Selalu bukan kita dengar orang-orang tua menyuruh anak perempuan bermain masak-masak, bermain menjaga anak patung…supaya bila sudah besar nanti, boleh menjadi isteri dan ibu yang baik.
Secara tersirat mereka ‘menyediakan’ anak-anak perempuan untuk menjadi ibu. Tetapi bagaimana pula dengan anak lelaki?
Jika yang perempuan kita sering dengar mereka harus menjadi seperti itu atau ini, mengapa yang lelaki sering kali ‘dibiarkan’?
Bukankah sudah sampai masanya untuk kita mengubah tanggapan yang hanya perempuan sahaja perlu bersedia tetapi lelaki boleh memilih untuk bersedia apabila mereka sudah ‘matang’?
Mari kita ubah dan siapkan anak lelaki kita supaya lebih bersedia menjadi bapa.
Konteks lebih bersedia menjadi bapa di sini bukanlah membuat persiapan untuk berkahwin awal.
Tetapi sebenarnya, lebih kepada memupuk sifat-sifat yang bagus dan perlu ada pada seorang bapa.
Contohnya, sifat empati pada orang lain, membantu serta menghormati kaum perempuan.
Kita boleh hentikan kitaran lelaki hanya perlu pergi kerja dan setelah pulang dari kerja, hanya duduk di hadapan televisyen sambil menunggu makan malam disiapkan.
Bukankah lebih baik jika suami isteri bekerjasama menyiapkan makan malam setelah sama-sama penat bekerja?
Namun jika mereka tidak disediakan dari kecil, mereka akan menganggap itu bukanlah perkara yang mereka patut lakukan.
Mengapa bukan anak lelaki yang disuruh untuk bermain masak-masak supaya boleh membantu memasak untuk isteri di kala dalam pantang nanti?
Mengapa anak lelaki tidak di ajar untuk membantu menjaga adik kecil supaya mereka tahu akan tanggungjawab sebagai abang yang lebih besar?
Atau mengapa lelaki tidak boleh bermain mainan perempuan dan sebaliknya?
Sejak dahulu lagi, lelaki hanya ditunjukan sebagai pencari rezeki dan perempuan pula ialah penjaga rumah.
Seolah-olah kita telah diprogramkan sedari kecil tentang ‘tugas’ lelaki dan ‘tugas’ perempuan.
Malah, jika dilihat kebanyakan iklan-iklan berkenaan anak kecil, mereka hanya mengaitkan ‘ibu’ sahaja di dalam tugas menjaga keperluan anak.
Seolah-olah itu semua adalah bahagian tugasan seorang ibu sahaja.
Sedangkan sebenarnya bukan sahaja anak perempuan yang perlu bersedia menjadi ibu, anak lelaki juga harus bersedia menjadi bapa.
Untuk menjadi bapa, bukanlah semata-mata hanya pergi keluar mencari rezeki dan segala urusan lain dilepaskan kepada si ibu.
Mereka harus tahu tentang ini, sedari kecil, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Jadi, mari kita menjadi ibu bapa penggerak generasi akan datang. Jom persiapkan anak lelaki kita untuk lebih bersedia menjadi seorang bapa.
Baca juga Tips Membesarkan Anak Lelaki dan Mari Didik Anak Lelaki dan Perempuan Kita Tanpa Sebarang Stereotaip