Perubahan Warna Susu Badan dan Apa yang Ia Lakukan Kepada Bayi Anda

Badan ibu mampu buat perkara hebat seperti perubahan warna susu badan mengikut keperluan badan bayi dan keadaan kesihatannya.

Adakah anda tahu yang susu ibu berubah-ubah mengikut usia bayi?  Ya, ia berubah mengikut keperluan si bayi pada setiap fasa usia. Selain daripada faktor usia bayi, ada juga faktor lain yang mempengaruhi perubahan warna susu badan.

Contohnya, cara pemakanan anda sebagai seorang ibu yang sedang menyusu turut mempengaruhi warna susu badan.

Antara warna yang boleh dilihat pada susu ibu adalah warna putih, kuning, oren, perang, atau sedikit kehijauan atau kebiruan. Kadangkala ia boleh pekat dan kadangkala cair seperti air.

Perubahan Warna Susu Badan – Ketika Baru Lahir

Pada awal penyusuan, susu selalunya berwarna kekuningan. Pada waktu ini, ia sangat kaya dengan kolostrum. Ia merupakan nutrien penting yang membantu menguatkan sistem imun badan bayi yang baru lahir.

Selain itu, pada fasa ini, susu badan ibu juga sangat kaya dengan protein dan antibodi.

Menurut seorang Profesor Klinikal Obstretik dari Sekolah Perubatan Mount Sinai, Alyssa Dweck, kolostrum hanya dihasilkan beberapa hari selepas melahirkan anak. Ianya kemudian kurang dihasilkan setelah badan anda mula tahu berapa banyak susu perlu dihasilkan untuk keperluan bayi anda.

Apa yang Berlaku Pada Susu Badan Apabila Bayi Mula Meningkat Usia?

Apabila bayi mula bertambah usia, susu badan akan mempunyai jumlah leukosit yang berkurangan berbanding di awal kelahiran. Apakah itu leukosit? Ia merupakan sejenis sel darah putih yang ada pada susu ibu.

Tetapi pada waktu ini, jumlah antibodi juga masih lagi banyak bagi memenuhi keperluan imun anak anda. Ia membantu mengelakkan si kecil daripada mudah jatuh sakit.

Akibatnya, jumlah sel darah putih dan antibodi yang berubah-ubah ini memberikan tona warna yang sedikit berbeza pada susu badan anda.

Susu Badan Juga Berubah Warna Apabila Anda Atau Anak Anda Sakit

Satu kajian yang dibuat pada 2013 menyatakan yang perubahan warna susu badan juga boleh berlaku jika salah seorang daripada ibu atau bayi sakit. Pada waktu ini, badan ibu menyelaraskan jumlah leukosit mengikut kesihatan si ibu dan si kecil. Menarik, bukan?

perubahan warna susu badan Source: Greenpediatrics.com

Anda mungkin tertanya-tanya, bagaimana badan si ibu dapat mengetahui tentang keadaan kesihatan si anak?

Seorang ibu, Mallory Smothers, dari USA, ada berkongsi tentang pengalaman melihat susu badannya berubah warna dalam masa hanya beberapa jam setelah anaknya mula bersin, selesema dan merengek.

Dia menyatakan:

“Mungkin air liur dari mulut anak saya memberi isyarat kepada badan saya yang dia tidak sihat. Badan saya pun mula melakukan perkara ajaib dengan mengubah komponen dalam susu mengikut patogen (bakteria atau virus) bayi saya dan kemudiannya menghasilkan susu yang sesuai bagi keadaannya yang sedang tidak sihat.”

Apa yang berlaku adalah bakteria dari air liur bayi masuk ke puting payudara ibu yang kemudiannya membuatkan badan si ibu sedar yang anaknya tidak sihat!

Dr. Jamil Abdul-Rahman dari Pusat Perubatan Vista East bersetuju dengan teori ini. Katanya, apabila seseorang bayi atau ibunya sakit, kandungan sel darah putih yang mampu melawan penyakit akan meningkat sehingga 94% dan jumlah yang banyak ini akan turut memberi kesan kepada warna susu ibu.

Apa yang Susu Badan Lakukan Kepada Bayi Anda?

Sudah pasti, perubahan warna susu badan sangat bermanfaat buat si bayi. Selain daripada menyembuhkan si manja dari penyakit yang sedang dialaminya sekarang, ia turut memberikan kesan positif jangka masa panjang.

Ia mengurangkan risiko diabetes, leukemia, jangkitan pada telinga dan obesiti di kalangan anak kecil.

Bagi si ibu pula, aktiviti menyusu dapat mengelakkan kemungkinan daripada terkena kanser payudara, kanser ovari dan kencing manis.

Sememangnya, badan kita sangat unik dan mampu melakukan perkara-perkara 'magik' seperti yang diterangkan di atas. Kemampuan badan kita dalam mengadaptasi kepada persekitaran luar sememangnya mampu membuatkan kita terkesima!

Buat para ibu di luar sana, teruskan memberi susu badan kepada bayi anda dan sekali sekala, beri perhatian kepada warnanya. Banyak yang boleh diketahui tentang keadaan kesihatan semasa anda dan bayi, hanya dengan melihat pada warna-warna susu sahaja!