- Bayi belum pandai menjilat sudu dengan lidah lagi, jadi belikan sudu plastik yang kecil dan nipis supaya senang disuap dalam kuantiti yang sedikit ke dalam mulut.
- Sebagai langkah keselamatan, beli jenis yang bersalut silicon yang berubah warna apabila tersentuh makanan panas. Ini boleh mengelak mulut bayi melecur.
- Mangkuk yang sesuai pula bergantung dengan ibu. Ibu suka suap anak ke nak biarkan anak suap sendiri? Ada mangkuk yang dilengkapkan dengan pelekat silikon di bawah supaya mangkuk boleh lekat pada meja dan tidak senang bergerak.
Kalau sudah bersedia, mari kita lihat beberapa resepi makanan bayi 6 bulan yang senang di bawah:
1 – Bubur Nasi (2 hidangan)
Resepi makanan bayi 6 bulan paling asas: bubur nasi
Hampir setiap keluarga akan mula dengan bubur nasi. Sesetengah ibu pula mungkin lebih suka beras perang buat si manja kerana kandungan nutrien yang lebih tinggi.
Bahan-Bahan:
1⁄4 cawan beras
1 3⁄4 cawan air
Cara memasak:
- Didihkan air. Masukkan beras, kacau dari semasa ke semasa.
- Reneh selama 10 minit dan teruskan mengacau.
- Ketepikan.
Sebelum diberi kepada si manja, bubur itu akan dikisar sehingga halus. Ada yang kisar beras dulu sebelum memasak, tapi saya lebih suka masak bubur seperti biasa kemudian kisarkan.
Tambahkan susu ibu sedikit sebelum diberi kepada bayi.
2 – Puri sayur-sayuran (2 hidangan)
Apabila menambahkan sayuran ke dalam resepi makanan bayi 6 bulan, labu dan lobak adalah pilihan popular kerana rasanya yang manis-manis.
Untuk memastikan si manja mendapat nutrien serta serat dari sayur-sayuran, ibu boleh kukus sayur pilihan kemudian purikannya.
Walaupun pilihan popular adalah lobak dan labu, ibu juga boleh membuat puri bayam, brokoli dan sayur-sayur lain.
Bahan-Bahan:
1⁄2 cawan lobak merah (atau sayur pilihan)
Air yang secukupnya untuk mengukus
Cara memasak:
- Masukkan lobak merah ke dalam pengukus dan letakkan di atas air mendidih dan kukus selama 15 minit atau sehingga lembut.
- Kisar dengan sedikit air ataupun sup ayam yang secukupnya. Kalau cukup lembut, ibu juga boleh lenyekkan lobak merah sehingga ia menjadi puri.
Puri sayur-sayuran boleh diberi begitu sahaja pada mula-mula untuk mengikut “4 days wait rule” apabila memperkenalkan makanan baru kepada si manja.
Tetapi selepas itu, ibu bolehlah campur dengan sup ayam dan bubur nasi untuk memperkenalkan rasa yang lebih kompleks
3 – Puri Buah-buahan (2 hidangan)
Resepi makanan bayi 6 bulan : Tahukah ibu bapa bahawa buah pir sangat bagus untuk anak yang sembelit?
Ibu juga boleh menggunakan epal, tembikai susu ataupun buah pic dan prun. Buah pir dan buah prun sangat bagus untuk anak yang sembelit.
Bahan-bahan:
1 biji epal merah, dibersihkan, dibuang kulit, bijinya dan dipotong kepada saiz kecil supaya ia cepat lembut.
1 cawan air
Cara memasak:
- Tuang air ke dalam kuali dan didihkan.
- Masukkan buah epal ke dalam periuk. Tutup dan renehkan selama 10 minit atau sehingga buah epal menjadi lembut.
- Lenyek epal dengan menggunakan garpu sehingga menjadi puri ataupun ibu juga boleh kisarkan.
Puri buah-buahan boleh diberi begitu sahaja ataupun dicampur dengan susu ibu. Terpulanglah kepada citarasa ibu.
4 – Sup Stok Ayam Dan Ikan Bilis
Apabila menyediakan resepi makanan bayi 6 bulan, sup stok ayam boleh ditambahkan sebagai perisa tambahan
Untuk menambah rasa kepada bubur atau makanan bayi, ibu boleh cuba sediakan stok ayam dan ikan bilis ini.
Bahan-bahan:
800 g tulang ayam bahagian dada
1 1⁄2 cawan ikan bilis
4 cawan air
Cara memasak:
- Bersihkan tulang ayam dan buangkan lemak, kulit dan darah beku. Buang kepala dan isi perut ikan bilis.
- Didihkan 4 cawan air dan masukkan tulang ayam dan ikan bilis. Sebaik sahaja mendidih, senduk keluar segala kotoran pada permukaan sup sehingga sup itu jernih. Reneh ayam selama 45 minit atau sehingga sup itu tinggal separuh daripada jumlah asal.
- Tapis dan biarkan sejuk.