Apabila kita memesan masakan panas seperti char kuey teow di mana-mana gerai, kebanyakan daripada kita pasti akan meminta tukang masak untuk tidak menambah taugeh ke dalam masakan. Tapi pelik tak bila resepi taugeh dimasak sebagai lauk mesti nampak menyelerakan!
Malangnya, ramai di kalangan kita yang tidak gemar memakan taugeh, baik dewasa mahupun kanak-kanak, tanpa mengetahui khasiat sebenar yang dibawa oleh sayuran ini. Jadi, mari kita selidik apakah kelebihan yang terdapat dalam sayur taugeh ini sambil-sambil belajar resepi taugeh yang sedap untuk membuka selera seisi keluarga.
Mengapakah Taugeh Bagus Untuk Kita?
Sayur taugeh ini bukan sahaja murah dan mudah untuk disemai sendiri, tetapi ia juga membawa banyak khasiat-khasiat lain pada kesihatan kita. Antara kelebihan sayur taugeh menurut adalah:
- Kaya dengan protein. Hal ini kerana, taugeh sebenarnya mempunyai dua kali ganda lebih banyak protein berbanding daging ayam atau lembu. Protein yang kaya ini juga dapat membantu para lelaki untuk meningkatkan kesuburan.
- Kaya enzim. Taugeh mempunyai 100 kali ganda enzim berbanding sayur – sayuran lain dan enzim ini dapat membantu memperbaiki proses pencernaan.
- Kaya dengan vitamin. Antara vitamin yang terdapat dalam taugeh adalah vitamin A, C dan E. Vitamin – vitamin ini sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan anda serta anak – anak anda.
- Kaya serat. Sayur ini dapat membantu penghadaman kerana ia mengandungi kandungan serat yang tinggi sekaligus dapat mengawal berat badan.
- Mengawal kesihatan diri. Tauge adalah salah satu sayuran yang kaya dengan antioksidan dan asid amino. Kepentingan dua khasiat ini adalah untuk melawan kanser dan memperbaiki fungsi otak.
Setelah mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam sayur taugeh, sudah tentu anda mahu mencuba dan mengamalkan untuk seisi keluarga anda. Walau bagaimana pun, anda mungkin terfikir apakah resepi yang boleh dicuba menggunakan tauge untuk mendapatkan hasil yang lebih memuaskan?
Seperti biasa, anda tidak perlu risau kerana kami pasti akan berkongsi resepi-resepi kegemaran kami yang mengandungi taugeh!
3 Resepi Taugeh Mesti Cuba!
Bagi mempelbagaikan pilihan resepi anda, kami akan memberi satu resepi dari satu budaya iaitu: Melayu, Cina dan India. Bukan sahaja anda dapat mencuba memasak makanan budaya lain, tetapi anda juga dapat menikmati khasiat sayuran taugeh sepenuhnya.
#1. Taugeh Masak Lemak (Melayu)
- Bahan-bahan:
-
- 300 gram taugeh kasar
- 7 ekor udang bersaiz sederhana
- 150 ml santan kotak
- 2 keping tauhu
- 3 biji bawang kecil
- 7 biji cili api
- 1 biji cili merah
- Garam secukup rasa
- Minyak masak untuk menumis
- Cara penyediaan:
- Bersihkan tauge dan tumbuk/kisar bawang dan cili api sementara menghiris cili merah dan memotong tauhu
- Tumis bahan kisar dan masukkan santan yang telah ditambah air. Apabila santan mula menggelegak, anda boleh memasukkan tauge
- Masukkan udang, tauhu dan garam. Tutup api dan masukkan cili merah
- Setelah udang dan tauhu masak, lauk anda sudah sedia untuk dihidang!
#2. Taugeh dan Bawang Putih Goreng (Cina)
- Bahan-bahan:
-
- 2 sudu besar minyak masak
- Seulas bawang putih
- 1 ½ sudu besar gula
- 2 sudu besar kicap
- 3 sudu besar air
- ¼ sudu kecil serbuk lada putih
- 400 gram tauge
- Cara penyediaan:
- Tumiskan bawang putih yang telah dimayang bersama 2 sudu besar minyak masak
- Alihkan bawang putih sebelum memasukkan kicap, gula, air bersama serbuk lada putih ke dalam periuk. Gaulkan pada api rendah sehingga gula larut
- Menggunakan periuk yang sama, rebuskan 400 ml air untuk melembutkan tauge selama sekurang-kurangya seminit (60 saat)
- Toskan tauge dan alihkan ke atas pinggan, kemudian tuang kuah kicap yang telah dimasak pada awal resepi dan taburkan bawang goreng ke atasnya
- Sedia untuk dihidang!
#3. Taugeh Goreng Sos Tiram (India)
- Bahan-bahan:
-
- 200 gram tauge
- 3 keping tauhu yang telah dipotong empat dan digoreng garing
- 1 sudu besar udang kering yang telah direndam dan ditoskan
- ⅓ cawan air
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 biji bawang besar yang telah dihiris
- 1 tangkai cili (merah atau hijau)
- 2 ulas bawang putih, ditumbuk kasar
- 2-3 sudu besar minyak masak
- Sedikit gula dan garam (jika perlu)
- Cara penyediaan:
- Panaskan minyak dan tumis bebawang dan cili bersama udang kering sehingga wangi
- Kemudian, masukkan air, gula dan garam
- Biarkan mendidih dan masukkan tauhu dan kacau rata sebelum membiarkan air kering
- Setelah air mula kering, masukkan tauge dan goreng sehingga sedikit layu
- Sedia untuk dihidang!
Kami pasti dengan resepi-resepi yang mudah tetapi enak ini, anda boleh menggalak kan diri sendiri serta seisi keluarga untuk mula memakan tauge demi khasiat yang dibawa oleh sayuran tersebut. Selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Thyaga Cook, Nyonya Cooking, Masakan Makanan Melayu