Apabila kita mendukung si manja, acap kali kita perlu menukar pakaian mereka atau pakaian kita sendiri oleh kerana mereka memuntahkan susu yang diminum. Refluks adalah gastroesofagus yang memang biasa ada pada si manja, jadi kita pun tidaklah terlalu risau dengan perkara ini, kan?
Tetapi, refluks gastroesofagus (GER) ini berbeza dengan penyakit refluks gestroesofagus (GERD). Yang mana GERD ini satu kondisi yang jauh lebih serius dari GER.
Jadi, di dalam artikel ini, kami akan berkongsi tentang apakah itu GER dan GERD serta bagaimana ia berlaku, simptom-simptom penghidapan penyakit tersebut termasuklah cara penjagaan si manja yang mempunyai GERD.
Refluks Gastresofagus dan Penyakit GERD Adalah Tidak Sama! Bagaimana Ia Berlaku?
Refluks gastroesofagus ini juga dikenali sebagai refluks asid di mana isi-isi perut mula naik ke esofagus dan tekak kita. Oleh sebab itulah, si manja anda kerap muntah atau terjeluak selepas meminum susu.
Tetapi, GERD adalah satu penyakit dan ia lebih serius dan perlu diambil berat oleh ibu bapa. Walau bagaimana pun, dengan bayi kecil, ia tidaklah terjadi secara tiba-tiba. Pasti ada beberapa punca mengapa bayi anda boleh menghidap GERD.
#1. Esofagus yang terlalu kecil dan sempit
Isi perut lebih mudah untuk naik semula ke esofagus dan tekak sekiranya saluran tersebut lebih pendek dari kepanjangan yang normal. Tambahan pula, jika kerongkong bayi anda lebih sempit, lapisan esofagus tersebut mungkin lebih mudah mengalami ketidakselesaan.
#2. Pemakanan
Sesetengah makanan lebih mudah mencetuskan refluks asid bayi. Contohnya seperti, buah-buah yang masam serta produk makanan yang mengandungi tomato boleh menyebabkan kandungan asid di dalam perut anak bertambah, lantas menyebabkan refluks asid.
#3. Posisi semasa penyusuan
Walaupun posisi yang kita berada adalah selesa bagi diri sendiri dan si manja ketika penyusuan, kadang-kala posisi tersebut lebih mudah mencetus GER pada si kecil. Membaringkan anak ketika menyusu lebih mudah menyebabkan GER.
#4. Terlalu banyak menyusu
Lebihan bekalan susu di dalam perut bayi boleh memberi tekanan kepada sfinkter esofagus (LES) anak, lalu menyebabkan si kecil terjeluak. Si manja yang menyusu botol lebih cenderung untuk mengalami bekalan susu yang berlebihan di dalam diri mereka.
Kini anda sudah tahu punca-punca si manja sering muntah susu atau terjeluak, tetapi bagaimanakah anda hendak membezakan sekiranya mereka hanya mengalami GER atau kondisi yang lebih serius, iaitu GERD?
Bagaimana Saya Hendak Tahu Jika Bayi Saya Menghidapi GERD?
Seperti yang telah dikongsi, GER ialah kondisi normal di mana seorang bayi akan memuntahkan susu berkemungkinan kerana telah minum susu dengan terlalu banyak atau esofagus mereka masih berada pada kepanjangan yang tidak normal.
Walau bagamainapun, dengan GERD, si manja anda pasti akan menunjukkan simptom-simptom lain ketika mereka muntah susu.
- Bunyi-bunyian seperti desahan atau mengah selepas atau ketika meminum susu
- Melelehkan air liur lebih banyak dari biasa
- Tangisan yang sukar dipujuk, mungkin kerana kesakitan
- Ketidakselesaan
- Tanda-tanda seperti mereka dalam kesakitan (badan yang melengkung, tidak senang tidur atau sentiasa menggeliat)
- Sukar untuk makan atau minum
- Kenaikan berat badan yang tidak memberangsangkan
- Muntah (jeluak) bayi kelihatan hijau, merah atau berwarna seperti serbuk kopi
Simptom-simptom ini mungkin bunyi seperti ia menakutkan, tetapi dengan perubahan gaya hidup bagi si manja, dengan izin-Nya, mereka akan dapat dirawat dengan lebih mudah dan cepat.
Walau bagaimanapun, anda perlulah memberitahu pakar kanak-kanak anda sekiranya anda khuatir jika si kecil menghidapi GERD.
Cara Penjagaan Si Manja Yang Menghidapi GERD
Cara terbaik untuk mengurangkan penyakit refluks gastroesofagus pada bayi anda adalah dengan menukar cara pemakanan mereka serta memperbetulkan posisi tidur mereka. Tetapi, apakah cara terbaik untuk menyuap si manja yang menghidapi GERD?
- Menyusu dengan kerap
Sekiranya sebelum ini anda menyusukan bayi sebanyak 2-3 kali sehari, sudah tentulah kuantiti susu yang diberi itu adalah tinggi, kan? Kini, anda boleh mencuba menyusu anak dengan kuantiti susu yang sedikit tetapi kerap-kerap. Ini akan mengurangkan tekanan pada LES si kecil anda, lantas mengurangkan GERD mereka.
- Menyusu mereka dalam posisi duduk
Sandarkan si manja pada diri anda ketika menyusukan mereka dan kekalkan posisi tersebut sekurang-kurangnya selama 30 minit. Ini akan menyukarkan asid perut untuk naik ke esofagus si manja.
- Sendawakan bayi dengan lebih kerap
Tidak kiralah jika anda menyusu si manja dengan susu botol atau susu badan, tetapi kerap-keraplah sendawakan si manja anda untuk mengurangkan simptom-simptom GERD pada diri mereka.
- Menidurkan bayi dengan betul
Ketika si manja hendak tidur, baringkan mereka di atas tilam yang agak keras dan pastikan ruangan tidur anak bebas dari bantal-bantal, patung serta mainan. Sekiranya si manja baring di atas belakang mereka, ia juga akan mengurangkan risiko SIDS (sudden infant death syndrome). Pastikan terdapat ruang masa di antara waktu penyusuan dan waktu tidur.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Healthline
Baca juga: Mengatasi Bayi Muntah, Ini Caranya!