Cuti sekolah sudahpun nak berakhir dan oleh sebab situasi sekarang, ramai ibu bapa lebih selesa duduk di rumah sahaja. Pastinya anak-anak tentu sahaja akan kerap berasa lapar dan asyik buka tutup peti sejuk mencari makanan. Justeru, kami kongsikan lagi resepi popia pisang yang viral untuk ibu-ibu cuba.
Sebenarnya popis atau popia pisang ini adalah makanan yang berasal dari negara seberang, Indonesia. Mereka menjadikan ia sebagai menu bersahur seisi keluarga. Kebiasaannya hanya menggunakan bahan-bahan yang mudah seperti kulit popia, pisang segar dan coklat.
Resepi popia pisang yang mudah dan sedap
Walau bagaimanapun, makanan ini menjadi terkenal apabila seorang peniaga dari negeri Terengganu mula mengetengahkannya. Tidak sangka ia mendapat sambutan masyarakat kita sehingga ada yang sanggup melancong ke bahagian pantai timur untuk mencuba popis.
Memandangkan seluruh ahli keluarga dinasihatkan untuk duduk di rumah dan tidak keluar sekiranya tiada urusan penting, apa kata ibu-ibu cuba resepi viral ini supaya nanti tidaklah ketinggalan.
Anak-anak yang sedang membesar juga pasti akan menyukainya kerana rasa manis pisang, kerangupan dari kulit popia dan topping yang pelbagai. Jadi tidaklah perlu untuk anda membeli kerana makanan ini boleh disimpan di dalam peti sejuk.
Bahan-bahan
- Kulit popia
- Serbuk oreo
- Pisang
- Susu pekat (untuk topping cheese)
- Bancuhan air tepung gandum bagi lekatkan kulit popia
- Saduran coklat atau nutella
- Cornflakes
- Nestum
- Cheddar cheese
Cara penyediaan
#1. Belah sebiji pisang menjadi dua bahagian.
#2. Kemudian ambil sekeping kulit popia dan letakkan pisang di tengah-tengah.
#3. Balutkan pisang dengan kulit popia.
#4. Letakkan sedikit bancuhan air tepung gandum bagi lekatkannya.
#5. Gulung mengikut jumlah yang anda inginkan.
#6. Panaskan minyak dan goreng sehingga ia bertukar keperang-perangan
#7. Letakkan saduran coklat atau nutella
#8. Kemudian taburkan topping mengikut citarasa masing-masing. Boleh guna oreo, nestum, keju, cornflakes dan lain-lain. Selamat mencuba!
Khasiat buah pisang untuk perkembangan anak
Buah pisang amat mudah diperolehi dan ia menjadi kegemaran seisi keluarga kerana tekstur yang lembut serta rasanya manis. Namun tahukah anda ia mengandungi pelbagai manfaat kepada anak-anak?
#1. Membantu melancarkan pencernaan
Buah pisang bukanlah penyebab berlakunya sembelit. Ia sebenarnya kaya dengan serat yang membantu melancarkan proses pencernaan. Bagi pengambilan buah ini sebanyak 120 gm, ia membekalkan sebanyak 3 gm serat.
Dalam hal ini, si manja yang berusia 3 hingga 5 tahun memerlukan 8-10 gram serat sehari. Justeru, ibu perlu menyediakan 2 atau 3 biji pisang setiap hari buat mereka.
#2. Menghindarkan masalah asma
Berdasarkan sebuah kajian yang dilakukan oleh Imperial College of London, pakar mendapati anak-anak mengambil buah pisang setiap hari dapat mengurangkan risiko diserang penyakit asma sehingga 34 peratus.
#3. Membekalkan tenaga yang baik
Bekalan tenaga bergantung pada tahap kematangan. Buah pisang sebenarnya mengandungi komponen pektin dapat membuatkan anak-anak rasa kenyang.
Kandungan karbohidrat dan mineral yang mudah dicerna dapat menjadikannya sebagai sumber tenaga baik. Ibu juga boleh menjadikan buah ini sebagai snek sihat bagi anak-anak kekal cergas sepanjang hari.
Selain itu, ia dapat membantu meredakan masalah kekejangan otot yang disebabkan oleh aktiviti seharian. Justeru tidak hairanlah buah pisang menjadi makanan utama para olahraga.
#4. Kaya pelbagai vitamin serta antioksidan
Selain buah delima atau berries, buah pisang turut mengandungi banyak antioksidan yang penting bagi kesihatan tubuh. Ia dapat membantu mengurangkan kerosakan radikal bebas dan risiko pelbagai penyakit.
Buah pisang turut mengandungi pelbagai vitamin seperti Vitamin C, B6, mangan, magnesium, karbohidrat dan protein. Kesannya, anak-anak dapat melalui proses perkembangan yang sihat serta sukar dijangkiti sebarang penyakit.
#5. Menguatkan daya ingatan
Pisang mengandungi triptofan dan asid amino yang berfungsi sebagai penguat daya ingatan. Sekiranya anda mendapati anak sukar menumpukan perhatian terhadap sesuatu pembelajaran dan cepat lupa, berikanlah mereka sekurang-kurangnya sebiji pisang sehari.
Bukan itu sahaja, triptofan dapat merangsang penghasilan hormon serotonin iaitu membaiki mood dan membuatkan fikiran si manja lebih tenang.
Sumber: Daily Makan, Indtimes
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Resepi Serawa Durian Pekat & Berkrim, Sesuai Untuk Minum Petang Bersama Keluarga