Kebiasaannya, bayi akan tumbuh gigi pertamanya ketika memasuki usia 6 bulan. Si manja akan menunjukkan simptom seperti air liur meleleh dengan banyak dan kesakitan agak teruk. Bagi mengurangkan kesengsaraan, bayi mula menggigit secara perlahan. Justeru, apa kata anda sediakan sesuatu yang lebih sihat dengan resepi biskut bayi kami kongsikan ini!
Pada permulaaannya, gusi bayi anda mungkin keluar sedikit puncak putih bahagian kacip bawah sekitar usia 3 bulan dan setahun. Apabila menjelang tahun kedua, gigi geraham kedua (bahagian atas dan bawah) dan belakang rahang mula tumbuh.
Dalam hal ini, anak sepatutnya sudah memiliki set lengkap 20 batang gigi susu ketika usianya 2 tahun.
Resepi biskut bayi homemade yang sedap dan mudah
Sudah tentu agak sukar untuk mendapatkan biskut bayi terbaik yang sedap, tanpa kandungan gula, garam atau bahan pengawet di mana-mana pasaraya.
Mengikut perkongsian dan tips resepi biskut bayi homemade yang dikongsikan oleh seorang ibu, Khairunisa Ab Rahman, hidangan ini amat sesuai untuk si manja yang berada dalam fasa gatal gusi kerana gigi susu mula tumbuh.
Bahan-bahannya juga sangat simple dan mudah diperoleh tanpa meletakkan gula atau garam. Ibu juga boleh menggunakan adunan asas ini dengan mempelbagaikan jenis biskut dengan flavour tertentu. Nanti takde lah anak cepat bosan makan makanan sama dan ibu pula perlu buat banyak kali, kan?
Bahan-bahan yang diperlukan
- 3 sudu besar unsalted butter* ( dicairkan pada suhu bilik)
- 1 cawan tepung jagung* (saya guna cawan sukat beras)
- 1 atau 2 sudu apa-apa jenis puri* (stim & kisar/lenyek tanpa air)
- 1 sudu tepung gandum unbleach (tepung sesuai untuk bayi 7 bulan tapi kalau sudah mencuba awal dan bayi tiada masalah, boleh teruskan)
- 5 sudu susu tepung full cream (kalau tak letak pun tak apa)
Nota:
- Puri buah yang juicy seperti pisang boleh menghasilkan biskut dengan tesktur yang agak keras. Amat sesuai untuk bayi dalam fasa teething atau gatal gusi.
- Untuk rasa lebih berlemak, ibu boleh tambah sedikit cream cheese bagi bayi yang berusia 8 bulan ke atas.
- Kombinasi bahan bertanda * sahaja akan menghasilkan biskut lebih lembut dan pecah apabila dipegang seperti kuih semperit dan tart. Pastikan anak makan di tempat sesuai agar senang anda kemas dan kurang stres.
- Bagi anak yang belum tumbuh gigi, dia boleh kunyah menggunakan gusi.
Cara penyediaan
#1. Gaul sebati unsalted butter bersama dengan susu
#2. Masukkan puri dan gaul lagi.
#3. Tambahkan bahan tepung jagung dan uli sampai ia menjadi doh
#4. Masukkan tepung gandum sekiranya anda ingin biskut dengan tekstur lebih keras sedikit.
#5. Canai dan bentukkan mengikut saiz yang kita inginkan.
#6. Bakar menggunakan kuali non stick, frying pan atau oven. Tapi saya hanya guna air fryer sahaja.
Tips penting
- Resepi ini sesuai untuk bayi berusia 7 bulan dan ke atas dan boleh menghasilkan satu bekas kecil biskut.
- Biskut boleh tahan 2 hingga 3 bulan dalam suhu bilik sekiranya ibu menyimpannya dalam bekas kedap udara.
- Pastikan anda tidak meletakkan air kerana ia boleh menyebabkan biskut menjadi keras.
- Kalau guna puri yang dibekukan, pastikannya cair dan ditapis dahulu untuk membuang air.
- Bagi mendapatkan tekstur gebu dan lembut seperti kuih semperit, guna tepung jagung sahaja sudah memadai. Jika nak tekstur rapuh sedikit, boleh letakkan tepung gandum.
- Suhu dan masa bergantung kepada oven atau air fryer masing-masing. Anda boleh mula dengan suhu rendah terlebih dahulu, kemudian tengok hasilnya. Saya menggunakan air fryer manual dengan suhu 100 hingga 120 darjah Celsius selama 10 minit.
Selain itu, ibu boleh mempelbagaikan perasa biskut menggunakan puri buah seperti labu, carrot atau kentang.
Daripada anda menghabiskan banyak wang dengan beli biskut bayi di pasaraya, lebih bagus ibu buat sendiri di rumah kerana bahan-bahan yang digunakan lebih terjamin dan berkhasiat. Air tangan ibu sememangnya tidak akan pernah mengecewakan selera seisi keluarga!
Sumber: Khairunisa Ab Rahman,
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sedap & Kaya Dengan Nutrisi, Ini 7 Biskut Bayi TERBAIK Untuk 6 Bulan Ke Atas