Ibu Bapa HENTI Sedut Hingus Anak Pakai Mulut, Ia Boleh Mengundang Bahaya

Menyedut hingus bayi bukan buat anak cepat pulih, tapi boleh buat sakitnya itu menjadi lebih parah!

Sedut hingus bayi selalu menjadi kebiasaan ibu bapa bagi merawat hidung anak tersumbat. Namun, adakah ia satu kaedah yang betul dan selamat? 

Jika anda selalu berbuat demikian, sebaiknya anda diminta mengubah kebiasaan itu kerana Dr. Arifianto menjelaskan, sedut hingus bayi ketika tersumbat boleh membahayakan kesihatan anak dan ibu bapanya!

Mari kita ikuti penjelasan lengkap mengapa sedut hidung bayi dikatakan berbahaya. 

Berhenti sedut hidung bayi tersumbat!

Kredit : Pama

Menurut Dr. Arifianto, belum ada kanak-kanak yang meninggal akibat hidung tersumbat tapi jika anak tersebut ada masalah paru-paru, ia boleh mengakibatkan kesempitan pernafasan sekaligus menjadi punca kematian. 

Sebagai ibu bapa, kita memang tidak dapat lari dengan perasaan panik dan risau jika melihat anak sukar bernafas kerana hidungnya tersumbat, tetapi sedut hingus bayi bukanlah penyelesaian yang tepat

Beliau menjelaskan, apabila hidung anak tersumbat, itu bermaksud hidung anak sedang dipenuhi banyak kuman. Jadi, sekiranya anda sedut hingus anak, maka kuman yang ada dalam mulut anda akan berjangkit pada mereka.

Selain itu, anda juga berisiko untuk mendapat kuman yang ditularkan oleh hingus anak. 

Secara tak langsung, anda yang sihat akan terikut sakit gara-gara menggunakan kaedah yang salah itu. Begitulah juga dengan anak tersebut yang bertambah sakit kerana jangkitan mulut dari orang tuanya.

Menurut doktor tersebut lagi, ketika hidung anak tersumbat, mereka akan bernafas melalui mulut jadi tidak ada apa yang perlu dirisaukan. 

Selain berbahaya, sedut hingus bayi juga berisiko untuk membuat anak memberontak dan rasa tidak aman sekaligus membuatkan dinding hidung anak luka dek kerana hasil sedutan itu. 

Selain sedut hingus bayi, beberapa cara ini juga boleh menjadikan keadaan hidung anak lebih parah! 

Terdapat beberapa kesalahan lain yang selalu ibu bapa buat untuk merawat hidung anak yang tersumbat iaitu: 

  • Memberi ubat titis hidung: Ini salah satu cara untuk mengatasi hidung tersumbat pada anak, tapi diingatkan cara ini tidak semestinya membuatkan anak cepat pulih, malah buatkan mereka tidak selesa dan menangis. 
  • Terapi melalui wap air panas: Cara yang cukup popular untuk mengatasi hidung anak tersumbat. Namun ia perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya anak tidak terendam dalam air panas itu
  • Menggunakan minyak telon: Kaedah ini selamat digunapakai, asalkan mereka tidak alergi dengan bahan yang terkandung di dalamnya.
  • Rawat guna inhaler: Cara ini hanya digunakan untuk serangan asma jadi ia tidak boleh digunakan untuk mengatasi masalah hidung tersumbat pada anak. 

Cara merawat hidung bayi tersumbat lain yang lebih selamat 

Kredit: Pama

Doktor turut menegaskan ibu bapa harus peka terhadap waktu yang sesuai untuk bawa bayi berjumpa doktor seperti sesak nafas, frekuensi nafas lebih dari 60 kali per minit dan disertai tarikan nafas yang terlalu dalam.

Maksudnya bayi sudah di tahap bahaya kerana mungkin berlakunya keradangan paru-paru atau pneumonia

Selain itu, dukung bayi dalam posisi menegak supaya hingus dapat turun ke bawah dan kerap berikan bayi susu badan atau air putih supaya terhindar dari risiko dehidrasi. 

Tips merawat hidung anak tersumbat: 

  • Jika bayi masih bawah enam bulan, berikan susu badan bagi meningkatkan daya tahan tubuh dan memecahkan kahak. 
  • Biar anak tidur dan berehat secukupnya.
  • Hindari penggunaan penghawa dingin atau kipas angin. 
  • Tepuk perlahan punggung bayi dan condongkan badannya ke depan.
  • Sapu minyak kayu putih atau telon pada dada dan punggung bayi. 
  • Pasangkan air purifier atau diffuser yang boleh titiskan essential oil, gunakan essential oil seperti peppermint. Ia dapat melegakan hidung bayi yang tersumbat malah bayi boleh tidur lebih lena. 

Cuba anda amalkan tips ini jika si kecil alami hidung tersumbat namun langkah yang sebaiknya berjumpa doktor untuk dirawat dengan lebih baik. Semoga bermanfaat. 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Penulis asal Fadhila Auliya Widia Putri dan mendapat keizinan dari theAsianparent Indonesia untuk diterjemah

Baca juga:

Bayi Kerap Mengalami Hidung Tersumbat, Ibu Cuba 5 Petua Ini Tanpa Perlu Ke Klinik