Satu kajian telah dilakukan oleh seorang artis dan pereka dari Belanda bernama Christian Meindartsma yang telah menulis sebuah buku, “Pig 05049” yang menyelidik semua produk yang mengandungi babi.
Anda mungkin terkejut melihat senarai barangan yang menggunakan bahan ini!
Antara beberapa produk yang tidak disangka telah diperbuat daripada babi adalah amunisi, ubat, kertas foto, injap jantung, brek keretapi, kosmetik, rokok, kelengkapan peribadi dan juga bio diesel.
Beliau mengkaji Babi bernombor 05049, yang telah menjadi tajuk bukunya, dan bagaimana babi ini digunakan untuk membuat pelbagai produk barangan komersial.
Beliau menyentuh fakta tentang populasi Belanda iaitu 16 juta dan mempunyai 12 juta babi.
Katanya, walaupun rakyat Belanda memakan 4 juta babi dan selebihnya diexport ke Eropah dan dunia, tetapi, ramai rakyat tersebut tidak pernah pun melihat seekor babi yang hidup. Aneh, kan?
Anda boleh menonton video TedTalk beliau di bawah atau DI SINI dengan sarikata Bahasa Malaysia:
Senarai produk yang mengandungi babi
1# Sabun, losyen, syampu, perapi rambut
Pernahkan anda terfikir bagaimana produk kelengkapan peribadi anda kelihatan berkilat seperti mutiara?
Tahukah anda, untuk membuatkan produk-produk ini berkilat, lemak tulang babi telah digunakan.
Lemak tulang babi juga membantu untuk mengeraskan sabun.
Tidak semua produk kecantikan mengandungi bahan ini, jadi, baca label terlebih dahulu. Sekiranya anda masih tidak pasti, anda boleh menghubungi syarikat kosmetik kegemaran anda sendiri dengan menghantar mereka e-mel bagi mendapatkan penjelasan sebenar.
2# Roti dan mentega rendah lemak
Selain itu, babi juga digunakan dalam pemprosesan roti dan mentega.
Bulu dan protin daripada bulu babi digunakan sebagai pengembang adunan dan gelatin babi ditambah kepada mentega rendah lemak untuk mengekalkan teksturnya.
Jika anda peminat roti buatan luar negara atau sering melancong dan membeli roti di kedai bakeri di sana, pastikan anda membaca label dengan cermat terlebih dahulu!
3# Produk yang mengandungi babi: Konkrit jalanan
Semasa berjalan atau memandu keluar rumah, anda tentu akan melihat konkrit di tepi jalan atau semasa melalui kawasan berhampiran pembinaan bangunan.
Tahukah anda bahawa ia mungkin mengandungi protin dan tulang babi sekiranya bahan itu diimport dari luar negara?
Ya, kita tidak mengjangka sama sekali yang bahan ini turut digunakan dalam pembinaan jalan raya atau bangunan. Tetapi itulah realitinya.
4# Produk yang mengandungi babi: Brek keretapi
Ini lagi satu fakta menarik yang dikongsikan oleh Christian Meindartsma dalam bukunya yang bertajuk “Pig 05049”.
Menurut kajian yang dilakukan olehnya, keretapi buatan Jerman turut menggunakan abu dan tulang babi pada bahagian pada breknya.
5# Cat dan berus cat
Selain itu, babi juga digunakan dalam pembuatan cat di mana ia membantu untuk mengekalkan tekstur dan kilatannya.
Bulu babi juga digunakan untuk menghasilkan berus cat. Jadi berhati-hati jika anda ingin membeli berus cat ya!
6# Rokok
Haaa… ini mungkin fakta terbaru yang boleh membuatkan ramai perokok di luar sana berfikir dua tiga kali untuk kekal merokok.
Tahukah anda? Hemoglobin babi juga turut digunakan pada bahagian filter rokok!
Sebatang rokok mengandungi 4000 bahan kimia dan jangan terkejut jika terdapat babi dalam rokok anda.
7# Peluru
Ini mungkin produk teraneh yang mengandungi babi, tetapi masih lagi menarik untuk diketahui.
Menurut pengkaji ini, peluru yang dibuat di sebuah kilang amunisi yang terbesar di Amerika mengandungi bahan berunsurkan babi.
Berhati-hati dalam pembelian barangan komersil
Untuk mengelakkan daripada terguna barangan yang mengandungi babi, anda haruslah rajin membaca label pada barangan.
Pastikan kita memilih produk daripada yang memenuhi piawaian Halal.
Adakah KOD-E pada produk makanan di pasaran halal untuk dimakan?
Sebelum ini, telah tersebar luas tentang penggunaan kod-E pada label barangan yang dikatakan mempunyai enzim babi.
Namun, menurut JAKIM, barangan tempatan yang mempunyai status halal yang sah boleh digunakan tanpa ragu-ragu walaupun anda dapat melihat ramuan dengan pengelasan kod-E pada labelnya.
Cumanya, jika ia adalah produk dari luar negara, tiada lambang halal, dan mempunyai kod-E pada labelnya, anda perlu berhati-hati ketika membelinya.
Untuk pengetahuan anda, tidak semua produk di pasaran Malaysia mempunyai kandungan babi ini. Bahkan negara kita telah tetapkan standard yang tinggi dalam setiap produk yang dijual.
Namun jika anda berasa was-was, anda boleh melayari laman web portal Halal Malaysia bagi menyemak status halal sesuatu produk sebelum menggunakannya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Susu Ibu Dikatakan Tak Halal Untuk Disimpan? Ini Tip Pam Susu Badan Semasa Travel