Mengandung merupakan proses perubahan fisiologi badan seseorang wanita? Apabila mengandung pelbagai isu berkaitan kesihatan timbul ia termasuklah kesihatan mulut. Sakit gigi geraham anda yang selalu dialami ibu hamil.
Apabila mengandung, wanita akan mengalami perubahan ketara daripada aspek fizikal dan rohaninya, termasuklah kesihatan secara menyeluruh dan dalam konteks ini, kesihatan mulut juga tidak terkecuali.
Apa anda nak buat jika alami masalah sakit gigi geraham ketika hamil? Adakah selamat untuk ibu hamil mendapatkan rawatan gigi ketika proses kehamilan? Adakah ia akan mendatangkan bahaya kepada ibu dan bayi?
Baca juga: Ada Benjolan Atau Bintik Putih Pada Gusi Bayi, Perlukah Saya Risau?
Sakit gigi geraham ketika hamil
Apabila mengandung, perubahan paras hormon estrogen dan progesteron meningkat. Peningkatan paras hormon-hormon ini mengakibatkan kesihatan gusi terjejas di mana pengumpulan plak (sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gusi dan gigi akibat daripada tidak memberus gigi dengan berkesan) menyebabkan keradangan gusi (gingivitis).
Jika tidak dirawat, penyakit ini akan menjadi peringkat yang lebih serius iaitu periodontitis.
Berisiko lahirkan bayi pramatang
Kajian menunjukkan wanita mengandung mungkin terdedah kepada risiko-risiko seperti melahirkan bayi pra-matang (bayi tidak cukup bulan) iaitu melahirkan anak sebelum minggu ke 37 kandungan dan berat bayi lebih rendah daripada normal/kebiasaan.
Ini mungkin terjadi daripada jangkitan bakteria yang memasuki ke dalam aliran darah melalui gusi dan bergerak ke dalam rahim.
Setibanya di rahim, bakteria ini akan menyebabkan pengeluaran sejenis bahan perantara kimia iaitu prostaglandin yang mempercepatkan pengecutan rahim dan kelahiran bayi pada masa yang lebih awal dari yang sepatutnya.
Cara atasi sakit gigi ketika hamil
Tidak kira lah sakit gigi geraham atau apa saja, kesakitan gigi yang dialami terutama ketika hamil amat menyeksakan. Risau keadaan bayi juga risau kesannya jika mendapatkan rawatan gigi.
#1. Bersihkan mulut sekerap mungkin
Muntah-muntah bukan sahaja memeritkan, malah memberi kesan buruk pada kesihatan gigi. Muntah mengandungi asid yang mampu menghakis permukaan enamel pada gigi jika dibiarkan dalam mulut.
Permukaan enamel yang terdedah menyebabkan gigi sensitif. Selepas muntah-muntah, pastikan bersihkan mulut lebih baik jika berus gigi dengan sempurna untuk keselesaan mulut dan kesihatan gigi.
#2. Elakkan makanan terlalu panas atau sejuk
Gigi akan terasa lebih sensitif sewaktu kehamilan kerana hormon yang berubah dalam badan. Elakkan makanan yang boleh menjadi punca kepada gigi sensitif seperti makanan dan minuman yang terlalu panas atau sejuk.
Sakit gigi ketika hamil adalah bersifat sementara. Jadi, jangan terlalu sedih dan risau. Selepas melahirkan anak nanti bolehlah sambung menikmati aiskrim dan teh panas kegemaran anda!
#3. Kurangkan gula atau makanan manis
Jangan gunakan alasan ‘makan untuk dua orang’ untuk anda makan banyak terutamanya makanan manis dan tidak berkhasiat. Elakkan makanan bergula untuk kesihatan badan dan gigi.
Tukarkan gula buatan dalam makanan dan minuman kepada gula semulajadi pada buah-buahan. Pengambilan gula bukan sahaja tidak baik untuk badan, malah memberi kesan pada gigi dengan pembentukan asid pada permukaan gigi dan seterusnya membuatkan gigi berlubang.
#4. Ambil kalsium mencukupi
Pengambilan kalsium yang mencukupi amat penting untuk kesihatan ibu mengandung dan anak. Kekurangan kalsium membuatkan gigi mudah berlubang terutamanya sewaktu kehamilan.
Oleh itu, tingkatkan kalsium pada diet harian. Pil suplemen kehamilan hanya merangkumi 10% kalsium harian. Tambahkan kalsium pada makanan seperti yogurt, susu soya dan tauhu untuk kesihatan optimum bayi dan anak.
#5. Guna bawang putih
Bawang putih adalah petua tadisional yang sering digunakan untuk mengubati sakit gigi. Hal ini kerana bawang putih mengandungi allicin yang bersifat anti radang mampu bertindak mengurangkan kesakitan pada gigi.
Caranya ialah dengan menghancurkan dua ulas bawang putih dan garam sehingga lumat. Kemudian, lumurkan pada bahagian yang sakit selama 30 minit. Ulangi dalam 4 kali sehari jika perlu.
#6. Penjagaan gusi secara rutin
Selain sakit gigi ketika hamil, ibu juga amat cenderung untuk terkena penyakit gusi. Hal ini adalah disebabkan oleh perubahan hormon yang membuatkan badan kurang bertindak melawan bakteria pada gusi.
Jika tidak dirawat, kesihatan gusi akan menjadi lebih teruk dan akan menyebabkan gingivitis. Lebih 50% ibu mengandung tidak terkecuali terkena penyakit ini.
Kesihatan gusi perlu diambil berat ketika mengandung dengan flos gigi sehari sekali dan gunakan berus lembut ketika memberus gigi untuk mengurangkan kesakitan gusi. Amalkan juga kumur dengan air garam suam sehari sekali untuk elakkan gusi bengkak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jangan Ambil Mudah Sakit Gigi Ketika Hamil, Anda Berisiko Dapat Bayi Pramatang!