Sebagai seorang dewasa, perkara-perkara yang kita rasakan mudah untuk selesaikan mungkin sangat sukar bagi si manja kita yang masih tidak biasa dengan selok-belok kehidupan, hatta meminum air sendiri pun. Disebabkan itulah anda sebagai ibu bapa perlu mendidik anak untuk berdikari, bermula dengan sebuah straw cup atau cawan penghirup.
Ada sesetengah ibu bapa yang tidak gemar menggunakan cawan ini atau juga lebih dikenali sebagai sippy cup untuk mengajar anak minum air dengan sendiri dan ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang relevan. Tetapi, anda perlu tahu apakah kebaikan memulakan anak minum menggunakan straw bermula dari cawan penghirup!
Mengapa Anda Digalakkan Kenalkan Anak Pada Straw Cup!
Penggunaan straw cup ini akan lebih memudahkan ibu dan ayah dalam mendidik anak meminum air menggunakan straw, oleh sebab saiznya yang kompak dan mudah dibawa.
Cawan penghirup ini juga sentiasa mempunyai corak-corak yang comel yang dapat menarik minat kanak-kanak untuk menggunakannya dengan lebih kerap untuk minum air.
Selain dari itu, terdapat juga beberapa kebaikan lain yang dibawa oleh sippy cup yang perlu anda tahu!
#1. Tidak mudah tumpah
Cawan penghirup memang diciptakan untuk kegunaan kanak-kanak jadi mereka direkabentuk dengan elemen anti-tumpah. Jadi, tak kiralah bagaimana pun si manja anda memegang cawan penghirup mereka, air pasti tidak akan tumpah di atas karpet anda!
#2. Rekabentuk yang dapat menarik minat kanak-kanak
Apabila sesuatu produk dihasilkan dengan kanak-kanak sebagai pengguna sasaran, ia pasti akan mempunyai rekabentuk yang comel-comel. Ini akan menarik minat si manja untuk menggunakan cawan penghirup mereka dengan lebih kerap disebabkan reka bentuk tersebut.
#3. Menggalak koordinasi tangan-ke-mulut
Akan ada masa di mana si manja harus belajar menyuap makanan mereka sendiri, tetapi jika mereka tidak mempunyai koordinasi tangan-ke-mulut tersebut, pasti mereka tidak dapat menikmati makanan mereka sepenuhnya. Sekiranya si manja sudah biasa membawa cawan penghirup mereka ke mulut mereka, lama-kelamaan pasti cahaya mata anda dapat memahiri koordinasi tangan-ke-mulut mereka.
Walaupun begitu, ada cara lain untuk mengajar anak anda untuk meminum air menggunakan straw. Iaitu dengan “menggunakan straw”. Faham? Tetapi, sebelum itu, anda perlulah memberi mereka galakan untuk mula belajar minum menggunakan straw dengan tips-tips ini.
Anak Saya Tidak Mahu Gunakan Straw, Apa Perlu Saya Buat?
- Mencuba jenis cawan-cawan berbeza
Anak anda sering melihat anda minum menggunakan satu cawan spesifik dan kebiasaannya, kanak-kanak pasti ingin mencermin tabiat ibu atau ayah jadi sekiranya anda memberi mereka minuman menggunakan cawan bersaiz kecil dan mereka menolaknya, ia mungkin kerana mereka hendakkan cawan yang serupa seperti anda. Sibuk je!
- Mencuba dengan susu badan atau susu formula dahulu
Sesetengah bayi lebih mudah menerima sesuatu perkara baru jika terdapat sesuatu perkara yang mereka sudah kenali seperti rasa susu badan ibu. Jadi, dalam proses menukar si manja dari botol susu kepada penggunaan straw dan cawan, anda boleh memastikan air yang dihirup si manja dalam cawan tersebut adalah sesuatu yang mereka biasa minum seperti susu badan anda.
- Biarkan anak lencun!
Latihan terbaik bagi si manja adalah latihan yang melibatkan pengajaran. Sekiranya anda hendak mengajar anak anda minum menggunakan straw, janganlah terlalu berhati-hati. Biarkan mereka menyedut straw dari cawan yang terbuka tanpa penutup. Kalau tumpah, pasti mereka akan tahu cara yang betul untuk minum selepas ditegur oleh anda.
Cara Terbaik Mengajar Anak Minum Menggunakan Straw
Anda boleh menggunakan straw silikon ataupun straw yang biasa dijumpai di kedai-kedai makan. Pilihlah mengikut keselesaan anda untuk kebaikan si manja.
- Sekiranya straw tersebut terlalu panjang, anda boleh memotong straw kepada kepanjangan yang lebih mudah untuk si manja gunakan. Straw yang pendek memerlukan tenaga yang kurang untuk menyedutnya.
- Letakkan straw di dalam air atau puri yang digemari si manja. Cecair akan mula naik dengan sendiri semasa anda memasukkan straw tersebut dan anda boleh menghalang ia dari mengalir turun dengan memicit hujung atas straw.
- Alihkan straw dari cawan dan bawa straw ke mulut anak, sambil memastikan air yang berada di dalam straw tidak mengalir keluar kemudian posisikan straw berada pada kedudukan yang membenarkan air mengalir ke dalam mulut si manja. Ini untuk memastikan si manja tahu konsep penggunaan straw.
- Setelah si manja mula memahami konsep penggunaan straw, anda boleh mengajar si mana cara menutup mulut ketika straw berada di dalam mulut dan menghirup pada waktu yang sama.
- Jika anak anda sudah berjaya pada kali pertama, teruskan berlatih! Lama-kelamaan anda boleh membiarkan si manja menggunakan straw yang tidak dipotong dan membenarkan mereka menghirup air yang lebih pekat seperti jus buah asli atau milkshake.
Yang penting, anda gunakan cara yang anda selesa dalam mengajar si manja minum menggunakan straw dan pastikan ianya adalah satu proses yang mudah dan menyeronokkan untuk anak anda supaya mereka lebih cenderung untuk mencuba lagi. Selamat berjaya, ibu dan ayah!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Cara Tidurkan Bayi Dengan Mudah Tanpa Menggunakan Botol Susu