Pasangan suami isteri yang bahagia dikatakan mempunyai hubungan kelamin lebih seksi dan hangat! Malah hubungan seks suami isteri juga jika dijaga dengan baik, mampu membuatkan pasangan tampak lebih muda dan bertenaga.
Jika anda perasan, ada sesetengah kehidupan seks pasangan semakin merudum selepas mempunyai anak. Namun jangan terlampau risau – ini adalah perkara normal!
Lagipun, memastikan manusia kecil hidup memang memenatkan! Menurut What to Expect, kebanyakan ibu bapa mendapati, mencari masa dan tenaga untuk seks selepas mempunyai anak adalah sangat mencabar.
Jadi apa yang ibu bapa boleh lakukan untuk mendapat semula rentak itu? Menurut kajian, jawapannya bukan ada di dalam bilik tidur tetapi bergantung kepada bagaimana pasangan membahagikan tugas menjaga anak.
Penyelidik dari Georgia State University mendapati pasangan yang membahagikan tugasan menjaga anak lebih gembira dengan hubungan mereka dan mempunyai kehidupan seks yang lebih baik. Apabila wanita yang menjalankan semua tugas menjaga anak, ini betul-betul akan memberi kesan kepada hubungan dan kehidupan seks.
“Salah satu penemuan penting dalam perhubungan dan kehidupan seks sangat bermasalah ialah apabila urusan penjagaan anak diuruskan oleh perempuan sahaja,” kata ketua penyelidik, Daniel Carlson di dalam satu kenyataan.
Hubungan seks suami isteri lebih intim apabila suami juga menjalankan peranan di rumah
Hairannya, apabila lelaki menjalankan banyak tugas menjaga anak, ia tidak memberi kesan negatif dalam perhubungan.
Walaubagaimanapun, lelaki yang banyak membuat tugas menjaga anak dilaporkan mempunyai tahap kepuasan yang paling rendah dengan kehidupan seks mereka di antara lelaki yang turut membuat kaji selidik ini. Sebaliknya, pasangan wanita mereka mempunyai tahap kepuasan yang paling tinggi dalam kajian ini.
Tetapi ia mungkin bukan sekadar berkongsi tanggungjawab yang membuatkan pasangan puas dengan perhubungan mereka. Sir Cary Cooper, pakar dari organisasi psikologi dan kesihatan di Manchester Business School, memberitahu BBC bahawa pasangan yang berkongsi tanggungjawab cenderung mempunyai hubungan yang dinamik dari awal.
“Jika anda mempunyai lelaki ‘baru’ yang gembira untuk berkongsi tanggungjawab, dia kemungkinan memberikan lebih banyak di dalam perhubungan,” jelas beliau.
Hari-hari mengharapkan si ibu membuat hampir semua (jika bukan semua) tanggungjawab menjaga anak sudah berlalu, dan ini sangat bagus – cuba lihat bagaimana ia menyumbang kebaikan dalam perhubungan.
Tip membahagi tugas menjaga anak dengan pasangan agar hubungan seks suami isteri kekal hangat
Berikut adalah beberapa tip dari BabyCenter dan Growing a Family tentang bagaimana membahagi tugas menjaga anak dengan pasangan.
1. Pastikan ia apa yang anda mahu
Walaupun membahagi tugas menjaga anak berbunyi seperti situasi sama rata, pembahagian ini pasti memerlukan balasan.
Contohnya, anda dan pasangan anda akan berbincang lebih banyak tentang bagaimana membesarkan anak supaya anda berdua berada dalam pendapat yang sama.
Tetapi, jika anda lebih berkomunikasi dan fokus dalam menjadi satu pasukan, ini akan memberi kebaikan yang besar dalam hubungan anda.
2. Perhatikan perbezaan setiap tugasan
Untuk seminggu, senaraikan pelbagai tugasan yang anda buat di rumah dan minta pasangan anda buat perkara yang sama. Kemudian, bandingkan senarai dan lihat jika anda dan dia perlu menukar tugasan.
Ia tidak perlu sama rata (contohnya jika pasangan anda bekerja dan anda di rumah, lazimlah jika anda membuat kerja lebih banyak di rumah). tetapi ini akan membuka mata untuk anda dan pasangan lebih mudah bekerjasama.
3. Bahagikan tugasan walaupun bayi anda belum dilahirkan
Walaupun bayi anda belum dilahirkan, anda dan pasangan bolehlah mula bercakap tentang bagaimana tugasan menjaga anak itu nanti. Buat dengan menyenaraikan tugasan yang berbeza.
Kebanyakan pasangan, contohnya, si bapa bertugas menukar dan memakaikan lampin kerana si ibu lebih banyak menghabiskan masa menyusukan anak.
Cari apa yang terbaik untuk anda dan pasangan anda.
4. Kerja bukan alasan
Walaupun pasangan anda mempunyai kerja sepenuh masa dan anda duduk di rumah, ini bukan bermakna dia dikecualikan dari membuat kerja di rumah.
Jika pasangan anda bekerja di pejabat tidak bermakna anda tidak bekerja keras di rumah – anda telah menjaga anak sepanjang hari serta memastikan rumah dalam keadaan yang terbaik, dan ini bukanlah perkara main-main.
Di penghujung hari, anda berdua penat. Anda boleh bergilir tugasan supaya anda berdua mempunyai peluang berehat.
5. Komunikasi yang jelas
Anda dan pasangan sepatutnya boleh bebas memberitahu satu sama lain apa yang anda mahu dan perlu, serta mampu mendengar satu sama lain juga.
Jika anda perlukan pasangan anda menjaga anak anda supaya anda boleh mandi, katalah dengan terang dan bukannya luahkan rasa tidak puas hati.
Menjadi terbuka dan jujur tentang keperluan anda boleh membantu anda tahu yang anda tidak keseorangan.
6. Jangan tekan diri anda untuk menjadi sempurna
Ia adalah tidak realistik untuk anda berharap rumah anda untuk sempurna berkilat sedangkan anda sibuk dengan menjaga anak anda. Belajar untuk menerima.
Anda boleh mengemas secara menyeluruh sekali seminggu (atau lebih baik mengupah orang melakukanya), tetapi jangan tertekan dengan selerak yang sikit.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Suami Malas Kerja, Curi Duit Anak Sampai Isteri Tertekan Kena Tanggung ‘Biawak Hidup’!