tak terpakai pun baju-baju tersebut!
Yang penting, si manja mempunyai pakaian yang kainnya lembut dan mudah dijaga. Bagi memudahkan kerja penyiapan bayi bagi si ibu, eloklah jika anda membeli pakaian yang mempunyai zip di hadapan. Senang, tarik je!
Kini anda telah tahu apa yang anda perlu sediakan, apakah cara pemakaian bayi baru lahir yang betul yang anda perlu lakukan?
-
Pastikan suhu bilik bersesuaian
Jika si manja baru lepas dimandikan, pasti mereka akan berasa sejuk oleh sebab kulit mereka yang masih terlalu nipis. Oleh itu, ibu-ibu perlulah memastikan suhu bilik dandanan bayi tidak terlalu sejuk. Jika sebelum ini kipas itu ditetapkan kepada kelajuan 4 atau 5, turunkanlah ia menjadi 1-2, atau tutup terus! Kasihan si manja kesejukan.
Seeloknya ibu mengalas bawah bayi dengan menggunakan sehelai kain atau tuala yang boleh menyerap. Ini kerana si manja mungkin akan terbuang air, kerana mereka tidak tahu bagaimana hendak memberitahu ibu mereka hendak “membuang”.
Walau bagaimanapun, ini tidak akan dapat mengelakkan anda untuk menjadi mangsa “tembakan” mereka.
Foto: Merdeka.Com
-
Memastikan kolar baju mudah meregang
Jika anda memakaikan bayi pakaian yang tiada butang atau zip, pastikan baju tersebut diperbuat daripada kain yang mudah meregang supaya anda tidak perlu terlalu memaksa kepala dan badan bayi untuk masuk ke dalam baju tersebut.
Bukan sahaja ia akan menyusahkan anda, tetapi ia juga akan menyakitkan bayi dalam proses tersebut jika anda sentiasa memaksa tarik baju tersebut.
-
Baju bayi newborn sentiasa lembut dan warna lembut
Kami pasti, anda juga tahu bahawa badan bayi teramatlah lembut dan mereka masih tidak tahu bagaimana hendak memasukkan tangan ke dalam lubang lengan dan kaki. Jadi, ia menjadi tugas anda untuk menyiapkan mereka.
Kami faham, menyiapkan si manja mungkin menakutkan kerana mereka terlalu lembut tetapi kami juga percaya bahawa jika kami boleh, maka anda pun boleh melakukannya tanpa menyakitkan si manja!
Inilah yang paling penting! Jika si manja anda mudah berasa panas, lagi-lagi dengan cuaca di Malaysia ini, janganlah membeli baju bayi newborn yang terlalu tebal kainnya.
Walaupun bagus untuk biarkan si manja sedikit suam, tetapi jangan sampai mereka berasa overheated kerana ia memberi kebarangkalian untuk si manja mengalami demam dan selsema. Jika cuaca sejuk pula, bedunglah mereka sebagai lapisan kedua supaya mereka tidak terlalu sejuk.
Membeli baju bayi newborn terpakai, boleh ke?
Foto: Birdsnbees.Co.Id
Seperti yang telah dimaklumkan, bayi akan membesar dengan sangat cepat. Jadi, adakah lebih elok untuk ibu membeli pakaian bayi terpakai dari pelantar jual beli seperti Carousell atau Facebook Marketplace?
Secara logiknya, membeli pakaian bayi yang terpakai dapat menjimatkan lebih banyak wang dari membeli pakaian baru yang akan hanya dipakai untuk beberapa minggu sahaja sehingga bayi mula membesar. Lagipun, kualiti baju bayi yang terpakai selalunya masih berada dalam keadaan yang sangat elok.
Jadi, adakah anda sebagai ibu bapa akan membeli pakaian bayi terpakai untuk si manja anda? Walau apapun, yang penting, pastikan si manja anda sentiasa selesa dalam berpakaian!
Khas untuk pembaca theAsianparent
Berpeluang memenangi hadiah bernilai RM100 dari Breeze! Isi borang di bawah sahaja!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Mencuci & Menyimpan Baju Bayi, Ibu Bapa WAJIB Tahu
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!