Sudah hampir sebulan anda menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Kini, hari raya Aidilfitiri bakal menjelma tidak lama lagi. Biarpun kerajaan tidak membenarkan seluruh masyarakat pulang ke kampung, jangan sedih kerana hikmahnya anda dan pasangan dapat sama-sama menyediakan pelbagai juadah enak termasuklah mencuba resepi kek terkini!
Bagi mereka yang hilang mood beraya, ayuh bangkit kerana kalau bukan anda yang menjadikan Syawal kali ini tetap meriah, siapa lagi kan?
Resepi kek terkini untuk hidangan hari raya
Meskipun raya tahun ini membataskan kunjungan dari para tetamu, tidak ada salahnya anda dan pasangan bekerjasama menjadikan raya ketika pandemik Covid-19 ini lebih bermakna. Anda boleh memberi sedekah makanan kepada jiran tetangga.
Selain memasak juadah hidangan berat, anda mungkin ingin melengkapkan hidangan dengan pencuci mulut yang mudah dan tidak leceh untuk dibuat. Kami telah menyediakan aneka resepi kek terkini serta amat senang dibuat walaupun last minute!
#1. Kek sarang semut/ gula hangus
Bahan A:
- 2 cawan gula dihanguskan
- 2 cawan air panas
Apabila gula sudah hancur dan perang, masukkan air panas. Tambahkan 4 sudu makan mentega. Tutup api dan biarkannya sejuk.
Bahan B:
- 6 biji telur
- 1 sudu makan esen vanila
- 1/2 cawan susu pekat
- 1 3/4 cawan tepung gandum-diayak
- 2 sudu makan soda bikarbonat-diayak
Cara penyediaan
- Pukul telur, esen vanila dan susu pekat sehingga sebati. Masukkan bahan yang diayak dan kacau-kacaukan.
- Tambah bahan A. Gaul sebati dan tapiskan dahulu sebelum masuk ke dalam loyang.
- Perap sehingga 4 jam. Kemudian bakar dengan suhu 160 darjah celsius selama satu jam atau sehingga masak.
#2. Kek gulung berintikan buah strawberi
Bahan-bahan:
- 120g tepung kek
- 20g tepung jagung
- 1 sudu kecil esen vanila
- 20g ovalatte
- 120g gula kastor
- 50ml minyak jagung
- 6 biji telur
- Jem strawberi
Cara penyediaan:
- Putar telur dan gula kastor sehingga kembang
- Masukkan esen vanila dan ovalatte, diikuti dengan tepung kek dan tepung jagung. Pukul seketika sehingga kembang.
- Masukkan minyak jagung dan gaul sehingga sebati.
- Tuangkan adunan ke dalam loyang. Bakar pada suhu 180 darjah Celsius selama 18 minit.
- Setelah kek masak, biarkan ia sejuk terlebih dahulu. Kemudian, sapukan dengan jem buah strawberi dan gulung sehingga padat. Sedia untuk dinikmati!
#3. Kek coklat moist
Bahan A
- 1 cawan serbuk koko
- 1 cawan gula halus
- 1 cawan susu cair
- 1 cawan minyak masak
- 1/2 cawan susu pekat
Bahan B
- 1 1/2 cawan tepung gandum-diayak
- 1 sudu teh soda bikarbonat-diayak
- 1 sudu teh serbuk penaik-diayak
- 1 sudu teh esen vanila
- 3 biji telur
- Coklat masakan-untuk topping
Cara penyediaan
- Masak bahan A dalam periuk dengan api kecil sampai sebati. Sejukkan.
- Pukul telur sehingga kembang lebih kurang 5 minit. Kemudian masukkan bahan A, esen vanila dan sebatikan.
- Masukkan bahan B sedikit demi sedikit. Kacau selama 5 minit.
- Tambah adunan ke dalam loyang. Pastikan ditutup menggunakan aluminium foil agar wap air tidak menitik ke dalam adunan.
- Biarkan air dalam periuk pengukus mendidih dahulu. Barulah masukkan loyang selama 1 jam 10 minit. Jangan buka tutup pengukus sampai cukup masa.
- Setelah kek sejuk, anda boleh cairkan coklat dan tuangkannya ke atas kek. Siap!
#4. Kek carrot walnut cheese
Bahan-bahan
- 300g tepung gandum
- 10g serbuk penaik
- 250g mentega
- 300g gula kastor
- 4 biji telur
- 1 sudu esen vanila
- 1/2 sudu kecil garam
- 1/2 sudu kecil soda bikarbonat
- 1/2 sudu kecil serbuk kayu manis
- 300g lobak merah (diparut)
- 100g walnut (dicincang)
Bahan topping
- 250g krim keju
- 125g mentega
- 125 gula aising
Cara penyediaan
- Pukul mentega dan gula sehingga kembang. Masukkan telur sebiji demi sebiji berserta esen vanila.
- Tambah tepung gandum, serbuk penaik, garam, soda bikarbonat dan serbuk kayu manis. Sebatikan adunan.
- Masukkan lobak merah dan walnut. Kacau rata adunan.
- Tuangkan adunan ke dalam loyang, bakar pada suhu 150 darjah Celsius sehingga 1 jam.
- Topping: Pukul semua bahan sehingga sebati dan ketepikan.
- Setelah kek masak dan disejukkan, boleh letakkan topping mengikut kreativiti anda.
#5. Kek buah kurang manis
Bahan-bahan
- 250g mentega
- 170g gula perang
- 1 sudu kecil esen vanila
- 1 sudu makan orange sunquick
- 4 biji telur
- 230g tepung gandum
- 1/2 sudu kecil serbuk penaik
- 1 sudu kecil soda bikarbonat
- 1 sudu kecil garam
- 250g buah-buahan campur + 2 sudu makan tepung gandum (digaul bersama)
Cara penyediaan
- Satukan 2 sudu makan tepung gandum dan buah-buahan kering campuran agar ia tidak mendap ke bawah kek.
- Putar mentega dan gula sehingga kembang. Masukkan telur sebiji demi sebiji.
- Masukkan 2 sudu makan sunquick dan esen vanila.
- Dalam mangkuk lain, satukan soda bikarbonat, garam dan serbuk penaik bersama tepung gandum.
- Masukkannya sedikit demi sediki ke dalam adunan mentega sambil putar secara perlahan.
- Akhir sekali, masukkan buah-buahan campuran menggunakan kaedah kaup balik. Bakar pada suhu 170 darjah Celsius selama 45 minit. Siap!
Selamat mencuba dan selamat hari raya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bercadang Nak Buat Biskut Raya? Ini 7 Jenis Coklat Masakan Yang Biasa Jual Di Pasaran