Jika anda ada lebih dari seorang anak, pasti anda perasan sifat anak pertama lebih mendengar kata dari adik yang lain. Malah dalam akademik juga, kebiasaannya anak pertama lebih menyerlah berbanding si adik.
Beberapa kajian mengesahkan anak pertama ada kelebihan yang tidak dimiliki adik-beradik yang lain. Ini kerana anak pertama ditatang bagai minyak yang penuh tanpa perlu berkongsi kasih.
Proses tumbesaran anak pertama juga lebih berbeza dari anak lain yang menyumbang kepada keperibadian anak yang lebih mendengar kata, lebih bijak dan bertanggungjawab.
Hal menarik ini menjadikan anak sulung selalunya menjadi ikutan dan teladan!
5 Sifat Anak Pertama Yang Tiada Pada Adik Beradik Lain
1. Anak sulung lebih bijak
Kajian menunjukkan anak pertama memiliki IQ yang lebih tinggi dari adik beradik yang lain.
Hasil kajian mendapati anak sulung memiliki IG 2-3 point lebih tinggi dari adik-adiknya. Pakar juga percaya perbezaan ini disebabkan oleh faktor sekeliling dan bukannya genetik.
“Setiap kali anda menambah anak, anda juga berisiko menurunkan kadar intelek di dalam keluarga.” ujar penyelidik merujuk kepada kajian yang dilakukan.
2. Anak sulung lebih bertanggungjawab
Jeffrey Kluger, penulis buku The Sibling Effect: What the Bonds Among Brothers and Sisters Reveal About Us mengatakan, anak pertama cenderung menjadi orang yang paling fokus dan setia pada keluarga.
Mereka juga ada kecenderungan untuk lebih menerapkan nilai murni dalam kehidupan. Oleh sebab itu, anak sulung lebih mendengar kata dan kelihatan lebih bertanggungjawab berbanding adik-beradik lain.
3. Anak sulung lebih berjaya
Ben Dattner, pakar psikologi di New York mengatakan sifat anak pertama selalu inginkan ibu bapa berbangga dengannya, dan ini menjadikan mereka cenderung berusaha menjadi lebih berjaya dari adik-beradik lain.
Kajian juga membuktikan anak pertama lebih dominasi di kalangan ahli keluarga. Mereka lebih gemar menjadi yang terbaik dalam setiap perkara dan akan berusaha menjadi pemimpin di masa depan.
4. Sifat anak pertama yang sentiasa menurut arahan
Anak tengah lebih degil, begitu juga dengan anak tunggal. Anak sulung, mereka lebih menurut arahan dan mendengar kata. Kajian ini ada disebut dalam jurnal Personality dan Individual Differences oleh Vassilis Saroglou dan Laure Fiasse.
Sifat anak pertama lebih bertanggungjawab, lebih berdaya saing dan konvensional. Manakala anak bongsu pula degil, suka bermain dan gemar bekerjasama.
5. Anak sulung lebih fokus
Dalam satu lagi kajian pada tahun 2015, sifat anak pertama juga dilihat lebih fokus, bertoleransi dan lebih tenang. Ini dapat dikaitkan dengan prestasi akademik yang bagus kerana ciri-ciri tersebut sangat membantu bagi meraih kejayaan.
Walaupun ibu bapa memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak, tidak dapat dinafikan anak sulung mendapat perhatian lebih terutamanya pada awal kelahiran mereka.
Mari kita mendorong anak kita untuk menjadi teladan yang baik untuk adik beradik yang lain. Kejayaan mereka bukan sahaja menjadi kebanggaan ibu bapa, malah turut menjadi ikutan adik-adik juga!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel ini asalnya ditulis oleh Fitriyani dan mendapat keizinan theAsianparent Indonesia untuk diterjemah.
Baca juga:
Cabaran Dan Pengorbanan Seorang Anak Sulung, Dari Mata Seorang Ibu