Resepi Ayam Masak Merah Sedap Versi Che Nom, Menu Simple Kegemaran Ramai
Resepi ayam masak merah sedap ikut cara Che Nom adalah dengan menambah gula melaka berbanding gula putih dan juga daun kari
Ayam masak merah adalah menu yang agak popular di Malaysia. Biasanya ia dihidangkan semasa majlis kenduri, perayaan, atau makan tengah hari istimewa, ayam masak merah menawarkan rasa manis, pedas, dan berlemak yang pasti membuka selera. Untuk resepi ayam masak merah ini, ayam digoreng hingga rangup sebelum dimasukkan ke dalam adunan kuah.
Isi Kandungan
Resepi Ayam Masak Merah Che Nom
Bahan-Bahan Ayam Masak Merah
- 1 ekor ayam, potong kepada bahagian yang anda suka
- serbuk kunyit
- sedikit garam
- 1 tangkai daun kari
- 1/2 mangkuk air asam jawa
- 3-4 sudu besar sos cili
- 1 biji bawang besar, potong bulat
- Anggaran 1 keping gula melaka
- 2 sudu besar sos tiram
Bahan Kisar Halus
- 2 biji bawang besar
- 2 inci halia
- 6-8 biji bawang merah
- 8-10 ulas bawang putih
- 2 batang serai, hiris nipis
- 15-20 biji cili kering, buang biji dan rebus
Cara Masak Ayam Merah
- Bersihkan ayam dan gaul bersama serbuk kunyit dan garam. Panaskan minyak dan goreng ayam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
- Dalam minyak yang sama, tumis daun kari kemudian diikuti bahan kisar halus bersama sehingga pecah minyak.
- Masukkan air asam jawa kemudian diikuti ayam goreng tadi.
- Masukkan sos cili, sos tiram dan gula melaka. Masukkan gula melaka sedikit demi sedikit dan cuba rasa manisnya mengikut selera anda. Tambah sedikit air jika kuah sambal terlalu kering. Teruskan masak selama 5-10 minit. Perasakan dengan garam secukup rasa.
- Sebelum angkat, masukkan bawang besar yang dipototong bulat. Kacau seketika.
Tips Ayam Masak Merah Sedap
Untuk mendapatkan sambal tumis yang sedap, bahan tumis haruslah dimasak di dalam minyak yang banyak dan ditumis sehingga pecah minyak (maksudnya minyak terapung atau terpisah dari kuah sambal) dan warna sambal bertukar menjadi sedikit gelap.
Itu tandanya semua bahan kisar terutamanya cili masak dengan sempurna dan akan menghasilkan sambal tumis yang enak. Jika kering tambahkan sedikit air dan kacau untuk elakkan kuah sambal menjadi hangus.
Hidangan Ayam Masak Merah
Ayam masak merah bukan sahaja enak dengan nasi putih, tetapi juga serasi dengan beberapa hidangan tradisional lain seperti:
- Nasi Minyak atau Nasi Tomato: Biasanya dihidangkan semasa majlis kenduri, ayam masak merah sering menjadi pilihan kerana kombinasi rasanya dengan nasi minyak atau nasi tomato yang berempah.
- Pulut Kuning: Bagi mereka yang sukakan hidangan berlemak dan kaya, ayam masak merah juga sedap dimakan bersama pulut kuning.
- Ketupat atau Lemang: Semasa Hari Raya, ayam masak merah boleh menjadi hidangan pelengkap yang istimewa bersama ketupat atau lemang.
Kesimpulannya, ayam masak merah adalah hidangan yang kaya dengan rasa dan sesuai untuk pelbagai majlis. Kombinasi bahan-bahan yang digunakan dalam kuah memberikan keseimbangan rasa.
Dengan teknik yang betul, anda dapat menyediakan ayam masak merah yang sempurna di rumah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Resepi Kurma Daging Style Neelofa Untuk Haris, Nampak Sedap & Sungguh Menyelerakan
Baca juga: Resepi Crab Rangoon Yang Rangup & Sedap, Kudapan Viral TikTok Kesukaan Anak-Anak!
Baca juga: 5 Resepi Koktail Buah Viral Yang Mudah & Sedap, Minuman Penyejuk Tekak Paling Meriah!