Memahami psikologi kanak-kanak adalah antara ilmu utama yang patut dikuasai oleh setiap ibu dan bapa.
Dalam satu FB posting hasil perkongsian Dr. Taufiq Razif, beliau berkongsi beberapa nasihat yang menyentuh hati tentang pentingnya ibu ayah memahami anak mereka.
Beliau menulis:
***
1. Mak/Ayah, tolong jangan bandingkanku dengan anak-anak yang lain. Sungguh, diriku sendiri tak pernah cuba membandingkan Mak/Ayah dengan orang lain. Mak/Ayah ku cuma satu.
2. Mak/Ayah, mohon jangan bosan dengan pertanyaan-pertanyaanku. Sungguh, rasa ingin tahu ni la yang membuatkan diri ini makin hari makin pandai dan pintar
3. Mak/Ayah, jangan bersedih atas banyaknya kegagalanku dalam peperiksaanku. Sungguh, ku tak pernah gagal untuk mencintaimu seluruh hidupku
4. Mak/Ayah, janganlah terlalu fokus pada kegagalanku, percayalah setiap hari fikiranku ini hanya untuk membanggakanmu
5. Mak/Ayah, janganlah selalu melihat amukan dan teriakanku, cubalah lihat bagaimana usahaku itu untuk membuatkanmu sedar akan kehadiranku. Sungguh, anakmu sangat lah perlu perhatian dan sentuhan sayangmu
6. Mak/Ayah, sungguh anakmu ini mahu jadikan dirimu idola yang terbaik untuk ditiru dan dicontohi. Ku mohon keluarkanlah akhlak dan peribadi terbaikmu untuk dilihat dan ditiru olehku
7. Mak/Ayah, janganlah mengancam, membentak dan menyakitiku selalu. Sungguh, anakmu ini sedang belajar memahami dirimu dan sungguh, anakmu ini masih dalam proses belajar untuk mengawal diri dan emosi diri.
Ku mohon, bimbing dan tuntunilah anakmu ini, dengan penuh rasa kasih dan sayangmu.
***
Sememangnya, apa yang ditulis oleh doktor ini sangat benar.
Ibu ayah, adakah anda sudah belajar tentang ilmu psikologi kanak-kanak?
Bidang ilmu keibubapaan amatlah luas. Dalam mengurus dan mendidik anak-anak, amat penting untuk kita memahami sikap semulajadi yang ada pada si kecil secara amnya.
Tanpa ilmu psikologi kanak-kanak, amat mudah untuk kita memandang anak kita itu daripada pandangan seorang dewasa, kepada seorang dewasa yang lain.
Padahal, anak itu masih lagi di tahap “beginner“. Mereka belum cukup makan garam. Ilmu belum banyak yang tersemat di dada.
Ibu ayah mudah naik marah apabila gagal memahami si kecil
Tanpa pemahaman psikologi kanak-kanak, amat mudah untuk kita sebagai ibu ayah untuk cepat marah dan kecewa dengan anak-anak kita di rumah.
Amat mudah untuk kita merasakan yang mereka gagal memahami dan memenuhi kehendak kita.
Walhal, isu yang sebenarnya adalah, kita yang tidak cukup ilmu di dada untuk memahami sifat dan kelakuan anak-anak.
Menurut Child Development Institute dari Amerika Syarikat:
“Tidak ramai yang berjaya dalam hal keibubapaan dan ini mungkin akan membuatkan anda berasa ingin berputus asa. Memahami anak anda adalah satu cara berkesan untuk kita berjaya sebagai seorang ibu atau ayah.”
6 cara memahami psikologi kanak-kanak
Disebabkan pentingnya untuk anda memahami anak anda, kami ingin kongsikan beberapa cara efektif untuk memahami psikologi kanak-kanak yang boleh anda praktikkan di rumah, seperti yang dikongsikan oleh Mom Junction.
- Memerhatikan secara aktif kelakuan anak – Tunjukkan minat dalam apa yang anak anda buat atau katakan. Yang paling penting, perhatian perlu dibuat tanpa kita menghukum (judging).
- Meluangkan masa berkualiti dengan anak – Kualiti di sini bermaksud anda bersembang dengannya. Mengingati kata-katanya dan menurunkan level pemikiran anda ke tahapnya – tahap kanak-kanak.
- Perhatian yang tidak berbelah bahagi – Ini amatlah penting untuk ibu ayah yang ada beberapa orang anak. Luangkan masa dengan setiap anak pada masa yang berbeza supaya anda dapat memahaminya lebih baik dan dia juga rasa dihargai.
- Ambil tahu hal anak – Jika anda menghantar anak ke nurseri atau sekolah tadika, pastikan anda tahu keadaannya di sana. Siapa rakan rapatnya? Apa aktivitinya? Bersembang dengan ibu ayah adalah terapi terbaik buat anak!
- Fikir seperti kanak-kanak – Dengan membuang seketika pemikiran dewasa anda, lebih mudah untuk anda berinteraksi dengan si kecil. Contohnya, tanya soalan mudah (yang anda rasakan seperti soalan bodoh) atau buat alasan (excuses) untuk setiap perangainya yang anda tidak gemari.
- Mengambil berat emosi anak – Amat mudah untuk ibu ayah terlepas pandang tentang hal ini. Beri perhatian pada emosinya setiap hari dan tunjukkan padanya yang anda perasan dan memahaminya. Contoh: “Diana sedih ya hari ini?” atau “Abang gembira ya petang ini.”
Ibu ayah sekalian, percayalah, apabila anda memahami psikologi si kecil anda, anda akan menjadi lebih berempati dengan anak anda.
Anda tidak akan marah-marah. Jiwa anda tenang dan anak pun gembira dan makin sayang. Jom cuba di rumah ya, ibu ayah?
Sumber: Taufiq Razif FB, MomJunction, ChildDevelopmentInfo
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
8 Perkara Yang Kanak-Kanak Tak Akan Pernah Lupa Dan Hilang Dari Ingatannya