Projek Sains Kanak-Kanak: Gula Batu Kristal Kool Aid

Mari mengajar anak tentang larutan dan keterlarutan, sambil membuat gula-gula mereka sendiri!

Semua kanak-kanak pasti akan suka eksperimen sains ini! Sambil belajar tentang larutan dan keterlarutan, mereka akan membuat gula-gula mereka sendiri! Ini adalah satu aktiviti yang menarik untuk kanak-kanak dari semua peringkat umur.

Gula batu kristal ini akan mengambil masa kira-kira satu minggu untuk tumbuh. Ini memberi kanak-kanak banyak masa untuk melihat proses itu berlaku.

Bahan-bahan yang diperlukan

  1. Kayu satay, atau kayu aiskrim pun boleh
  2. Gula pasir kasar
  3. Balang kaca atau bekas
  4. Pengepit baju kayu
  5. Kool Aid yang dijual di Jaya Grocer

Langkah-langkah

#1 Celupkan kayu ke dalam air kemudian gulung kayu itu dalam gula dan biarkan kering atas kertas minyak seperti gambar di bawah.

 

#2 Larutan gula ini menggunakan 1 bahagian air kepada 3 bahagian gula. Larutkan 1 cawan gula dengan1 cawan air di dalam periuk dengan menggunakan api sederhana sehingga gula larut sepenuhnya. Kemudian tambahkan 2 lagi cawan gula dan kacau sehingga ia larut.

 

#3 Tuangkan satu bungkus Kool Aid ke dalam bekas atau balang dan campurkan dengan larutan gula dan air tadi.  Larutan gula dan air boleh digandakan mengikut warna dan perisa Kool Aid yang anda ingin cuba. Masukkan kayu yang diliputi pasir gula ke dalam air gula Kool Aid. Gunakan penyepit kain untuk memastikan kayu itu dalam keadaan tegak dan tidak menyentuh bahagian bawah bekas.

#4 Ketepikan selama seminggu supaya kristal boleh membentuk.

Mengapa kayu diliputi gula digunakan?

Batang kayu itu akan menjadi permukaan di mana kristal boleh "tumbuh". Gula pasir yang meliputi kayu itu bagaikan benih yang akan menjadi titik permulaan untuk kristal gula membesar.

Bagaimanakah Larutan Kool Aid itu boleh membentuk kristal?

Sebenarnya, bentuk asal gula adalah bentuk kristal. Apabila anda melarutkan gula dalam kuantiti yang banyak di dalam air panas, ia akan menjadi larutan yang sangat tepu, sehingga gula itu tidak boleh larut lagi.

Tetapi larutan air dan gula tepu ini tidak boleh kekal dalam bentuk cecair. Jadi, apabila penyejatan air berlaku dalam tempoh satu minggu itu, gula yang dilarut akan kembali ke bentuk asalnya, dan membentuk kristal gula-gula pada permukaan kayu yang digantung. Semakin lama kayu itu dibiarkan dalam larutan gula dan air, semakin besar gula batu kristal itu nanti.

Selamat mencuba! Sedap tau!

Sumber: 123homeschool4me