Bagi pendapat anda, bila agaknya ibu bapa patut mengajar anak tentang keselamatan diri? Terutama yang berkaitan dengan sentuhan selamat dan tidak selamat.
Apatah lagi, topik ini berkaitan dengan pedofilia yang semakin meluas dan memberi kesan terhadap kanak-kanak tak kira ketika mereka berada di sekolah, tempat awam mahupun di alam maya (internet).
Sebab itu adalah sangat penting kanak-kanak diberitahu tentang sentuhan selamat dan tidak selamat sebagai pengetahuan asas yang sangat berguna pada masa kini.
1. Sentuhan selamat dan tidak selamat: Ajar anak bahagian tubuh mereka
Secara lazimnya, kanak-kanak agak susah nak beritahu kepada kedua ibu bapanya jika mereka mengalami penderaan seksual kerana tidak tahu perkataan yang patut digunakan.
Untuk itu anda boleh memulakan mengajar anak kecil bahagian tubuh mereka yang berbeza dan menggunakan perkataan yang mudah nak sebut seperti kemaluan dan punggung.
Contohnya “Mama, tadi kawan kat sekolah pegang punggung,”.
Tapi, perkara berkaitan sentuhan selamat dan tidak selamat ini akan jadi lebih mudah jika anda terangkan pada anak yang lebih tua kerana mereka lebih mudah faham.
Contohnya beritahu mereka jangan bagi orang lelaki atau perempuan sentuh bahagian alat sulit. Secara tak langsung, mereka akan rasa tidak malu untuk melaporkan sebarang sentuhan pada bahagian tersebut sekiranya ia berlaku.
2. Beritahu anak bahawa dia adalah ‘bos’ pada tubuhnya
Selain itu, beritahu anak bahawa dia berhak menentukan siapa yang boleh menyentuhnya dan bagaimana.
Di samping itu, wujudkan suasana rumah yang menghormati hak peribadi masing-masing termasuk bahagian tubuh badan anak anda.
Contohnya seperti:
“Adik, tolong henti tarik rambut kakak,”. “Kakak, jangan geletek ketiak adik,”
Sebagai ibu bapa, anda harus terangkan pada anak-anak untuk hentikan perbuatan tersebut sekiranya sudah diminta berbuat demikian.
Seterusnya adalah berhenti memaksa anak memberi atau menerima sebarang pelukan dan ciuman daripada saudara mara jika mereka tidak mahu atau mengelak.
Ini dapat mengajar anak-anak tidak mengapa jika mereka tidak mahu disentuh oleh orang lain walaupun oleh keluarga sendiri.
Hal ini kerana, ada sesetengah saudara mara suka memeluk atau mencium kanak-kanak setiap kali berjumpa. Namun, jangan sampai saudara tersebut tersinggung dengan perlakukan itu.
Tiga jenis sentuhan yang perlu diterangkan pada anak
1 – Sentuhan selamat
- Contoh sentuhan selamat seperti memeluk, menepuk di belakang dan merangkul bahu.
- Sentuhan selamat juga mungkin berkaitan dengan kesihatan seperti mengeluarkan serpihan kaca pada kulit dan sebagainya.
2 – Sentuhan tidak selamat
- Sentuhan yang menyakiti tubuh kanak-kanak seperti memukul, menolak, mencubit dan menendang.
- Beritahu anak sentuhan ini adalah tidak baik dan membawa maksud negatif dengan tujuan untuk mencederakan kanak-kanak tersebut.
3 – Sentuhan yang tidak diingini
- Sentuhan ini mungkin selamat tapi kanak-kanak itu tidak mahu atau enggan pada masa tersebut.
- Tidak mengapa jika kanak-kanak itu mengatakan TIDAK pada sentuhan ini. Ia dapat menetapkan sempadan peribadi pada mereka.
Sentuhan tak selamat yang membabitkan alat sulit
Sekiranya kanak-kanak boleh menamakan bahagian tubuh mereka dan faham mengenai jenis sentuhan, anda boleh ajar mereka tentang sentuhan yang tidak selamat dan tak baik iaitu jika alat sulit disentuh seseorang.
Cara untuk jelaskan perkara ini bergantung pada umur mereka.
Contohnya “Adik mesti ingat tau, jangan bagi sesiapa terutama orang-orang besar sentuh alat sulit adik. Kalau ada yang buat macam itu, beritahu mama!”.
Tapi anda juga perlu terangkan padanya jika ia membabitkan soal kesihatan seperti orang dewasa menukar lampin atau tolong membawa ke tandas. Itu tidak mengapa.
Keduanya, jika doktor check kawasan alat sulit di bawah pengawasan penjaga, ini juga dibolehkan.
Jadi, apabila meningkat remaja, mereka dapat menguruskan sendiri pertemuan dengan doktor secara bersendirian.
Info berkaitan sentuhan selamat dan tidak selamat ini boleh diajarkan pada anak seawal usia tiga tahun. Kalau nak mula lagi awal, adalah lebih baik dan terpulang pada anda sendiri.
Nyatakan juga mulut dan dada juga termasuk bahagian tubuh yang dilarang sentuh orang lain tanpa tujuan tertentu.
Bagi anda, mungkin perkara ini sangat mudah untuk difahami namun ia tidak akan sama pada anak anda. Jadi penyampaian yang berkesan harus dititik beratkan supaya maklumat ini sampai pada anak.
Justeru, lindungi keselamatan anak-anak dengan didikan yang berguna ini sebelum nasi menjadi bubur dan anda menyesal di kemudian hari.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh theAsianparent Malaysia atas keizinan
Kredit gambar: Rodziah Latif
Hello Doktor: Laman web rasmi | Facebook
Baca juga:
Nak cegah penderaan seksual pada kanak-kanak bermula dari rumah – parents buat tak langkah ini?