Resipi cucur ikan bilis ni sebenarnya mudah sahaja. Hari ini, kami kongsikan resipi cucur ikan bilis yang dicampur dengan nasi. Hah, untuk ibu-ibu di luar sana, jangan buang nasi yang lebih tu, tapi jadikan nasi itu hidangan cucur ikan bilis untuk minum petang bersama keluarga anda.
Isi Kandungan
Bahan-Bahan Resipi Cucur Ikan Bilis
- Tepung gandum (anggaran 2 cawan)
- Nasi yang dikisar (anggaran 1 cawan)
- Segenggam ikan bilis (tumbuk kasar)
- 1/2 biji bawang Holland atau bawang besar
- Daun bawang, taugeh, kucai, cili merah
- 1 biji telur
- Garam
- Serbuk kunyit
- 1 sudu teh serbuk penaik (optional, tak letak pun tak apa)
- Air serjuk
Cara Penyediaan Cucur Ikan Bilis
1. Campur bawang, taugeh, kucai, daun bawang, nasi, telur dan ikan bilis dalam mangkuk dan kacau sehingga rata.
2. Tambah tepung dan gaul sekali lagi. Jika adunan terlalu pekat, tambahkan air sedikit demi sedikit.
3. Kemudian, masukkan garam dan serbuk kunyit secukupnya. Setelah itu, masukkan serbuk penaik ke dalam adunan anda dan kacau sehingga rata.
4. Pastikan adunan tidak terlalu cair bagi menghalang cucur anda berbentuk leper.
5. Panaskan minyak di dalam kuali. Semasa menggoreng, pastikan anda menggunakan api yang sederhana dan bukan api yang besar.
6. Ceduk adunan dan masukkan ke dalam kuali yang panas itu. Kalau boleh ceduk dengan menggunakan jari supaya anda lebih mudah untuk mendapatkan bentuk bulat.
7. Goreng sehingga kuning keemasan dan kelihatan garing. Setelah anda berpuas hati, angkat daripada kuali dan hidangkan bersama sos pilihan anda.
Nota Tambahan
Sebenarnya tiada sukatan yang tepat untuk resipi cucur ikan bilis yang ini. Kalau terlebih atau terkurang, tambah saja air atau tepung tapi pastikan adunan pekat.
Boleh juga letak marjerin dalam dua sudu besar dalam adunan untuk buatkan cucur lebih rangup dan lembut di dalam. Hah, kalau tak letak serbuk penaik pun tak apa, yang penting adunan anda pekat.
Tips Buat Cucur
Berikut adalah beberapa tips berguna untuk memastikan cucur anda menjadi sedap dan rangup:
1. Pemilihan Bahan
- Gunakan bahan-bahan yang segar, terutama udang. Udang yang segar memberikan rasa yang lebih manis dan tekstur yang lebih baik pada cucur.
- Gunakan tepung gandum yang berkualiti tinggi untuk memastikan adunan cucur menjadi sempurna.
2. Adunan Tepung
- Pastikan adunan tidak terlalu cair atau terlalu pekat. Adunan yang betul adalah yang boleh diambil dengan senduk dan mengekalkan bentuknya semasa digoreng.
- Campurkan air sedikit demi sedikit ke dalam tepung sambil dikacau untuk mengelakkan adunan menjadi terlalu cair.
3. Menggoreng dengan Betul
- Pastikan minyak cukup panas sebelum mula menggoreng. Anda boleh menguji dengan menjatuhkan sedikit adunan ke dalam minyak; jika ia segera naik ke permukaan dengan gelembung-gelembung kecil, minyak sudah cukup panas.
- Jangan terlalu penuhkan kuali dengan adunan. Goreng dalam jumlah yang sedikit untuk memastikan setiap cucur masak dengan sekata dan rangup.
- Gunakan api sederhana untuk memastikan cucur masak sempurna hingga ke dalam tanpa cepat hangus di luar.
4. Penyerapan Minyak Berlebihan
- Setelah menggoreng, letakkan cucur di atas tisu dapur untuk menyerap minyak berlebihan. Ini membantu mengurangkan rasa berminyak pada cucur.
5. Menambahkan Rasa
- Tambah hirisan daun bawang atau daun kucai dalam adunan untuk memberikan aroma dan rasa tambahan. Sedikit lada sulah atau serbuk cili boleh ditambahkan jika anda suka cucur yang mempunyai rasa sedikit pedas.
6. Variasi Bahan
- Selain ikan bilis, anda boleh mencuba bahan lain seperti jagung manis, udang, atau sayur-sayuran untuk rasa yang berbeza. Pastikan bahan-bahan tambahan dipotong kecil supaya mudah dicampurkan dan masak dengan sekata.
7. Teknik Membentuk Cucur
- Gunakan senduk bulat untuk mengambil adunan dan masukkan ke dalam minyak panas dengan berhati-hati. Anda boleh menggunakan sudu lain untuk menolak adunan dari senduk supaya ia jatuh dengan kemas ke dalam minyak. Bentuk cucur mengikut kesukaan, sama ada bulat atau sedikit leper.
- Tapi boleh juga gunakan jari sahaja kalau anda rasa leceh untuk pakai senduk.
8. Menyediakan Sos Pencicah
- Sos pencicah yang sedap boleh menambah keenakan cucur. Campurkan sos cili dengan sedikit cuka, gula, dan air untuk rasa yang seimbang. Anda juga boleh menyediakan sos kacang atau kuah rojak sebagai variasi pencicah.
Kepada ibu-ibu yang nak sediakan hidangan minum petang bersama keluarga, boleh cuba ikut resipi cucur ikan bilis ini. Bukan sahaja mudah, tapi memang dijamin sedap!
Tambah lagi kalau anda hidangkan dengan sos cili dan kopi panas, memang habis licin dimakan oleh keluarga anda. Jadi tunggu apa lagi? Cubalah resipi cucur ikan bilis ni!
Jaja Noriza (Facebook Masak Apa Hari Ini)
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Resepi Bergedil Daging Yang Mudah & Ringkas Cara Che Nom, Tesktur Lembut & Kaya Dengan Rasa!
Baca juga: Resepi Kek Kurma Kukus Guna Sukatan Cawan, Kisar Guna Blender Memang Mudah
Baca juga: Suka Makan Kacang Kuda? Sedap Dan Mudah Disediakn, Ini 11 Khasiatnya Yang Ramai Tak Tahu