Pasti ramai ibu mengandung yang tertanya-tanya apakah maksud pelekat berwarna berbentuk segi empat tepat dengan logo bulan sabit bertulis ‘Kementerian Kesihatan Program Kesihatan Keluarga’ yang dilekat di buku pink ibu kan?
Tertanya-tanya tetapi tidak pula teringat untuk bertanya kepada doktor. Jadi sehingga anak tiga atau empat pun, masih ada lagi ibu mengandung yang mungkin tidak tahu apa maksud pelekat ini.
Jadi jom kita baca penjelasan doktor ini mengenai warna-warna pelekat yang sering menjadi tanda tanya ibu mengandung.
Baca juga: 5 Jenis Buah & Makanan Bahaya Untuk Ibu Hamil, Hati-Hati Jangan Ambil Secara Berlebihan
Ibu mengandung nak tahu tahap mana risiko kehamilan anda? lihat pelekat di buku pink!
Menurut Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat, pengendalian kes-kes kehamilan adalah mengikut sistem tag warna.
Katanya, sistem ini mempunyai penggunaan empat tag warna yang mana penentuan tag warna ini adalah berdasarkan kepada penilaian faktor risiko ibu semasa lawatan ke klinik atau di rumah.
#1. Tag merah
Bagi ibu mengandung yang dilekat tag merah pada buku pinknya ia bermakna perlu rujukan segera ke hospital dan pengendalian selanjutnya adalah bersama (shared care) Pakar Onkologi dan Ginekologi dan Pakar Perubatan Keluarga, ia juga biasa dikategorikan sebagai kehamilan berisiko tinggi.
#2. Tag kuning
Ini bermakna perlu rujukan untuk pengendalian oleh Pakar Onkologi dan Ginekologi Hopsital atau Pakar Perubatan Keluarga dan penjagaan selanjutnya boleh dilakukan bersama (shared care) Pegawai Perubatan dan Jururawat Kesihatan.
#3. Tag hijau
Pengendalian di Klinik Kesihatan oleh Pegawai Perubatan dan Kesihatan dan pengendalian sselanjutnya boleh dilakukan bersama Jururawat Kesihatan atau Jururawat Masyarakat di bawah pengawasan Pegawai Perubatan
#4. Tag putih
Penjagaan oleh Jururawat Kesihatan atau Jururawat Masyarakat di Klinik Kesihatan dan Klinik Desa (sekiranya tiada terdapat faktor risiko yang disenaraikan dalam kod merah, kuning dan hijau, ibu akan diberi kod warna putih).
Di dalam situasi yang tertentu khususnya di kawasan pedalaman, di mana tidak terdapat Pegawai Perubatan, pengendalian boleh dilakukan oleh Jururawat Kesihatan atau Jururawat Masyarakat dengan pengawasan dari Pegawai Perubatan yang terdekat atau mudah dihubungi.
Tag atau kod warna boleh ditukar ikut penilaian
Pakar Onkologi dan Ginekologi dan Pakar Perubatan Keluarga boleh menukarkan kod warna mengikut penilaian tahap risiko semasa ibu hamil. Tag warna yang dilekatkan dapat mempamerkan kod warna yang telah diberikan sebelumnya.
Peka segala risiko jika mengandung
Dah tahu maksud pelekat pada buku anda, jadi bolehlah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Jika tag anda merah, mungkin perlu lebih berhati-hati.
Tetapi jangan terlalu takut pula, cuma pekalah dengan segala yang berlaku atau perubahan yang berlaku pada diri anda. Pendek kata jangan buat sambil lewa kepada apa yang berlaku pada diri anda.
Antara perkara yang sering menganggu emosi ibu mengandung adalah:
- Perubahan fizikal yang ketara yang disertai dengan pertambahan berat badan. Begitu juga dengan kaki semasa tempoh akhir kehamilan
- Tidur yang terganggu diakibatkan oleh ketidakselesaan
- Sakit-sakit badan yang mengurangkan tahap efisyen ibu mengandung dalam melakukan kerja harian
- Selera makan yang terganggu sepanjang tempoh mengandung. Paling ketara sewaktu mula mengandung.
- Masalah ini termasuklah masalah muntah-muntah, gastrik, sembelit dan sebagainya
- Masalah kerap buang air kecil di akhir kandungan kerana rahim menekan pundi kencing
- Ketidakselesaan apabila bersama pasangan
- Pergerakan yang terhad atau terbatas diakibatkan perubahan fizikal
Jangan terlalu risau jika berisiko tinggi
Menurut portal myhealth, masalah mental yang sering terjadi kepada ibu mengandung ialah masalah kemurungan dan keresahan atau anxiety. Dianggarkan di antara 10% hingga 15% ibu mengandung mengalami masalah ini di sepanjang tempoh kandungan mereka.
Ibu perlu menjaga waktu tidur dan rehat dengan baik. Ibu digalakkan untuk belajar tips bagaimana untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Tips ini boleh didapati melalui doktor anda dan juga dari internet.
Menjaga diet yang sihat dan baik. Elakkan makan makanan yang tidak berzat. Ibu mengandung juga perlu belajar mengenalpasti makanan yang bagaimana yang boleh menyebabkan mereka merasa tidak selesa, loya dan muntah-muntah.
Banyakkan sayur dan buah-buahan dalam diet bagi membantu sistem penghadaman anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Dr Muhammad Izzat, myhealth
Baca juga: Kenapa ibu mengandung selalu mengidam 10 makanan ini? Berikut kata pakar…