Bagi pasangan suami isteri, anda pastinya mengimpikan untuk memiliki cahaya mata bagi melengkapkan kehidupan berumah tangga. Namun baru-baru ini tular gambar dikongsikan oleh seorang abang Foodpanda yang menerima tips RM5 setelah menghantar pesan makanan oleh pelanggannya.
Dia tidak menyangka di sebalik duit tambahan diterimanya tersebut mempunyai mesej bertulis yang cukup menyentuh hati.
Pelanggan bayar lebih selepas pesan makanan online
Bila menyentuh soal zuriat, ia adalah sesuatu yang paling sensitif bagi mana-mana pasangan suami isteri. Sama ada cepat mahupun lambat, sudah tertulis rezeki Allah buat setiap hambaNya.
Melalui posting yang mendapat lebih 21 ribu ulang kicau dan 30 ribu tanda suka, seorang rider Foodpanda telah mendapat tips tambahan sebanyak RM5 daripada pelanggan yang pesan makanan di aplikasi tersebut.
Namun siapa sangka di sebalik pemberian tersebut, adanya mesej bertulis meminta ‘pertolongan’ daripadanya agar mendoakan dia dikurniakan seorang cahaya mata.
”Doakan kami punya zuriat yang sihat tubuh badan dan sempurna sifat, dapat seorang pun sudah memadai sangat-sangat. Terima kasih,” tulis pelanggan berkenaan.
Sememangnya bukan mudah untuk melalui hari tanpa kehadiran cahaya mata. Masih ramai pasangan suami isteri yang menunggu sehingga berpuluh-puluh tahun. Percayalah akan setiap takdir Allah tetapkan kerana hanya Dia mengetahui segalanya.
Kami di theAsianparent Malaysia mendoakan pasangan berkenaan dikurniakan anak yang sihat, soleh dan solehah.
Tips mudah hamil mengikut ajaran Islam
Tidak dinafikan apabila lambat ‘lekat’, hati mulalah rasa resah dan sedih apabila perlu berdepan orang sekeliling. Ada je pasangan yang baru berkahwin dimurahkan rezeki sehingga bunting pelamin.
Namun ada juga yang tidak semudah itu. Sebenarnya ada beberapa tips amalan diajarkan dalam Islam sebagai usaha mendapatkan cahaya mata, antaranya ialah:
#1. Banyakkan berdoa
Sebagai orang manusia biasa, anda perlulah sentiasa berdoa agar Allah S.W.T mengurniakan anak yang soleh dan solehah. Sekurang-kurangnya setiap kali selesai solat fardhu, bacalah doa khusus bagi memperoleh zuriat serta dikurniakan cahaya mata sihat dan sempurna.
Anda boleh membaca ayat 38 dari Surah Ali-Imran yang bermaksud:
”Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (Menerima) doa.”
Berdoa dengan ayat 89 Surah Al-Anbiya’ yang bermaksud:
”Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.”
#2. Beristighfar
Antara asas kepada sebarang jenis doa agar ia mendapat perkenan daripada Allah adalah dengan bertaubat dan beristighfar. Sekiranya anda ingin murah rezeki, berdepan dengan pelbagai masalah atau inginkan hati yang tenang, maka hendaklah bertaubat serta beristighfar terlebih dahulu.
Suami isteri hendaklah melakukan taubat dan istighfar, Allah S.W.T akan sentiasa mengasihi serta merahmati segala isi dalam rumah tangga. Mudah-mudahan Allah makbulkan setiap impian pasangan untuk dikurniakan cahaya mata.
#3. Banyakkan bersedekah
Antara amalan yang boleh meringankan kesusahan atau penyakit ialah memperbanyakkan sedekah dalam seharian. Kesukaran untuk memperoleh cahaya mata adalah termasuk orang yang berada dalam kesusahan.
Diriwayatkan daripada Abu Umamah Al-Bahili r.a Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: ”Rawatlah kamu sekalian akan segala penyakit yang ada pada kamu dengan bersedekah.” (Hadith di dalam kitab Sahih Al-Jami’ & Ad-Dailami)
#4. Jaga percakapan
Elakkan bercakap tentang hal yang sia-sia seperti mengumpat atau memfitnah.
Suami isteri hendaklah menjaga mulut dan menuturkan perkataan-perkataan baik sahaja. Selain itu, basahlah lidah dengan ungkapan berzikir, bertahmid atau bercakap perkara yang mendatangkan faedah untuk diri sendiri.
#5. Berpuasa sunat
Khusus buat para suami, anda hendaklah memperbanyakkan puasa sunat atau sekurang-kurangnya seminggu dua kali atau sehari pada Isnin dan Khamis. Anda juga boleh berpuasa pada salah satu hari-hari berkenaan atau hari-hari putih seperti 13, 14 dan 15 bulan Hijrah.
Perlu diingatkan bahawa amalan puasa sunat ini hanya digalakkan oleh suami atau bakal ayah sahaja seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s.
Sumber: Siakap Keli, Wan syahida
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.compesan-makanan-online